Filem, album buat Dafi berdebar


DAFI bukan lagi nama asing di persada seni hiburan tempatan, dia cukup dikenali terutamanya di kalangan remaja.

Bakatnya yang mula diketengahkan sejak menyertai program realiti popular Akademi Fantasia musim kelima (AF5), umpama pasport yang membuka ruang demi ruang untuknya bergerak bebas sebagai anak seni.

Setelah hampir dua tahun menggenggam gelaran artis, anak teruna kepada Menteri Belia dan sukan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu bukan sahaja statik sebagai penyanyi malah turut melebarkan sayapnya sebagai duta produk dan terbaru, menerjah ke alam lakonan.

Ketika sesi bergambar yang diadakan di studio Utusan baru-baru ini, keceriaan jelas terpancar di wajahnya biarpun hakikat sebenar gelodak hatinya semakin berdebar menanti reaksi peminat terhadap filem sulung lakonannya, Sayang You Can Dance yang bakal menjengah pawagam bermula 12 Mac ini.

Pengalaman

Peluang beraksi dilayar yang sama dengan dua pelakon utama filem itu, Samuel Rizal dan Sharifah Amani menurut Dafi, memberi pengalaman yang cukup bermakna buatnya kerana melakonkan watak Danial iaitu sepupu kepada Mia (lakonan Amani) tidak kurang pentingnya dalam filem itu.

"Samuel dan Amani dah biasa berlakon sebelum ini namun mereka langsung tidak lokek berkongsi pengalaman dan ilmu walaupun saya masih baru dalam lakonan.

"Memang saya berdebar sangat menanti reaksi daripada penonton apatah lagi ini adalah filem pertama yang turut melibatkan saya sebagai salah seorang pelakon.

"Saya sebenarnya jenis yang tidak suka tengok diri sendiri dalam TV sebab terasa malu sangat malah, nampak pelik sebab selalunya tengok orang lain yang berlakon tetapi kali ini kena tengok lakonan sendiri.

"Bagaimanapun, saya berharap penonton akan bagi maklum balas yang positif terhadap filem ini sebab jarang ada filem yang berasaskan tarian seperti ini," katanya.

Tidak mahu terlalu drastik mengejar peluang lakonan, menurut Dafi dia kini terpaksa menolak banyak tawaran lakonan termasuk drama kerana tidak mahu jadual kuliahnya terganggu.

Menyedari masa yang diperlukan dalam menyempurnakan sesuatu babak lakonan lebih panjang berbanding nyanyian, Dafi tidak mahu pihak lain menanggung risiko akibat kegagalannya memberi komitmen.

"Menolak tawaran berlakon drama bukan disebabkan saya hanya memilih filem tetapi masa untuk saya agak terhad dan dalam masa yang sama saya tidak mahu menyusahkan pihak lain yang terpaksa menunggu dan mengikut jadual saya.

"Banyak juga tawaran yang saya tolak terutamanya cerita-cerita tentang remaja. Bagaimanapun, akan datang insya-Allah jika ada tawaran yang bersesuaian tanpa mengganggu jadual belajar, saya akan pertimbangkan," jelas pelajar semester empat jurusan diploma muzik di Universiti Limkokwing itu.

Berharap pada Seumur Hidup

Bintang muda itu baru-baru ini muncul dengan album solo pertamanya, Seumur Hidup yang mula dilancarkan pada 14 Disember lalu.

Memuatkan 10 buah lagu antaranya Bila Terasa Rindu, Dua Hati Menjadi Satu, Seumur Hidup, Adinda, Lemah, Inginku, dan 3 Kata.

"Ini merupakan album yang sangat saya nantikan sejak hampir dua tahun bergelar penyanyi. Alhamdulillah, akhirnya berjaya juga direalisasikan.

"Apa yang saya boleh katakan, memang saya puas hati dan suka dengan konsep album ini. Bagi saya, album ini akan mudah diterima ramai kerana susunan muziknya sedap didengar dan tidak terlalu berat," katanya.

Tidak hanya terhad kepada komposer tempatan, dua daripadanya merupakan nukilan komposer Indonesia, Yovie Widianto (Dua Hati Menjadi Satu - duet dengan Gita Gutawa) dan Di Antara ciptaan Badai Kerispatih.

Hadiah hari lahir

Menganggap kelahiran album sulungnya sebagai hadiah hari lahir yang ke-20, menurut Dafi menggunakan khidmat komposer negara seberang itu merupakan salah satu cara untuknya mencuri tumpuan bagi melebarkan sayap.

"Sekarang ini pihak pengurusan sedang cuba membawa lagu Lemah ciptaan Edry Abdul Halim ke Indonesia.

"Walaupun album saya belum dilancarkan di Indonesia tetapi alhamdulillah, ketika saya ke negara itu baru-baru ini, orang di sana telah mula kenal pada saya," cerita Dafi penuh ceria.

Selain menjadi duta kepada produk kesihatan jenama Brand, baru-baru ini dia turut mengikat kontrak sebagai duta pewangi Silky yang dikhaskan untuk remaja.

Kata Dafi, ini merupakan penglibatannya yang ketiga setelah bergelar duta kepada produk jenama Wall's dan Brand.

"Menjadi salah seorang duta jenama Silky membuka ruang untuk saya sekali lagi berlakon dengan Sharifah Amani. Apatah lagi, pengarahnya merupakan seorang pengarah yang cukup saya kagumi iaitu Yasmin Ahmad.

"Umpama mimpi jadi nyata, kerana sebelum ini saya pernah bercita-cita untuk bekerjasama dengannya. Akhirnya, dapat juga saya bekerja di bawah arahan beliau. Kerja dengan dia amat mudah kerana dia banyak beri kebebasan kepada saya," katanya.

- Utusan
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url