Ekonomi dunia lembap, peluang kerja masih ada

Pekerjaan dalam industri perkhidmatan kewangan tetap ada walaupun dalam kelembapan ekonomi dunia, kata Ketua Pegawai Eksekutif Institut Bank-Bank Malaysia (IBBM), Dr. Mohd Kamal Khir.

Beliau berkata, lebih banyak bank membuka cawangan baru dan ini mewujudkan peluang pekerjaan dalam sektor berkenaan.

Sehingga tahun lepas, terdapat kira-kira 3,000 pekerjaan yang ditawarkan dalam industri perkhidmatan kewangan dalam negara, katanya selepas taklimat mengenai peserta baru Program Peningkatan Bakat Sektor Kewangan (FSTEP) di sini hari ini.

Beliau berkata, terdapat juga permintaan dalam sektor kewangan terutamanya dalam kewangan Islam, di pasaran seberang laut seperti Hong Kong, Singapura dan Timur Tengah.

Mengenai program FSTEP, Mohd Kamal berkata, ia didorong oleh industri perkhidmatan kewangan dengan objektif melatih dan menyediakan graduan dengan kelayakan yang tinggi untuk pekerjaan di institusi perkhidmatan kewangan.

Katanya, program berkenaan disasarkan untuk pelajar berkaliber yang baru menamatkan pengajian di institusi pengajian tinggi tempatan dan luar negara serta yang kini bekerja dengan sektor bukan kewangan tetapi berminat untuk meneruskan kerjaya dalam industri perkhidmatan kewangan.

Mengulas lanjut mengenainya, Mohd Kamal berkata, kumpulan pertama yang terdiri daripada 290 peserta telah menamatkan program itu bulan lepas dan kira-kira 50 peratus daripada mereka berjaya memperoleh pekerjaan dalam industri perkhidmatan kewangan.

Kumpulan kedua seramai 208 peserta akan menamatkan program itu pada Jun tahun ini manakala kumpulan ketiga yang mendaftar Jumaat lepas, akan tamat pengajian pada Disember, katanya.

Mohd Kamal berkata, program setahun itu meliputi empat aliran perbankan dan insurans iaitu perbankan konvensional, perbankan pelaburan, perbankan Islam serta insurans dan takaful.

"Para peserta yang menjalani latihan intensif dalam kelas selama enam bulan akan diikuti dengan enam bulan latihan dalam perbankan dan insurans, termasuk kewangan Islam dan takaful," katanya.

Menurut Mohd Kamal, setiap peserta menerima elaun RM2,200 sebulan.

Mohd Kamal berkata, mulai tahun ini program memperkenalkan kursus intensif bahasa Inggeris selama sebulan yang akan dikendalikan oleh jurulatih dari British Council dan latihan enam bulan dikurangkan kepada lima bulan sahaja.

- Bernama
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url