Ibu lahirkan kembar lapan di California, Amerika Syarikat
Enam bayi lelaki dan dua perempuan itu berada dalam keadaan sihat dan stabil di unit jagaan rapi neonatal, kata Dr. Karen Maples di Pusat Perubatan Kaiser Permanente di Bellflower, dekat sini.
''Bagaimanapun dua daripada mereka memerlukan alat bantuan pernafasan,'' katanya pada sidang media semalam.
Kembar lapan yang tidak cukup bulan itu dilahirkan melalui pembedahan dalam tempoh lima minit, mengejutkan pasukan perubatan 46 anggota yang hanya menjangkakan tujuh bayi.
Berat mereka antara 680 gram hingga 1.47 kilogram dan doktor pada mulanya mengenal pasti mereka dengan huruf A hingga H mengikut giliran kelahiran masing-masing.
"Selepas kami menyambut Bayi G seperti yang kami jangka, kami dikejutkan oleh Bayi H," kata Maples.
Pihak hospital enggan mendedahkan sama ada wanita yang tidak disiarkan namanya itu menjadi hamil menerusi rawatan kesuburan yang sering membawa kepada kelahiran kembar.
- REUTERS