Larangan kempen guna blog perlu jelas

Larangan menggunakan blog sebagai kaedah untuk berkempen perlu diperjelaskan dengan lebih terperinci memandangkan pemilik blog terutama di kalangan ahli dan pemimpin UMNO agak ramai pada masa ini.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib berkata, perkara itu perlu dinyatakan dengan jelas kerana blog ada kalanya menjadi wadah terbaik bagi meluahkan pandangan mengenai sesuatu isu yang hangat diperkatakan dalam masyarakat di samping membolehkan rakyat mengikuti tindak tanduk dan aktiviti pemimpin mereka.

"Apabila diadakan sidang akhbar, ramai pemimpin yang memberikan maklum balas terhadap isu semasa, contohnya berkaitan naik turun harga barangan dan keesokan harinya komen mereka akan disiarkan dalam media. Jika pemimpin terbabit menulis perkara yang sama dalam blog pula, adakah itu dilihat sebagai berkempen dan boleh dijatuhkan hukuman," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan Lembaga Disiplin UMNO memberi amaran kepada bekas Ketua UMNO Bahagian Hulu Langat, Datuk Ahmad Kuris Mohd. Nor kerana berkempen menggunakan blog semasa pemilihan bahagian yang lalu.

Lembaga Disiplin menyatakan berkempen menggunakan blog itu adalah bertentangan dengan tata etika ahli UMNO.

Tambah Muhammad, jika perkara-perkara yang dipaparkan dalam blog semuanya boleh ditafsirkan sebagai berkempen, pengurusan UMNO perlu mengeluarkan surat meminta semua pemilik blog dalam kalangan ahli dan pemimpin parti menutup blog masing-masing.

"Saya pun akan menutup blog saya jika ia memang bertentangan dengan apa yang terkandung dalam tata etika ahli UMNO," katanya.

Ketua Penerangan Puteri, Datuk Shahniza Samsuddin pula berkata, penerangan lanjut berhubung blog adalah penting kerana bimbang ada ahli UMNO terkeliru dengan maksud larangan itu tanpa disedari.

"Saya menggunakan blog saya di alamat http://www.pink-ants.blogspot.com/ untuk berkomunikasi dan mendampingi rakan-rakan Puteri dari seluruh negara, adakalanya saya turut memuatkan isu-isu yang berkaitan dengan politik semasa, adakah itu juga tidak dibenarkan," katanya.

Jelas beliau, mungkin ramai ahli atau pemimpin UMNO yang masih kabur dengan kedudukan blog dalam kempen untuk pemilihan jawatan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tualang Sekah, Nolee Ashilin Mohd. Radzi berkata, blog adalah satu sumber untuk mengatasi jurang antara ahli dan pemimpin.

"Hakikatnya, calon-calon harus dikenali oleh semua ahli, sekadar jumpa dengan perwakilan sahaja adalah tidak memadai kerana calon-calon ini akan menerajui kepimpinan bagi semua ahli dan bukan sekadar perwakilan sahaja," katanya.

Justeru, katanya, ahli-ahli perlu dibenarkan menggunakan blog, asalkan ia tidak melanggar tataetika berkempen yang ditetapkan parti.

- Utusan
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url