BN perlu umum bakal calon pilihan raya lebih awal

Barisan Nasional (BN) perlu mengenal pasti dan menyenaraikan calon-calon parti itu lebih awal untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang bagi memudahkan pengundi mengenali mereka.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor, Datuk Razali Ibrahim berkata, tradisi parti memperkenalkan calon pilihan raya pada saat-saat akhir, mencetuskan pelbagai masalah sehingga akhirnya menjejaskan kempen.

Katanya, berdasarkan pengalaman pada tahun 2004, beliau turut berdepan dengan kesukaran setelah diumumkan sebagai calon BN bagi Parlimen Muar kerana terlalu banyak perkara yang perlu dilakukan dalam masa yang singkat.

''Biasanya bila sebulan atau dua bulan menjelang pilihan raya umum, barulah nama-nama calon dikemukakan kepada parti.

''Amalan ini akan menimbulkan banyak masalah antaranya kenapa pada saat-saat akhir ramai calon yang berminat sedangkan dua tiga tahun sebelum itu, hanya penyandang jawatan yang bekerja keras untuk menjadi calon,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas cadangan Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed bahawa BN perlu mempunyai sistem pemilihan bagi mengenal pasti calon yang sesuai pada pilihan raya umum akan datang.

Langkah tersebut untuk mengukuh serta memulihkan UMNO dan BN ekoran keyakinan rakyat terhadap kerajaan kini berada pada tahap paling rendah.

Razali menambah, jumlah calon yang berpotensi mewakili sesuatu kawasan juga tidak wajar dihadkan kerana BN akan menjadi kukuh sekiranya lebih ramai yang berminat untuk bertanding.

''Selain ada seorang wakil rakyat secara rasmi, BN akan mempunyai beberapa pemimpin lain yang turut berkhidmat kepada rakyat," katanya.

Beliau berkata, nama bakal calon boleh diumumkan bermula sekarang bagi membolehkan mereka dilatih dari segenap aspek.

''Sama ada dapat atau tidak menjadi calon, ia akan diputuskan oleh parti,'' katanya.

Beliau berkata, penyandang jawatan sememangnya mempunyai kelebihan namun mereka perlu bersaing terlebih dahulu dengan bakal calon.

''Kalau ada di antara bakal calon ini masih tidak dikenali pengundi di kawasan itu menjelang pilihan raya umum, itu menunjukkan mereka telah gagal,'' katanya.

- Utusan
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url