Isu-isu akhbar cina

Kesukaran dan cabaran baru UMNO

Ruangan ‘Perbincangan Sosial’ akhbar Nanyang Siang Pau bertarikh 28 Januari 2009 memberi komen mengenai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, Datuk Nasaruddin Hashim yang melompat parti dari UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk menyertai PKR sehari sebelum Tahun Baru Cina.

Nasaruddin yang merupakan wakil rakyat pertama mengkhianati partinya, ditemani orang kuat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika beliau mengumumkan keputusan keluar parti. Tindakan itu amat memeranjatkan pemimpin BN dan pemerhati politik, apatah lagi UMNO yang baru kalah pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu.

Menteri Besar Perak pernah menyebut mungkin tiga wakil rakyat UMNO akan melompat parti, tetapi mereka masih dalam pertimbangan. Kalau ini benar, bukan sahaja di Perak mungkin akan berlaku di negeri-negeri lain, seterusnya ia menyebarkan ‘angin lompat parti’.

Situasi politik Kerajaan Negeri Perak sebelum ini belum mantap kerana jumlah wakil rakyat gabungan parti pembangkang dengan BN hanya berbeza empat orang. Kalau pihak lawan dapat menarik tiga wakil rakyat Pakatan Rakyat, BN boleh merampas kembali Kerajaan Negeri Perak.

Tetapi selepas Nasaruddin masuk PKR, wakil rakyat Pakatan Rakyat bertambah menjadi 32 orang, BN pula berkurang kepada 27 orang.

Nampaknya perbezaan semakin jauh dengan lima orang, maka BN tidak mungkin ada harapan menggoncang kuasa pemerintahan Pakatan Rakyat negeri Perak.

30% berhutang untuk sambut Tahun Baru Cina

Tajuk utama di atas terpapar di muka hadapan China Press pada 25 Januari 2009 sehari sebelum Tahun Baru Cina. Laporan khas akhbar ini adalah mengenai para penjaja membuat pinjaman dengan syarikat kewangan dan ah long. Lidah pengarang akhbar ini menasihati pembaca supaya tidak boros berbelanja. Sebaliknya berbelanja mengikut kemampuan masing-masing dan mengelak daripada berhutang.

Persatuan Pemberi Pinjaman Malaysia mendedahkan, setiap kali menjelang perayaan di negara ini, perniagaan pinjaman akan meningkat 20 hingga 30 peratus disebabkan keperluan perbelanjaan tahunan, penyediaan hadiah dan pakaian ahli keluarga.

Ketua Biro Perkhidmatan dan Aduan Awam MCA, Datuk Michael Chong menyatakan ekonomi yang meleset sekarang memaksa penghuni ibu kota membuat pinjaman dengan bank dan ah long. Ada ibu bapa rela berhutang kerana terlalu menyayangi anak dan ingin anak-anak menyambut Tahun Baru dengan seronok dan mewah.

Michael menyatakan situasi ekonomi yang meleset tidak kekal, maka jangan ikut hati inginkan keseronokan sementara. Kalau tidak, mereka akan dibebani hutang sepanjang hidup sehingga keluarga sendiri turut dikejar olah pemungut hutang.

Rombongan ke China wujudkan peluang perniagaan baru

Akhbar Sin Chew Daily pada 21 Januari lalu melaporkan, Menteri Pengangkutan, Datuk Ong Tee Kiat yang juga Presiden MCA bersama-sama 67 ahli rombongan yang terdiri daripada ahli korporat dan pedagang Malaysia berlepas ke Beijing dalam lawatan ke Republik Rakyat China (RRC).

Beberapa ahli korporat Malaysia menawarkan kepada ahli perniagaan China kemudahan ‘One Stop Center’ seperti pusat makanan halal di Pelabuhan Klang dan pusat pertemuan tiga negara Indonesia, Malaysia dan Thailand di Pelabuhan Pulau Pinang.

Perkhidmatan penerbangan lebih kerap

Akhbar Kwong Wah Yit Poh dan Penang Sin Poe pada 22 Januari 2009 melaporkan satu perjanjian akan dibuat antara Menteri Pengangkutan Malaysia dengan Menteri Pengangkutan China pada Januari 2010 akan datang. Sepanjang 35 tahun, jalinan hubungan antara kedua-dua negara sangat erat dan pada tahun 2006 sebanyak 125 penerbangan diadakan setiap minggu.

Walaupun 10 bulan pertama tahun 2007 Malaysia menerima kedatangan pelancong China seramai 633,000 atau 0.6 juta orang, tetapi dalam ASEAN, negara kita berada pada kedudukan keenam, sedangkan warga China yang melancong ke luar negara mencecah lebih tiga juta orang.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url