Perhebat perpaduan

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu para pemimpin agama menggunakan kesempatan pada perhimpunan keagamaan untuk menyampaikan mesej mengenai aspek keharmonian dan toleransi kaum.

Katanya, langkah tersebut perlu diambil dalam usaha memperhebatkan lagi perpaduan kaum di negara ini.

Menurut Perdana Menteri, kesempatan pada acara-acara keagamaan seperti orang Islam pada hari Jumaat dan Kristian pada hari Ahad perlu dimanfaatkan bagi mengukuhkan tahap perpaduan serta keharmonian rakyat.

“Agama-agama lain juga saya pasti ada cara seumpamanya dan ia merupakan satu peluang terbaik bagi memupuk keharmonian dan perpaduan kaum serta agama.

“Jadi ruang-ruang seperti itu harus dimanfaatkan untuk menyatakan perkara ini kerana semua kita mahukan rakyat bersatu padu bagi membawa kemakmuran kepada Malaysia,” katanya ketika berucap pada majlis Sambutan Rumah Terbuka Hari Krismas anjuran Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) di sini hari ini.

Hadir sama, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah dan Naib Pengerusi CFM, Dr. Eu Hong Seng.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku jika ada di kalangan rakyat Malaysia yang berasa dipinggirkan hanya kerana tidak gembira dengan perkara tertentu.

Menurut beliau, sedangkan setiap individu itu telah diberi peluang yang adil untuk menikmati segala kemakmuran dan kebaikan yang ada di bumi Malaysia ini.

“Malaysia terdiri daripada pelbagai latar belakang etnik dan semua daripada kita mahu terus merasai kenikmatan dan dilindungi di sebuah negara yang aman damai.

“Justeru jika mahu Malaysia terus kekal seperti hari ini, kita kena berusaha ke arahnya. Kerjasama dan usaha berterusan akan pastikan Malaysia sebuah negara yang aman makmur untuk diwarisi generasi akan datang,” katanya.

Tambah Abdullah, menjadi harapan semua untuk bukan sahaja melihat Malaysia kekal sebagai negara yang aman damai tetapi juga progresif yang seluruh rakyatnya dapat merasai kemakmuran.

Katanya, untuk itu adalah penting memastikan kekayaan negara terus dapat dinikmati rakyat tanpa mengira kaum dan latar belakang.

“Saya tahu dalam masa yang sama, kita juga berhadapan dengan pelbagai masalah yang perlu diselesaikan.

“Saya berharap usaha-usaha yang sedang dilakukan kerajaan akan membuahkan kejayaan bagi memastikan negara terus aman dan makmur untuk semua,” jelasnya.

Kata Perdana Menteri, sehubungan itu diharapkan pemimpin-pemimpin agama dapat sama-sama membantu dengan mencari mekanisme terbaik dalam mengatasi permasalahan yang wujud.

Katanya, usaha itu penting untuk memastikan adanya jalan penyelesaian terhadap setiap masalah dan perbezaan yang wujud di kalangan rakyat berikutan kedudukan Malaysia yang didiami pelbagai kaum dan agama.

“Mekanisme yang baik ini penting untuk membolehkan kita mengatasi sebarang perbezaan yang wujud,” ujarnya.

Sementara itu, Dr. Hong Seng berkata, masyarakat Kristian sentiasa komited untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi memakmurkan Malaysia.

Perayaan Hari Krismas di seluruh negara hari ini disambut meriah tetapi sederhana dengan penganut agama Kristian sejak awal pagi berpusu-pusu ke gereja serta menziarahi sanak saudara dan sahabat handai.

Suasana meriah sambutan perayaan ini yang bermula sejak malam semalam mencapai kemuncaknya pagi ini dengan beberapa gereja di ibu kota seperti di gereja St. John di Bukit Nenas di sini dibanjiri ratusan penganut agama Kristian.

Menjelang tengah hari, ramai yang mengunjungi saudara mara dan handai taulan bagi mengeratkan hubungan sesama mereka atau bersiar-siar di beberapa tempat menarik selain singgah di pusat membeli-belah terkemuka di sini.

Krismas bagi penganut Kristian merupakan hari keriangan dan kegembiraan bersama-sama orang tersayang dengan masing- masing ternanti-nanti detik gembira membuka bungkusan hadiah Krismas.

Pada sebelah petang ada antara mereka yang mengadakan rumah terbuka, sesuatu kemestian yang unik bagi penduduk Malaysia ketika menyambut perayaan khusus untuk melayan kenalan rapat dengan berkongsi juadah dan makan bersama-sama.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan isteri, Datin Seri Jeanne Abdullah turut meluangkan masa menghadiri Majlis Jamuan Teh sempena sambutan Hari Krismas anjuran Persekutuan Kristian Malaysia di Wisma Eagles di Subang Jaya dekat sini.

Abdullah dan isteri dijadual hadir pada sambutan Hari Krismas peringkat kebangsaan di Perkampungan Portugis, Melaka Sabtu ini. Kira-kira 30,000 orang dijangka menghadiri majlis berkenaan yang akan turut diserikan dengan pelbagai persembahan kebudayaan, nyanyian artis jemputan dan pemberian hadiah kepada kanak-kanak.

Kira-kira 1,200 orang masyarakat keturunan Portugis mendiami perkampungan berkenaan, yang telah diwartakan sebagai perkampungan warisan negeri.

Sementara itu, keadaan trafik di sekitar ibu kota lancar walaupun pusat membeli-belah utama dan pusat rekreasi seperti Mid Valley Megamall, Suria KLCC, The Mines, Sunway Pyramid dan Zoo Negara dibanjiri pelancong asing dan warga tempatan yang mengambil peluang sempena cuti umum hari ini.

Seorang warganegara Amerika Syarikat,

Steve Clarke, 44, ketika ditemui Bernama berkata, beliau dan keluarganya berkesempatan menyambut perayaan itu buat pertama kalinya di negara ini dengan mengunjungi rakan yang telah menetap di sini.

Katanya, ia merupakan satu pengalaman baru meraikannya di sebuah negara Islam yang berfikiran terbuka dan mengamalkan konsep saling menghormati agama lain.

‘‘Di sini suasananya sungguh mengagumkan. Saya gembira berpeluang menyambut Krismas dengan keluarga dan rakan di sini. Di sini sangat indah dan selamat, kami semua seronok dan menyukainya,’’ katanya.

Sementara itu, Anthony De Sauza, 39, dan teman wanitanya, Kathy Andrew, 35 dari Australia berkata, walaupun berjauhan dari keluarga, namun kemeriahan sambutan Krismas di negara ini tetap dirasai.

‘‘Kami merindui keluarga dan rakan kami di Australia. Tetapi seronok dan gembira menyambut perayaan ini di sini, di Asia. Ia merupakan satu pengalaman baru kepada kami, kami pasti akan kongsi pengalaman ini dengan keluarga dan rakan nanti,’’ katanya.

– Bernama
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url