Komentar - Kewangan Islam kalis krisis

Sistem perbankan Islam yang mula diperkenalkan pada awal tahun 1980-an terbukti mendapat sambutan daripada masyarakat. Walaupun bermula dengan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), permintaan masyarakat terhadap perbankan Islam membuatkan bank-bank konvensional turut menawarkan perkhidmatan perbankan Islam.

Berdasarkan pertambahan peratusan pemilihan ekuiti umat Islam yang secara konsisten melebihi 16 peratus hanya selepas 1985 iaitu dua tahun selepas penubuhan BIMB, Industri Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSI) berhak mendapat penghargaan sebagai salah satu pemangkin kepada trend yang menggalakkan itu.

Sememangnya, hidup dipenuhi kekayaan dan kedudukan tinggi dalam masyarakat memang dihajati oleh kita semua. Islam pun tidak melarang umatnya berusaha dengan jalan yang betul mencari rezeki dan kekayaan untuk keselesaan hidup di dunia.

Namun, pemilikan kekayaan adalah satu bentuk ujian Allah terhadap hamba-Nya. Ini bertepatan dengan tugas kita sebagai hamba-Nya iaitu pemegang amanah yang mesti cuba sebaik mungkin mengelakkan diri daripada sebarang penyalahgunaan.

Dalam hal ini, Imam al-Ghazali menyebut, "Kekayaan itu umpama ular yang membawa bersamanya bisa dan penawar, bahaya dan manfaat". Justeru, sebagai umat Islam yang beriman kita seharusnya memastikan bahawa segala bentuk kekayaan itu tidak melalaikan daripada menyembah Allah.

Ini selaras dengan firman Allah yang bermaksud: Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah kepada-Ku. (az-Zariyaat: 56)

Salah satu instrumen penting dalam kekayaan adalah sistem kewangan. Ia berfungsi sebagai medium memindahkan dana daripada unit ekonomi yang mempunyai lebihan tabungan yang kemudiannya disalurkan semula ke unit ekonomi yang mempunyai defisit tabungan.

Pengarah Urusan BIMB, Datuk Zukri Samat berkata, selain itu, sistem kewangan Islam juga adalah sebagai konduit dalam pembentukan, pemeliharaan dan pengagihan kekayaan.

Katanya, meskipun IFSI tidak kebal sepenuhnya daripada kemerosotan atau krisis kewangan tetapi terbukti ia lebih berdaya tahan semasa krisis.

"Malahan, kewangan Islam yang mengikut prinsip dan peraturan syariah diperkukuh dengan penstabil intrinsik dan mekanisme penyerap kejutan terbina dalaman yang membantu meningkatkan kekukuhan dan kestabilan sistem kewangan secara keseluruhan," katanya

Beliau berkata demikian semasa membentangkan kertas kerja 'Peranan Institusi Kewangan Islam Dalam Meningkatkan Pemilikan Kekayaan Ummah: Satu Gagasan dan Cabaran Pelaksanaan' pada Kongres Ekonomi Islam Ketiga di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kongres selama empat hari bermula 12 Januari itu adalah anjuran Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) dan Majlis Perundingan Islam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Jabatan Perdana Menteri.

Menurut Zukri, empat nilai utama iaitu rakan kongsi, etika, hubungan terus dengan ekonomi sebenar dan tadbir urus melindungi sistem kewangan Islam daripada pendedahan berlebihan terhadap risiko.

Rakan kongsi adalah perkongsian risiko dan ganjaran atau kontrak berdasar ekuiti. Etika pula adalah pengharaman maisir (judi dan spekulias), riba dan zulm (penindasan) serta amalan yang tidak beretika seperti menyorok barang dan monopoli.

Hubungan terus dengan ekonomi sebenar di mana semua transaksi berdasarkan aktiviti ekonomi sebenar, larangan gharar (kesamaran atau penipuan). Tadbir urus pula adalah ketelusan dan pendedahan yang lebih jelas serta akauntabiliti yang lebih mantap.

Zukri menambah, bagi membolehkan rakyat Malaysia khususnya umat Islam menjana dan mengumpul kekayaan, menjadi kemestian untuk memastikan mereka mempunyai apa yang diperlukan untuk hidup dengan selesa terlebih dahulu.

