Koh Samui - Pulau bulan madu


Merentasi rumah kayu kampung ladang kelapa membuatkan penulis terlupa sejenak hakikat sudah berada di Koh Samui, Thailand. Apa tidaknya, melihat warga tua berkain sarong manakala yang muda berkeliaran bermain basikal di tengah jalan.

Perasaannya tak ubah seperti memandu di jalan raya persisir pantai menuju ke negeri pantai timur. Apatah lagi, melihat warga tempatan membawa beruk peliharaan untuk memetik kelapa - sumber pendapatan sampingan yang kini dijadikan antara tarikan pelancongan di Koh Samui.

Sekali imbas, pulau dengan lebih 50,000 penduduk ini seperti Langkawi dan Phuket walaupun agak ketinggalan dari aspek infrastruktur.

Kini, selepas empat dekad sejak bot kayu pertama membawa pengembara 'backpackers' ke Koh Samui, pulau di wilayah Surat Thani ini mula menjadi tumpuan golongan selebriti dan pasangan berbulan madu tanpa meminggirkan 'market' utamanya - pengembara Barat.

Chaweng Beach Road membuktikan kemajuan pulau ini dengan deretan hotel bajet sehingga vila lima bintang, diapit kafe siber, restoran mewah, rumah urut, pub dan kelab malam. Semuanya berdepan dengan pemandangan indah pantai Chaweng.

Amat mudah melihat deretan restoran makanan Jerman, Ireland dan Itali manakala kedai makanan laut milik penduduk Thai terselit di celah McDonald's, Starbuck dan Swensen.

Malam adalah waktu paling sesuai membeli-belah di Chaweng Road. Tidak sukar tawar-menawar berikutan kebanyakan pemilik kedai menggaji pekerja dari Bangladesh yang boleh berbahasa Inggeris.

Walaupun harga barangan di sini agak mahal berbanding di Bangkok atau Chiang Mai, jika anda bijak menawar, pasti dapat menjinjing pulang barangan yang dikehendaki.

Tidak perlu terburu-buru untuk membuat pembelian kerana kebanyakan kedai menjual barangan yang agak sama.

Satu lagi tarikan yang perlu dikunjungi adalah menyaksikan perlawanan tomoi atau Muay Thai yang sering dianjurkan di stadium kecil berhampiran Chaweng Beach Road dan pantai Lamai.

Atau, anda boleh mencuba terjun lelabah (bungy jump) di Reggae Street, berdepan Tasik Chaweng.

Seperti kebanyakan pelancong yang pertama kali ke sini, rombongan media yang memenuhi jemputan pelancaran penerbangan sulung Firefly ke Koh Samui dibawa ke Big Buddha Statue, patung emas setinggi 12 meter (m) di Wat Phra Yai, terletak di utara pulau berkenaan.

Pada ketinggian 80m, pengunjung ke wat ini dapat menyaksikan pemandangan indah matahari terbenam dan pantai di utara pulau iaitu Bo phut dan Maenam.

Selain itu, anda juga mempunyai pilihan untuk mengunjungi wat lain seperti Wat Khunaram, dengan patung tubuh Loung Pordaeng dalam posisi duduk, sami dari warga tempatan yang mengabadikan diri untuk ajaran Buddha.

Pantai Lamai yang menjadi tumpuan kepada mereka yang inginkan percutian lebih privasi ini menempatkan satu lagi tarikan iaitu formasi batuan unik The Grandmother and Grandfather, dikatakan menjadi bukti kisah cinta penduduk asal Koh Samui.

Koh Samui, seperti pulau peranginan lain di Thailand menyediakan seribu satu macam pengalaman untuk semua lapisan pelancong.

Tiada nasihat terbaik dapat diberikan, kecuali bawa baju renang, makan sepuasnya dan ambil masa manjakan diri sepanjang percutian di pulau peranginan ini.

Tarikan lain

Angthong National Marine Park menawarkan pemandangan indah 42 pulau kecil yang bertaburan dengan landskap menarik bukit batu kapur dan khazanah flora dan faunanya. Diwartakan sebagai taman negara pada 1980, ia menjadi tumpuan untuk aktiviti merentas denai, snorkling dan selam skuba.

Ko Tao dan Ko Nang Yuan yang terletak satu setengah jam perjalanan dengan bot laju dari Koh Samui pula menyediakan pemandangan semula jadi yang indah. Makan tengah hari dan pengalaman bermalam boleh diaturkan agensi pelancongan tempatan.

Mereka yang datang bersama ahli keluarga, boleh mengunjungi Samui Aquarium dan Zoo Harimau Koh Samui. Akuarium ini menjanjikan paparan koleksi hidupan akuatik diancam kepupusan termasuk penyu dan karangan laut manakala zoo terkenal dengan harimau Bengal.

Luangkan masa untuk menunggang gajah di Air Terjun Namuang dengan harga kira-kira RM20. Pengembaraan di atas mamalia ini pasti bermakna apabila ia berhenti seketika di tingkat pertama air terjun pada ketinggian 18.5m. Air terjun tingkat kedua setinggi 80m.

Promosi

Kini, anda boleh mengunjungi pulau ini dengan Firefly terus dari Terminal 3, Subang atau Pulau Pinang empat kali seminggu. Ditawarkan pada harga serendah RM266, ia meliputi snek ringan dan had bagasi sehingga 20 kilogram.

Komuniti penerbangan ini juga menawarkan perkhidmatan fleksibel dengan tawaran pakej percutian sesuai dengan bajet individu atau berkumpulan.

Maklumat lanjut, layari www.fireflyz.com.my atau hubungi 03-78454543.

Pakej percutian Firefly Holidays ditawarkan pada harga serendah RM180 seorang untuk tiga hari dua malam. Tempahan berkumpulan ditawarkan mengikut bajet. Pertanyaan, e-mel ke groups@fireflyz.com.my.

>Info

Cara paling mudah untuk meneroka pulau adalah menyewa motosikal dengan kadar antara RM15 hingga RM30 sehari bergantung kepada model. Jika mahu lebih lasak, cuba motosikal 'scrambler' dan All-Terrain Vehicle (ATV).

Pulau ini juga memiliki masjid berdekatan pantai yang dibina penduduk pulau beragama Islam. Ada beberapa restoran makanan halal mudah ditemui di sekitar Bo Phut dan Maenam. Jika terdesak, anda boleh mengunjungi beberapa restoran India di Chaweng Beach Road.

Tidak perlu gusar memikirkan penginapan jika anda pengembara secara backpacker. Ada banyak hotel, rumah tumpangan yang boleh disesuaikan dengan bajet terutama di Koh Samui dan Ko Phangan.

Kaki golf tidak perlu risau, mereka boleh melepaskan tekanan selepas seharian suntuk bermesyuarat di Santiburi Samui Country Club. Anda juga akan ditemani kedi wanita yang bertindak sebagai pemandu 'buggy' sepanjang hari.

Jangan lupa singgah di spa dan pusat refleksologi yang tumbuh bak cendawan selepas hujan di seluruh pulau ini. Harganya amat berpatutan sehingga ada di bawah RM20.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url