Nasib Bahasa Malaysia

Penulis ini bukanlah cemburu pada bahasa Mandarin. Sememangnya ditakdirkan bahawa Mandarin merupakan bahasa yang paling banyak penggunanya di dunia walaupun Inggeris masih menjadi bahasa paling luas difahami.

Ini kerana bilangan penduduk China adalah paling banyak di dunia berbanding bangsa lain. Sementara sejarah kekuatan penjajahan British dan kekuasaan besar Amerika Syarikat menjadikan bahasa Inggeris paling luas digunakan.

Tetapi cuma penulis berpendirian bahawa adalah wajar Bahasa Malaysia diutamakan dalam negaranya sendiri, Malaysia sebagai bahasa kebangsaan. Maka sebab itu penulis berasa terkilan apabila ada pihak yang mahu memasang papan tanda nama jalan dalam empat bahasa. Untuk apa? Adakah semata-mata kerana pelancong atau sebenarnya merupakan usaha untuk memperkecilkan bahasa kebangsaan?

Kalau pun benar untuk memudahkan pelancong, tidakkah ia memberi mesej kepada rakyat bahawa kerajaan negeri yang dikuasai pembangkang tidak sensitif terhadap soal mendaulatkan bahasa kebangsaan?

Banyak lagi perkara yang perlu dilaksanakan oleh kerajaan negeri yang dikuasai pembangkang khususnya berhubung pembelaan rakyat susah dan membanteras penyelewengan seperti yang terkandung dalam manifesto pilihan raya mereka.

Tetapi mengapakah mereka mahu menyentuh soal-soal sensitif seperti mengenai bahasa kebangsaan? Adakah itu kehendak pengundi yang memilih mereka? Atau sememangnya mereka tidak sensitif dalam hal ini?

Sementara sebuah lagi kerajaan negeri yang dikuasai pembangkang memberi biasiswa kepada pelajar Melayu dan India yang mahu belajar bahasa Mandarin. Tujuannya ialah untuk menjadikan warga negerinya lebih berdaya saing memandang bahawa bahasa Mandarin sudah menjadi penting di dunia ekoran kemunculan China sebagai kuasa ekonomi yang pesat berkembang.

Bahasa Mandarin

Hujah bahawa bahasa Mandarin menjadi lebih penting adalah benar. Begitu juga dengan hujah bahawa negeri-negeri wajar lebih berdaya saing dengan menguasai bahasa Mandarin. Tetapi dalam menyedari mengenai hakikat ini, seseorang warga Malaysia mesti bersikap sensitif terhadap soal bahasa di negara ini dengan kedudukan Bahasa Malaysia yang tidak begitu dihayati secara menyeluruh.

Penulis menerima hakikat bahawa Bahasa Malaysia tidaklah bernasib sebaik apa yang dialami oleh bahasa-bahasa kebangsaan di negara-negara lain. Apabila negara ini memperkenalkan sekolah kebangsaan yang menggunakan Bahasa Malaysia, sebahagian rakyat negara ini menghantar anak mereka ke sekolah bahasa bukan kebangsaan. Demi sensitiviti soal pendidikan dalam bahasa ibunda, rakyat negara ini menerimanya.

Tetapi janganlah bersikap tidak sensitif terhadap soal Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan. Kini sudah timbul persoalan apakah ada usaha untuk meminggirkan Bahasa Malaysia dengan menggunakan cara-cara terselindung atas hujah-hujah lain? Mungkin ini hanya perasaan yang terdetik apabila melihat perkembangan yang mencabar Bahasa Malaysia.

Mungkin tidak ada agenda apa-apa bagi pihak yang menganjurkan penggunaan pelbagai bahasa di negara ini. Tetapi itulah sensitiviti seorang Melayu yang melihat bahasanya dicabar.

Banyak pihak akan menuduh golongan yang mempertahankan Bahasa Malaysia sebagai language purist, language chauvinist, language extremist atau language nationalist. Ada pula yang menyatakan pendokong Bahasa Malaysia sebagai kolot, provincialist atau ketinggalan zaman dan pelbagai macam kata-kata menghina.

Bagi negara ini, mempertahankan Bahasa Malaysia amat penting. Sebarang usaha untuk menghakiskan kehormatan Bahasa Malaysia akan mendatangkan tindak balas (backlash) yang besar. Untuk apa bertikai tentang bahasa. Tindakan memperkenalkan papan tanda jalan dalam empat bahasa menyinggung sensitiviti. Kemudian ada pihak pula membawanya ke mahkamah dan tentu akhirnya bahasa yang kegunaannya adalah untuk berbicara akan dibicarakan. Ia bukan tindakan yang membina.

Malaysia memerlukan banyak pembaharuan dalam ekonomi, politik dan budaya. Tetapi sedarlah tentang sensitiviti terhadap Bahasa Malaysia.
Next Post Previous Post
1 Comments
  • Tanpa Nama
    Tanpa Nama Rabu, 28 Januari 2009 pada 5:45:00 PTG SGT

    Kebiadapan terhadap bahasa Melayu nampaknya kian ketara kini. Hinggakan negara ini dilihat seperti tidak terserlah bahasa negaranya. Motif untuk menjajah bahasa tempatan kian jelas jika diamati secara halus.

Add Comment
comment url