Lebih tepat lagi, katanya, untuk mendapatkan pendapatan yang mencukupi bagi keperluan asas yang minimum untuk isi rumah termasuk makanan, pakaian, tempat tinggal dan pendidikan.

"Untuk itu adalah penting bagi kita semua mengkaji semua struktur gaji dan pampasan ke arah sistem saraan yang menitikberatkan prestasi dan ditanda aras mengikut amalan industri.

"Ia mestilah dalam lingkungan rangka kerja merealisasikan matlamat sosial negara dan memastikan pengagihan kemakmuran ekonomi negara yang lebih adil," jelasnya.

Seorang lagi pembentang kertas kerja, Prof. Madya Dr. Zuriah Abdul Rahman pula berkata, falsafah dan etika Islam dalam setiap hal adalah bertunjangkan konsep tauhid.

Katanya, ini bermakna semua aset yang terkandung di muka bumi ini adalah kepunyaan Allah. Justeru tidak ada ruang untuk melakukan kerosakan, tingkah laku yang merosakkan atau perkara yang bertentangan dengan Islam.

"Jangan kita berputus harap dengan bantuan Allah dan jangan lupa bahawa Allah itu Amat Mengetahui segala yang kita buat sama ada secara terang-terangan atau tersembunyi," jelas Timbalan Pengarah Siswazah, Sekolah Perniagaan Fakulti Pengurusan Peniagaan Universiti Teknologi Mara, Shah Alam di Selangor ini.

Dalam bab perlindungan kekayaan pula, Dr. Zuriah berkata, Islam menggariskan konsep tawakal iaitu selepas berusaha dan berikhtiar, ia diserahkan kepada Allah.

Risiko

Usaha itu, katanya, perlu melibatkan dua kategori iaitu kawalan risiko seperti pengurangan risiko pendapatan dan harta.

Risiko kewangan pula adalah individu atau syarikat menyediakan dana untuk membayar kerugian atau pampasan kepada mereka yang hilang pendapatan atau harta disebabkan sebarang bahaya seperti bencana alam atau memindahkan risiko keada pihak lain yang boleh membiayai kerugian tersebut.

Bagi tujuan itu, Islam menyediakan sistem takaful sebagai instrumen membantu muslim menjaga harta semasa hidup atau pun untuk kegunaan ahli keluarga selepas pendeposit meninggal dunia.

"Skim takaful menggalakkan penyimpannya melabur dengan harapan mendapat keuntungan di mana pada masa yang sama menyumbang kepada tabung khas berasaskan konsep tabarru'," jelasnya.

Sementara itu, Dekan Institut Kewangan dan Perbankan Islam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Ahamed Kameel Mydin Meera berkata, institusi kewangan Islam tidak terhad kepada bank sahaja.

Katanya, ada beberapa institusi kewangan lain seperti agensi pertubuhan zakat, wakaf dan Baitulmal yang amat perlu dikembangkan terutama dalam keadaan ekonomi yang gawat waktu ini.

"Institusi zakat misalnya dapat diperbaiki dengan beberapa kaedah seperti menggalakkan orang ramai membayar zakat, ketelusan dalam pengagihan wang zakat dan mempelbagaikan cara agihan contohnya melalui tajaan pendidikan rakyat miskin di sekolah-sekolah," katanya.

Menurut Dr. Ahamed Kameel lagi, institusi wakaf yang seperti diabaikan perlu dikaji semula bagi membiayai misalnya sistem persekolahan, universiti, hospital dan sebagainya.

"Wangnya juga boleh dimanfaatkan bagi membiayai pendidikan golongan miskin, kajian dan sebagainya," tambah beliau.

Dr. Ahamed Kameel berkata, Baitulmal juga berperanan besar dalam mengurus sistem kewangan Islam. Dalam ekonomi dinar ia boleh memainkan peranan sebagai minter atau gold custodian. Dinar emas akan menjaga serta mempertahankan kekayaan ummah.

"Pada saat ini, kita seharusnya mengakui gagasan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang cadangkan penggunaan dinar emas khususnya bagi urusan perniagaan antarabangsa.

"Malaysia seharusnya menjual hasil minyak dan petroleum serta lain-lain barangan eksportnya dengan tukaran nilai emas," jelasnya.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url