Emelda tangguh kahwin
Melangkah ke tahun 2009, perasaan dan jantung pelakon Emelda Rosmila, 28, bertambah debarnya. Manakan tidak, seperti yang dijanjikan, tahun ini akan menyaksikan Emelda atau lebih mesra dipanggil Mel akan menutup tirai bujangnya dengan sebuah ikatan perkahwinan.
Umum sudah mengetahui siapakah si jejaka yang berjaya menakluk hati gadis ini? Siapa lagi kalau bukan pelakon dan penggiat teater, Adlin Aman Ramlie,37.
Masih tercari-cari hari yang sesuai, ujar Mel, dia tidak menafikan perasaan untuk bergelar raja sehari itu membara tatkala ramai rakan artis sudah mendirikan rumah tangga.
Malah ketika usianya mencecah 28 tahun, Mel merasakan ini adalah waktu yang sesuai untuk dia disatukan dengan seorang lelaki sebagai suami isteri.
Yalah... nak buat apa lagi? Usia semakin meningkat. Kalau terus ditangguh hajat yang baik itu entah bila akan dapat berumah tangga. Akui adik kepada pelakon Emylia Rosnaida ini, perancangan awal, dia dan Adlin akan disatukan pada awal tahun ini malangnya hajat itu terpaksa ditangguhkan dulu.
Kemungkinan besar perkahwinan mereka akan dilaksanakan pertengahan tahun ini selepas segala kesibukan dapat diselesaikan. Bukan sengaja mahu menangguhkannya tetapi keadaan yang memaksa mereka untuk berbuat demikian.
“Ingatkan senang nak kahwin. Susah rupa-rupanya. Perancangan sepenuhnya pun belum siap. Duit pun tak ada lagi ni. Sebab itulah kami tangguh dulu,” ujar gadis yang berasal dari Ipoh, Perak ini.
Dalam masa yang sama Mel turut terlibat dengan penggambaran drama 26 episod yang mengambil masa 46 hari penggambaran yang turut diadakan di Burma.
Kena jimat cermat
Mengakui tahun 2009 bukanlah masa untuk bergembira kerana kelembapan ekonomi, Mel dan Adlin terpaksa perancang majlis perkahwinan mereka nanti dengan sebaik mungkin. Untuk tidak melukakan hati mana-mana pihak, mereka akan memastikan semua rakan-rakan, sanak saudara dan juga pihak media diundang ke majlis perkahwinan mereka nanti.
Tidak mahu berbelanja besar, memadailah majlis itu nanti diadakan sederhana mungkin dalam konsep jimat cermat.
“Kalau nak ikutkan bajet nak kahwin, dah banyak dah keluar sebab itulah kami kena rancang semula majlis itu. Lagipun yang lebih penting lepas kahwin nanti. Macam mana nak melayari rumah tangga tu paling mustahak,” jelas Mel yang merancang untuk bertunang pada hari nikahnya nanti.
Tak mahu ditaja
Melihat kepada majlis kahwin sesetengah artis yang ditaja bagai nak rak, Emelda melihat perkara itu sebagai tuah kepada seseorang artis. Namun begitu pelakon ini tidak mengharapkan mana-mana penaja kerana dia lebih rela menggunakan perbelanjaan sendiri.
Bukan mahu mengatakan penajaan itu tidak baik tetapi menggunakan wang ringgit sendiri membuatkannya menjadi lebih puas ketika berada di atas pelamin.
“Mel rasa segan kalau ada orang nak sponsor kerana segala idea kita akan terbatas. Banyak benda nak kena patuhi pula nanti kalau terlalu banyak yang menaja,” katanya.
Benarkah Adlin bengis?
Empat tahun usia percintaan Emelda dengan Adlin sudah cukup mematangkan mereka dalam melayari bahtera kasih sayang. Adlin yang pernah muncul sebagai pelakon pembantu dalam filem Jogho (1999) mula mencipta populariti kerana kelantangannya memberi kritikan dalam program Akademi Fantasia (AF) tidak lama dulu.
Melihat kepada karakter beliau itu, ramai beranggapan Adlin sebenarnya seorang yang bengis. Tetapi Mel menafikan tanggapan itu sebaliknya menjelaskan Adlin merupakan seorang yang baik hati dan kelakar.
Dan dek kerana itulah Mel mampu menjalinkan hubungan cinta itu selama empat tahun sehinggalah mereka mengambil keputusan untuk mendirikan rumahtangga pada tahun ini.
“Ramai orang tanya Mel betul ke Adlin tu bengis? Jawapan Mel senang saja. Kalau orang tak kenal dengan dia memang anggap dia macam tu. Tapi dia sebenarnya tidak. Best kawan dengan dia,” jelasnya.
Menurut Mel lagi, dia sebenarnya benar-benar serasi bercinta dengan Adlin kerana jiwa kedua-dua mereka adalah sama iaitu sederhana.
Takut dunia artis
Melihat kepada suasana dunia artis yang tidak menentu keadaannya, akui gadis ini dia kadang-kala bimbang memikirkan situasi tersebut.
Apatah lagi ketika ini ada saja penceraian, pergaduhan dan masalah rumah tangga perkahwinan sesama artis yang hancur di tengah jalan.
Melihat kepada keadaan itu, bohonglah kalau Mel dan Adlin tidak bimbang tempias tersebut akan berlaku keatas mereka.
Tetapi bila difikir-fikirkan katanya buat apa nak bimbang kerana orang biasa yang kahwin tu pun ada juga masalah yang sama.
“Kalau bercinta dengan orang biasa sekalipun, kalau ada masalah, ia tetap akan berlaku. Cuma bila sesama artis, ia lebih menjadi bahan bualan ramai sebab golongan itu dikenali.
“Cuma apa yang Mel dan Adlin doakan agar perkahwinan kami ni membawa bahagia sehingga ke akhir hayat,” jelasnya.
Mengakui ada juga berbincang mengenai perkara itu, Mel dan Adlin menjadikan peristiwa dan penceraian yang dilalui sebahagian daripada rakan-rakan artis itu sebagai panduan agar tidak berlaku keatas mereka.
Malah kedua mereka sentiasa mahukan masalah yang mungkin terjadi itu dapat diatasi dengan baik dan tidak berlarutan sehingga terpaksa berpisah.
Lebih daripada itu Mel tidak mahu datangnya dugaan yang boleh mengganggu keharmonian rumah tangganya yang akan dibina nanti.
“Kami dah bercinta empat tahun takkan tak boleh nak selesaikan jika ada masalah? Cuma yang Mel harapkan tidak ada dugaan berat yang melanda rumah tangga kami nanti,” katanya.
- Mingguan