Prestasi pelajar Kelantan masih terkebelakang

Prestasi pelajar Kelantan dalam peperiksaan-peperiksaan utama masih rendah meskipun begitu banyak peruntukan disalurkan bagi mengangkat kecemerlangannya.

Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed berkata, beberapa langkah tertentu perlu diambil bagi mengeluarkan Kelantan daripada senarai terendah pencapaian.

Katanya, ini termasuklah dengan penempatan guru secara sistematik terutamanya bagi mata pelajaran kritikal dan mengamalkan model Terengganu yang ternyata mampu melonjakkan prestasi.

"Kerajaan memandang serius keadaan ini kerana Kelantan merupakan antara negeri yang paling banyak menerima bantuan berbanding negeri lain tetapi hasilnya masih tidak memberangsangkan," katanya.

Beliau yang Juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani menyatakan demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat majlis itu bagi kali keempat tahun ini di sini hari ini.

Terdahulu, anggota majlis telah diberi taklimat mengenai tahap pencapaian akademik di Kelantan oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom untuk dibincangkan.

Mustapa berkata, secara umumnya tahap pencapaian sekolah-sekolah di negeri dalam peperiksaan-peperiksaan utama berada pada kedudukan 10 di seluruh negara.

Katanya, Kelantan merupakan salah satu negeri yang mendapat peruntukan terbesar dalam bidang pelajaran untuk membantu merangsang pencapaian pelajar termasuk RM53 juta bagi bantuan di bawah Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAMP).

"Ini merupakan 17 peratus daripada keseluruhan peruntukan bagi seluruh negara. Di samping itu RM35.2 juta atau 14 peratus bagi Rancangan Makanan Tambahan dan juga sejumlah peruntukan di bawah Skim Baucer Tuisyen," ujarnya.

Sehubungan itu juga, aspek pelajaran akan menjadi sebahagian daripada agenda tetapi mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan supaya tahap pencapaian akan terus dipantau dan dipertingkatkan.

- Utusan
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url