Majlis Ulama Indonesia (MUI) haramkan merokok
Bagi merokok, MUI memutuskan bahawa ia haram kepada wanita Islam yang mengandung dan kanak-kanak.
Selain itu, merokok di tempat awam juga dihukum sebagai haram.
Majlis itu juga memutuskan senaman yoga yang mengandungi meditasi dan ritual agama adalah haram bagi umat Islam.
"Merokok adalah haram bagi wanita yang mengandung dan kanak-kanak, merokok di tempat awam juga haram dan begitu juga bagi ahli majlis ulama," kata H.M. Amin Suma yang mempengerusikan mesyuarat itu di Padang Panjang, Sumatera Barat, kelmarin.
Beliau yang dipetik agensi berita Antara berkata, merokok bagi wanita mengandung dan kanak-kanak adalah berdosa.
Beliau juga meminta kerajaan menggubal undang-undang bagi menyokong fatwa tersebut.
Seorang penasihat MUI, Nurhayati Hakim berkata, keputusan itu dibuat sebulat suara dan ia sejajar dengan ajaran Nabi Muhammad S.A.W.
"Sekurang-kurangnya fatwa itu menetapkan had, supaya orang ramai tidak merokok sesuka hati mereka," katanya.
Namun, MUI juga mengeluarkan fatwa bahawa yoga yang berbentuk senaman untuk kepentingan kesihatan sebagai dibolehkan.
"Fatwa tersebut diperlukan agar umat Islam tidak mencampuradukkan yang hak dengan yang batil," kata Amin yang juga Ketua MUI Pusat.
Menurutnya, fatwa MUI itu adalah berlandaskan al-Quran iaitu ayat 33 surah Muhammad yang mewajibkan umat Islam mentaati Allah SWT dan Rasulullah SAW serta tidak merosak pahala amalan yang diperbuat.
Ayat yang mensyaratkan larangan mencampuradukkan yang hak dengan yang batil pula, katanya terdapat dalam surah Al-Baqarah ayat 42.
"Fatwa tersebut lebih berdasar, persoalan hukum yoga setelah munculnya berita tentang fatwa ahli Majlis Muzakarah Fatwa Kebangsaan yang bersidang pada 22-24 Oktober 2008 di Kota Bharu, Kelantan, Malaysia, yang memutuskan yoga adalah haram," katanya.
Atas fatwa tersebut, menurut beliau, menyebabkan banyak persoalan timbul dan termasuk permintaan agar MUI mengkaji, membahas dan juga memfatwakan masalah yoga.
Yoga oleh masyarakat Indonesia umumnya sebagai salah satu bentuk senaman pernafasan.
Difahamkan juga yoga wujud sejak sejak 6 abad sebelum Masihi, jauh sebelum agama Hindu lahir.
Yoga awal tidak terkait dengan agama, tetapi dalam perkembangannya banyak pendita Hindu yang mendalami yoga yang kemudian melakukan asimilasi yoga dengan ajaran agama Hindu.
- Utusan
kunjungi http://ruqyah-online.blogspot.com/2009/01/merefleksi-dan-menjabarkan-fatwa-haram.html
untuk mengetahui lebih jauh contoh kesesatan meditasi, ritual, spiritual yoga