FAM perlu ambil semula pemain import

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu menimbang semula kemasukan pemain import demi meningkatkan mutu liga tempatan yang menjadi asas pembentukan skuad kebangsaan.

Bekas Setiausaha Agung FAM, Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad berkata, kehadiran pemain luar dapat mewujudkan semangat bersaing serta memberi pendedahan kepada pemain tempatan agar tidak mengalami kejutan apabila beraksi di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, ketiadaan pemain import terbukti gagal meletakkan pasukan tempatan pada tahap berkeupayaan tinggi seperti yang dialami Kedah dalam Kejohanan Piala AFC.

''Saya berpendapat kita patut membenarkan semula khidmat pemain import kerana liga di seluruh dunia menggunakan pemain import.

''Mungkin liga kita satu-satunya liga profesional di dunia ini yang tidak ada pemain import.

''Liga bola sepak negara Asia Tenggara semuanya menggunakan khidmat pemain import.

''Negara yang telah maju dalam sukan ini seperti Korea dan Jepun juga membenarkan khidmat import, mengapa kita pula menyekat pemain import?

''Khidmat pemain import dapat memberi pendedahan kepada pemain kita untuk bersaing dengan pemain luar supaya tidaklah mereka ini nanti terkejut sangat apabila bermain dengan pemain asing di peringkat antarabangsa ,'' katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau mengulas desakan peminat supaya FAM meningkatkan mutu bola sepak negara selepas skuad kebangsaan kalah 5-0 kepada Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dalam perlawanan Kelayakan Piala Asia 2011 minggu lalu.

Ogos lalu, FAM mengambil tindakan drastik mengumumkan bahawa khidmat pemain import tidak lagi dibenarkan dalam saingan Liga Malaysia musim 2009.

FAM memberi alasan keputusan itu bertujuan untuk memberi lebih peluang kepada pemain tempatan beraksi.

''FAM perlulah membenarkan pasukan yang mempunyai kewangan yang kukuh mengambil pemain import, jangan ada sekatan. Bagi pasukan kecil haruslah berusaha untuk mencari sumber kewangan bagi membeli pemain import,'' katanya.

Jelasnya lagi, kemasukan pemain luar tidak menggugat peluang pemain tempatan untuk mendapat tempat dalam pasukan masing-masing.

Ditanya jaminan hanya pemain import berkualiti dibenarkan beraksi, Ibrahim berkata, FAM mempunyai syarat-syarat kemasukan pemain import.

''FAM sudah ada peraturan iaitu import dari negara Asia Tenggara mestilah bertaraf pemain kebangsaan. Dari Afrika pula perlulah sekurang-kurangnya beraksi dalam divisyen satu manakala dari Eropah sekurang-kurangnya dari divisyen dua,'' katanya.

- Utusan
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url