Royalti minyak Terengganu wajar manfaat rakyat
Malah, kerajaan negeri boleh menambah lagi pembangunan modal insan, fizikal dan aspek kerohanian di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN). Seperti kata Datuk Seri Najib Razak, Kerajaan Pusat mengembalikan hak rakyat Terengganu dengan menyerahkan wang royalti itu kepada kerajaan negeri. Berikutan itu, Timbalan Perdana Menteri menyatakan bahawa Kabinet juga memutuskan pemberian wang ehsan akan dihentikan kerana Kerajaan Pusat menghormati perjanjian yang termaktub dengan Kerajaan Terengganu berhubung pembayaran royalti.
Selepas ini, pembayaran royalti dibuat setiap suku tahunan akan disalurkan terus ke dalam akaun kerajaan negeri bagi melaksanakan pelbagai program pembangunan untuk rakyat negeri itu. Sudah pasti ini menjadi berita menggembirakan bagi rakyat Terengganu kerana hasil minyak perlu diguna untuk meningkatkan keupayaan produktiviti negeri hingga membawa kepada percambahan kegiatan ekonomi dan pendapatan perkapita rakyat kerana minyak tidak kekal selamanya.
Malah, rakyat negeri itu juga menerima satu lagi berita baik apabila Kabinet secara prinsipnya meluluskan cadangan penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA), dengan dana permulaan RM10 bilion untuk melabur di dalam dan luar negara. Cadangan dana yang dizahirkan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin itu menjamin kelangsungan pendapatan Terengganu, terutama apabila minyak sudah habis. Kita berharap soal pemberian royalti dan penubuhan TIA itu tidak dikaitkan dengan kempen awal menjelang pilihan raya kecil kerusi Parlimen Kuala Terengganu Januari ini, kerana ia sudah menjadi kewajipan Kerajaan Pusat dan Terengganu untuk membantu rakyat tanpa mengira masa pilihan raya atau tidak.
Malah, persetujuan Kerajaan Pusat mengembalikan hak mentadbir royalti minyak kepada kerajaan Terengganu sudah dibuat sejak Jun lalu. Apa yang kita harapkan wang royalti minyak itu dapat digunakan sebaik mungkin dengan tumpuan kepada pelaburan dan pelaksanaan projek yang memberi manfaat secara terus kepada rakyat. Selepas ini, Jawatankuasa Kewangan dan Pelaburan Negeri yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said boleh menyenaraikan projek pembangunan yang bakal dibiayai menerusi wang royalti itu, yang kita harap dibelanjakan secara berhemat bagi kepentingan rakyat negeri itu.