Komentar - Rakyat perlu berbelanja untuk merancakkan ekonomi

Kerajaan perlu mencari satu langkah drastik dan berkesan untuk menambah pendapatan boleh guna pengguna bagi merangsang perbelanjaan ketika senario semasa ekonomi kekal tidak menggalakkan.

Para penganalisis tempatan berkata, langkah itu perlu dilaksanakan bagi meningkatkan keyakinan orang ramai berbelanja dan sekali gus merangsang atau menjana kegiatan ekonomi.

Menurut mereka, usaha meningkatkan perbelanjaan pengguna penting dalam mengimbangi penyusutan pendapatan kerajaan berikutan kejatuhan eksport negara.

Mereka berkata, meskipun kerajaan telah memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM7 bilion dan penurunan Dasar Kadar Semalaman (OPR) sebanyak 75 mata asas tetapi tindakan itu masih belum cukup untuk memberi keyakinan kepada rakyat untuk berbelanja.

Pengurus Kanan Kumpulan TA Investment Management Bhd., Alsetdek Al Haj Ali mengakui penurunan sentimen rakyat untuk berbelanja kini semakin ketara dan ia diakui oleh para peniaga.

Menurut beliau, keadaan itu berlaku bukan disebabkan rakyat semakin hilang keyakinan untuk berbelanja sebaliknya rakyat tidak mempunyai wang boleh guna yang mencukupi.

''Justeru kerajaan perlu mengambil tindakan segera, jika tidak perbelanjaan domestik statik dan ia akan memburukkan keadaan,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Beliau berkata, dalam menangani masalah tersebut, kerajaan perlu mengambil pendekatan yang sama ketika menghadapi krisis kewangan Asia 1997/98 dengan memansuhkan cukai pendapatan individu untuk satu tempoh singkat.

Semasa krisis kewangan Asia 1997/98, kerajaan telah melaksanakan pengecualian cukai pendapatan bagi tahun 1999, selain pelbagai pengecualian cukai.

Malah, Alsetdek juga menyarankan supaya kerajaan segera menurunkan tarif elektrik sejajar dengan penurunan harga minyak dan arang batu.

''Saya percaya dengan pendekatan ini, rakyat negara ini akan mempunyai lebihan pendapatan boleh guna,'' ujarnya.

Tokoh ekonomi, Datuk Zainal Aznam Yusof berkata, lebihan pendapatan boleh guna rakyat amat penting terutama dalam menghadapi kegawatan ekonomi.

Menurut beliau, dengan lebihan pendapatan ia akan merangsang pengguna terus berbelanja, sekali gus dapat merancakkan ekonomi domestik.

''Dalam keadaan sekarang, kerajaan memang tidak boleh mengharapkan pendapatan daripada eksport serta minyak.

''Perbelanjaan rakyat memang penting sekarang kerana ia boleh mengembalikan pusingan ekonomi,'' katanya.

Sementara itu, Pakar Ekonomi Kanan Bank Islam (M) Bhd., Azrul Azwar Ahmad Tajudin berpendapat, punca orang ramai tidak berbelanja walaupun pelbagai cara telah dilakukan untuk menggalakkan langkah itu dibuat, adalah kerana mereka tidak yakin dengan kedudukan pekerjaan mereka.

''Dengan pelbagai berita buruk mengenai pembuangan kerja menyebabkan orang ramai lebih berhati-hati dalam perbelanjaan mereka. Mereka lebih mengambil keputusan untuk menyimpan walaupun kadar faedah yang ditawarkan adalah lebih rendah.

''Selagi kerajaan tidak dapat memberikan keyakinan kepada orang ramai bahawa mereka tidak akan kehilangan pekerjaan mereka, orang ramai akan terus takut untuk berbelanja dan memutuskan untuk menyimpannya sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan masa depan," katanya.

Tambah Azrul, selepas sambutan Tahun Baru Cina ini, kesan ketara akan dapat dilihat dengan lebih ramai pekerja dijangka berdepan dengan kemungkinan pembuangan pekerjaan dan sentimen perbelanjaan pengguna juga akan hilang.

Penurunan OPR dan Keperluan Rizab Berkanun (SRR) menjadikan lebih banyak kecairan di dalam pasaran dan membolehkan pihak bank memberikan pinjaman kepada orang ramai, kata Felow Penyelidik Ekonomi Kanan Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (ASLI), Datuk Dr. Gan Khuan Poh.

''Sepatutnya apabila penurunan OPR dan SRR, menjadikan kos pinjaman lebih murah, bank mempunyai lebih banyak wang atau kecairan untuk diberikan pinjaman bagi menggalakkan pelaburan domestik.

''Pihak bank perlu menggalakkan aktiviti ekonomi dengan memberi pinjaman kepada orang ramai terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam usaha meningkatkan perbelanjaan dan pelaburan," jelasnya.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url