Perlu rendah diri - Najib
Pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang berkempen dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu perlu bersikap rendah diri, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Timbalan Perdana Menteri berkata, dengan pendekatan tersebut ia mampu menarik sokongan rakyat ketika berkempen bagi memastikan kemenangan calon BN pada pilihan raya kecil tersebut.
"Jangan berlagak... naik kereta mewah dan jangan berlebihan (ketika bertemu pengundi). Pegang kepada satu prinsip bahawa kita hamba kepada rakyat, itulah anak kunci kepada kejayaan BN.
"Saya minta pemimpin yang turun padang supaya mesra rakyat,'' katanya ketika melancarkan jentera pilihan raya kecil pergerakan sayap BN untuk pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu di Taman Tamadun Islam di sini malam ini.
Turut hadir Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said; Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat; Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon; Naib Presiden MIC, Datuk S. Sothinathan, dan calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.
Kata Najib, BN memperkenalkan konsep bertemakan mesra rakyat sebagai satu slogan untuk memikat hati rakyat dalam menghadapi kempen pilihan raya itu.
Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, tema itu dipilih bagi memastikan segala apa yang dilakukan kerajaan adalah lebih bersifat mesra rakyat.
Katanya, konsep tersebut juga sejajar dengan hasrat kerajaan yang mahu mengutamakan segala kepentingan rakyat dalam segenap aspek.
"Saya berharap semua wakil rakyat dan yang bakal dipilih menjadi hamba kepada rakyat sebab rakyat adalah segala-segalanya," katanya.
Mengulas lanjut, Najib berharap, slogan mesra rakyat akan terus dikekalkan sejajar dengan hasrat kerajaan BN sekarang yang mengutamakan rakyat.
Katanya, wakil rakyat seharusnya sentiasa mendekati rakyat dan jangan sama sekali berlagak di depan mereka dalam segenap kehidupan.
"Jika naik kereta wakil rakyat mesti melambai tangan kepada rakyat yang berada di tepi jalan, sentiasa tersenyum dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat tanpa mengira waktu dan ketika," katanya.
Mengenai pilihan raya kali ini, Najib berkata, ia bakal menguji keupayaan BN dan parti komponen selepas Pilihan Raya Umum ke-12.
Menurutnya, selepas kalah di Permatang Pauh, BN berazam mencatatkan kemenangan sekali gus menandakan kebangkitan semula parti ke arah masa depan yang lebih cerah.
"Kuala Terengganu bukanlah Permatang Pauh dan kita tak akan benarkan sama sekali sejarah itu akan berulang lagi di sini," katanya.