Terengganu garis program tangani isu kemiskinan bandar

Kerajaan negeri merangka beberapa program khusus termasuk mengenal pasti kawasan-kawasan pembinaan gerai dan bazar untuk menangani isu kemiskinan di kawasan bandar.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, perancangan seharusnya menggalakkan pertumbuhan ekonomi bandar khususnya bagi sektor perniagaan, perdagangan, perkhidmatan dan pelancongan.

''Kita akan mengenal pasti kawasan untuk membina ruang perniagaan seperti gerai dan bazar, kawasan pasar malam atau pasar minggu, pasar buah-buahan dan sebagainya.

''Ini akan dapat mengelak daripada wujudnya pasar di kawasan tidak sesuai seperti di atas rizab jalan dan di persimpangan yang menjejaskan pergerakan lalu lintas," katanya.

Mengulas lanjut Ahmad berkata, program pembasmian kemiskinan bandar dirangka oleh kerajaan negeri di bawah agenda merakyatkan perancangan dan pembangunan.

Katanya, program lain ialah penyelesaian perumahan awam rakyat, kesesakan lalu lintas di pusat bandar dan masalah banjir.

Mengenai perumahan rakyat, beliau berkata, kerajaan negeri akan mengenal pasti bilangan keperluan dan tapak yang sesuai khusus untuk perumahan awam kos rendah.

Katanya, dijangka sebanyak 10 tapak perumahan akan dibangunkan tahun depan.

''Untuk menangani isu kesesakan lalu lintas di bandar raya ini pula, beberapa langkah ke arah mewujudkan sistem pengangkutan bandar dan bersepadu sedang dirangka.

''Antaranya penyediaan kemudahan pengangkutan awam yang cekap dan teratur serta penyediaan tempat letak kereta mencukupi," katanya.

Mengenai isu banjir yang melanda Kuala Terengganu baru-baru ini, Ahmad mencadangkan agar sebarang kawasan pembangunan perlu dilengkapi sistem perparitan.

Tegasnya, penimbunan atau penutupan alur atau anak sungai dan lain-lain laluan air tidak dibenarkan sama sekali.

Syarat ini, katanya, bukan sahaja dinyatakan di dalam kelulusan pembangunan secara bertulis tetapi hendaklah dipantau pelaksanaannya oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url