Filem Maut - Tiga cerita dalam satu filem
Visual simbolik gugurnya daun hayat ini diikuti dengan adegan dua gadis dalam bas. Tidak ada dialog dan reaksi wajah yang ketara antara mereka. Diam dan dingin.
Tetapi apabila Suriani (Liyana Jasmay) tiba di rumah dan kemudian menyedari didatangi oleh gadis, Fadilla (Emy Nadia) yang sebelum itu bersamanya dalam bas untuk meminta pertolongan kerana dia diragut dan sekarang mahu menumpang di rumah Suriani.
Esoknya apabila Suriani sedar didapati gadis tersebut sudah tiada, maka khalayak sudah dapat menjangka suatu kisah yang menarik dan sangat misteri akan berlaku.
Maut sebenar sebuah filem yang mengandungi tiga cerita yang tiada berkaitan antara satu sama lain walaupun filem ini diarahkan oleh hanya seorang pengarah.
Sungguhpun tiga episod cerita dalam filem ini seakan tiada kaitan tetapi ia mempunyai kaitan tema yang sama iaitu tentang ketibaan maut.
Cerita pertama berlaku dalam bulan Syaaban, manakala cerita kedua berlaku dalam bulan Ramadan dan ketiga dalam bulan Syawal.
Cerita kedua mengisahkan seorang wanita yang lupa diri dan agama. Farah (Sabrina Hassan) seorang pramugari mengamalkan kehidupan bebas dan kemudian memilih seorang lelaki Inggeris, Duke sebagai suaminya supaya dia terus dapat mengamalkan kehidupan bebasnya.
Tetapi apabila Farah terlihat Duke berlaku curang dalam suatu majlis, Farah kecewa lalu memandu laju dalam keadaan mabuk dan kemalangan berlaku.
Dalam keadaan koma dia melihat gambaran balasan seksa yang sangat menakutkannya.
Peristiwa Farah diceritakan melalui seorang pelajar, Umie (Diana Danielle) yang menemuinya terjatuh dalam perjalanan ke masjid.
Segmen ketiga yang berlaku dalam bulan Syawal mengisahkan JJ atau Jamil (Que Haidar) yang menjalani kehidupan liar sebagai pemuzik black metal.
Kebiadapan JJ terserlah sehingga dia sanggup menghina seorang lelaki tua menjual kitab agama dan tidak menghiraukan kemuliaan Syawal dan akhirnya mendapat balasan apabila keretanya kemalangan dan dia menemui maut.
Memang benar kisah-kisah dalam filem ini bukanlah dalam genre filem seram, tetapi daripada imej dan visual yang dipaparkan ia memberikan kesan yang menyeramkan.
Naskhah ini mempunyai unsur didaktik yang cukup ketara dengan tujuan untuk menginsafkan penonton.
Kecuali kisah yang pertama, dua kisah yang lain bertolak daripada perbuatan jahat yang mendapat balasan mengerikan.
Sementara kisah pertama menuntut tentang keprihatinan khalayak tentang masalah rogol yang berlaku dalam masyarakat.
Filem Maut dihasilkan dengan visual yang menarik hasil daripada gabungan fotografi dan imej janaan komputer khususnya adegan Farah diazab semasa dalam koma, tetapi filem Maut menghadapi masalah dari aspek cerita.
Kisah-kisah dalam Maut tidak lebih daripada anekdot yang terpisah-pisah atau sebahagian daripada peristiwa tentang maut berbentuk mosaik yang cuba dikumpulkan dalam satu filem.
Bentuk penceritaan sebegini malangnya menyukarkan khalayak menyelami pergolakan dan emosi watak.
Segalanya berlalu sebagai peristiwa yang melintas di hadapan penonton tanpa penonton dapat menghayatinya.
Kisah-kisah yang dipaparkan dalam Maut sebenarnya boleh dianggap klise kerana kisah-kisah ini sudah biasa diceritakan untuk memberikan iktibar.
Bagaimanapun, ia masih tidak salah diangkat ke filem asalkan Bade Azmi selaku pengarah membentuk dalam satu struktur plot penceritaan.
Sesuatu yang harus disedari sebenarnya dalam konteks sejarah perfileman belum ada filem yang naratifnya berbentuk anekdot atau kumpulan cerita-cerita pendek begini mendapat sambutan hebat.
Biarpun sebuah filem itu menggabungkan beberapa pengarah terkenal dalam satu filem seperti filem New York Stories (1989) yang menggabungkan tiga pengarah iaitu Martin Scorsese, Francis Ford Coppola dan Woody Allen dengan tiga cerita yang berasingan.
Atau mungkin filem Four Rooms (1995) dengan empat kisah daripada empat pengarah iaitu Allison Anders, Alexandre Rockwell, Robert Rodriguez dan Quentin Tarantino.
Tidak ketinggalan seorang pengarah menghasilkan beberapa kisah yang biarpun berkait dalam satu cerita seperti yang pernah dilakukan oleh Jim Jarmusch dalam filem Night on Earth (1991) yang mengisahkan lima pemandu teksi di lima kota berlainan dan Khabir Bahtia dalam filem Cinta dan Sepi.
Sungguhpun pendekatan begini dianggap menarik dan mencabar serta terkeluar daripada struktur konvensional naratif filem biasa, tetapi penonton sukar menerima filem-filem pendek yang dikumpulkan dalam satu tajuk tanpa dapat menyelami plot perjalanan hidup satu watak utama dari mula hingga akhir.
- Utusan