5 Helah Kekal Bahagia
Menjaga cinta – kononnya perkara nan satu ini sukar untuk dilaksanakan walhal inilah yang sentiasa diagung-agungkan ketika bercinta. Cubalah ingat kembali memori lama yang boleh membuatkan cinta anda berdua makin mekar seperti berjalan berdua bersama sambil berpegangan tangan atau pun ke tempat yang menyoronokkan.
Cadangan : Untuk lebih romantis, hiasi bilik tidur anda, gantikan cadar, kelambu, pasang lilin aroma terapi dan muzik sentimental yang pasti mengingatkan anda berdua kepada suasana di malam pertama.
Memelihara Kepercayaan
Ramai pasangan yang berpisah kerana tidak percaya antara satu sama lain. Percaya kepada pasangan bermakna anda tahu dan yakin dengan apa yang pasangan lakukan. Berikan kebebasan namun pada masa yang sama, anda perlu memberi pengawasan positif. Jangan biarkan pasangan anda merasa terikat hanya kerana perasaan tidak percaya ini. Orang yang saling percaya akan bebas dari perasaan benci dan curiga. Maka rumah tangga akan lebih aman dan tenteram.
Cadangan : Libatkan diri dalam hobi yang disukainya walaupun anda tidak begitu menggemarinya. Ketahui serba sedikit megenai kesukaannya dan ini pasti membuatkan pasangan bertambah menghargai pengorbanan anda.
Selalu Berkomunikasi
Berbicara menjadi kunci utama dalam sebuah perkahwinan. Apa saja yang dirancang sebaik-baiknya biarlah bersama pasangan anda. Komunikasi perlu ditingkatkan dari masa ke semasa. Elakkan bercakap perkara yang tidak berfaedah, menyindir serta penuh hasad dengki dengan pasangan.
Cadangan : Banyakkan membaca majalah dan buku-buku psikologi untuk memahami sikap dan bagaimana berkomunikasi positif dengan suami mahu pun isteri.
Terbuka soal kewangan
Keretakan rumah tangga juga kadang kala berpunca dari soal kewangan walau pun ada orang berkata wang bukanlah segala-galanya namun melayari bahtera rumah tangga dalam era moden ini wang penting bagi meneruskan sebuah kehidupan. Cubalah berbincang dan menetapkan belanjawan dengan seadil-adilnya.
Cadangan : Walaupun suami isteri bekerja, namun tanggung jawab anda sebagai seorang suami tetap perlu dilaksanakan, berikan nafkah kepada isteri setiap bulan nescaya isteri akan merasa begitu dihargai. Malahan siapa tahu, anda akan mendapat imbuhan lebih daripada tindakan tersebut.
Dikaulah isteri, dikaulah suami, dikaulah sahabat
Secara umum hanya sahabat terbaik yang mampu merasakan setiap gelodak jiwa kita. Jadi selain daripada sebagai suami, jadilah seorang sahabat kepada isteri anda, fahami dirinya, dengar luahan hatinya dan pasti anda akan lebih mengenali dirinya yang sebenarnya tanpa sebarang kepalsuan. Begitu juga dengan isteri jadikan suami anda sahabat untuk memahami dengan baik lagi.
Cadangan : Selalu saling bertanya masalah dan berkongsi rahsia dengannya. Cuba dekati dan luahkan apa sahaja yang terbuku di hati. Pasti pasangan akan lebih menghargai dirimu dan mengganggap anda adalah anugerah yang tidak ternilai harganya.
Jauhi Kedinginan Rumah Tangga
Alam bercinta tidak sama dengan alam rumah tangga. Hidup berumah tangga ada pasang dan surut. Sebagai suami atau isteri anda harus bersedia dalam mengharungi apa jua masalah yang mungkin timbul untuk mengelakkan keretakan dan kedinginan rumah tangga. Jauhi masalah berikut untuk keharmonian dan kedamaian rumah tangga.
Selalu Mengkritik
Kritikan selalunya seolah-olah menyerang pasangan secara peribadi. Diakui kita memang boleh mengkritik tetapi perlulah dengan berperasaan. Lebih-lebih lagi kritikan terhadap pasangan agar tidak berlaku perbalahan.
Rasa Benci
Selalunya bibit rasa benci timbul dari rasa tidak puas hati. Hasilnya meracun jiwa lalu mengakibatkan perselisihan faham.
Terlalu Pertahankan Hak Sendiri
Sifat ini tanpa disedari akan membuatkan pasangan berasa kecil hati. Jika tidak ditangani segera masalah ini pastinya berlarutan sehingga mungkin berpotensi menjadi penyumbang kepada kegagalan rumah tangga.
Biarkan Pasangan Tergantung Tanpa Kata Pasti
Kalau tidak suka berterus terang sahajalah. Jangan sesekali biarkan pasangan anda tertanya-tanya. Sekiranya ada masalah segeralah selesaikan. Ajak pasangan berbincang bersama untuk menguraikan segala yang tersimpul bukan pendamkan saja. Kelak nanti meledak bagai gunung berapi susah pula jadinya
Menipu Pasangan
Siapa di antara anda yang suka ditipu? Tentu tak ada kan? Jika anda tidak suka orang menipu, mengapa pula anda harus menipu? Masa telah berjaya membuktikan banyak rumah tangga berantakan kerana menipu. Jadi jangan jadikan rumah tangga anda mangsa seterusnya.
Tidak Memahami Kehendak Pasangan
Masa bercinta dahulu ramai di antara anda yang menganggap diri begitu memahami kehendak pasangan. Namun selepas bertahun melayari gerbang perkahwinan bersama, kesefahaman seolah-olah semakin tidak wujud. Semakin tak faham si dia. Mengapa? Siasatlah dan cari jalan penyelesaian sewajarnya.