Komentar - Sekat politik lompat parti
Lenyap isu tersebut maka tenggelamlah cadangan-cadangan bernas yang begitu galak dilontarkan sebelum itu.
Itulah yang terjadi kepada cadangan penggubalan undang-undang lompat parti yang begitu riuh semasa ura-ura 16 wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dikatakan bakal melompat ke Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Umpama hangat-hangat tahi ayam, cadangan tersebut terus sepi apabila keghairahan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melangkah ke Putrajaya pada 16 September lalu tidak menjadi kenyataan.
Isu lompat parti seakan-akan terpadam terus dan tidak akan berlaku dalam BN semata-mata kerana PKR gagal memancing Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen BN ketika itu.
Masa depan BN seolah-olah akan terus selamat dan kegagalan PKR di Sabah bermakna proses lompat parti tidak akan berlaku di negeri-negeri lain.
Malah isu tersebut juga tidak diperkatakan sama sekali, ditutup dan dibiarkan tanpa pengawasan rapi pucuk pimpinan parti sehingga kesannya dapat dilihat Ahad lalu apabila ADUN Bota, Nasaruddin Hashim mengisytiharkan keluar BN untuk menyertai PKR.
Lantas timbul semula cadangan supaya undang-undang lompat parti digubal bagi mengekang tindakan wakil rakyat yang dipilih atas tiket sesuatu parti 'berhijrah' ke parti yang lain.
Apatah lagi ketika keghairahan berada di pihak ADUN dan Ahli Parlimen BN yang dikatakan memenuhi senarai menunggu masa sahaja untuk melompat parti.
Keadaan itu berbeza dengan perkembangan tahun lalu di mana ketika itu PKR yang sibuk mengumpan calon sehingga sanggup menjejaki Ahli-Ahli Parlimen BN di Taiwan.
Hakikatnya perkembangan terbaru ini tidak boleh dipandang mudah - rentetan kekalahan BN pada Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh dan Kuala Terengganu - memungkinkan segala-galanya berlaku.
Kerapuhan UMNO dan komponen BN yang lain terutama apabila dikaitkan dengan proses pemilihan parti menjadi faktor untuk ahli-ahlinya termasuk di peringkat kepimpinan menyimpan dendam dan hasrat untuk meninggalkan parti.
Lebih memudaratkan lagi apabila tindakan meninggalkan parti adalah disebabkan oleh masalah peribadi yang bersifat kepentingan diri sehingga memadamkan semangat serta kesetiaan kepada BN dalam sekelip mata.
Hakikatnya, lompat parti adalah berpaling tadah - mulanya menyokong sesebuah parti politik dan kemudian sokongan tersebut bertukar arah dan lebih parah lagi, menentang parti asal.
Perkembangan itu sememangnya membimbangkan kerana sekiranya ramai ahli parti bertukar arah, maka dibimbangi jumlah majoriti mengecil atau langsung hilang.
"Akibatnya ialah sesebuah parti politik itu akan hilang jumlah majoriti, yang seterusnya akan mengakibatkan kehilangan mandat atau kepercayaan di Parlimen atau di Dewan Undangan Negeri,'' kata pakar Perlembagaan, Dr. Shamrayahu Abd. Aziz.
Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa itu menyifatkan tindakan melompat parti setelah memenangi pilihan raya bukan sesuatu yang sihat dan patut disokong. Ini kerana seseorang yang telah dipilih oleh rakyat bukan semuanya atas kapasiti individu tersebut, tetapi sebahagian besar memenangi kerusi tersebut atas kepercayaan atau mandat rakyat terhadap parti politik yang diwakilinya.
Tiket yang diberikan oleh rakyat untuk mewakili mereka tidak harus dipindah milik secara sewenang-wenangnya tanpa persetujuan rakyat. Katanya, walaupun mungkin Parlimen tidak dapat menghalang perbuatan lompat parti, ia merupakan satu pengkhianatan atau pembelotan terhadap rakyat dan satu perbuatan tidak bermaruah.
Dr. Shamrahayu menarik perhatian mengenai cadangan agar digubal undang-undang antilompat parti seperti yang pernah diuar-uarkan tahun lalu bagi menyekat Ahli Parlimen atau ADUN daripada bertukar parti selepas memenangi kerusi dalam pilihan raya.
Beliau menyorot Perkara XXX1A Perlembagaan Negeri Kelantan menyatakan bahawa sekiranya seorang Ahli Dewan Undangan Negeri meninggalkan parti atau dipecat daripada parti, atau atas apa-apa sebab tidak lagi menjadi ahli parti tersebut, maka kerusi yang dimenanginya dalam pilihan raya akan menjadi kosong.
Dan Dewan Undangan Negeri mempunyai kuasa untuk menentukan mengenai kekosongan kerusi tersebut.
Pindaan yang membolehkan peruntukan undang-undang seperti itu dilaksanakan bagaimanapun telah dicabar dalam satu kes di Kelantan atas alasan ia bertentangan dengan hak kebebasan berpersatuan yang dijamin oleh perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan.
Hujah tersebut telah diterima oleh Mahkamah Agung dengan sebulat suara dan mahkamah memutuskan bahawa pindaan kepada Perlembagaan Negeri Kelantan tidak sah kerana bertentangan dengan Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak kebebasan berpersatuan.
Menurut Dr. Shamrahayu, satu isu lain yang timbul ialah apakah sekatan terhadap hak kebebasan berpersatuan ini boleh dibuat oleh Badan Perundangan Negeri. Seperti yang disebut di dalam Perkara 10(2)(c), hanya Parlimen yang boleh menyekat hak kebebasan berpersatuan.
Ditanya adakah Parlimen boleh menggubal apa yang disebut anti-hopping law, Dr. Shamrahayu meninjau Perlembagaan menerusi Perkara 10(2)(c) yang menetapkan tujuan bagi menyekat hak kebebasan berpersatuan.
Antaranya ialah untuk kepentingan keselamatan Persekutuan atau kepentingan ketenteraman awam atau kepentingan moral.
Maka persoalan yang lahir ialah, adakah Parlimen boleh menyekat hak kebebasan berpersatuan hanya kerana kepentingan politik, yang tidak termasuk dalam alasan yang dibenarkan oleh Perlembagaan.
"Saya tidak menolak kemungkinan, sekiranya undang-undang tersebut digubal, ia akan mengalami nasib yang sama seperti yang telah dialami dalam Perkara XXX1A Perlembagaan Negeri Kelantan," katanya.
Menurut beliau, adalah lebih bermanfaat bagi para pemimpin politik atau menter-menteri memikirkan untuk memulihkan imej parti daripada memikirkan bagaimana untuk menyekat para ahli yang secara sukarela ingin meninggalkan parti politik mereka atas apa alasan jua, asalkan mereka tidak dibeli oleh parti politik yang lain.
Katanya, mungkin undang-undang menyekat jual beli kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri boleh dibincangkan lagi, tetapi bukan undang-undang menyekat lompat parti.
"Walau apa pun, undang-undang bukanlah jalan terbaik yang boleh menyekat pertukaran parti," katanya.
Apatah lagi dalam perkembangan semasa, jika pun ada undang-undang lompat parti belum tentu dapat mengikat kesetiaan ahli-ahli BN. Biar pun mereka tidak dibenarkan melompat parti tetapi atas semangat tidak berpuas hati dan bencikan parti, maka golongan kecewa itu boleh sahaja mensabotaj parti dengan pelbagai cara.
Dan hasilnya akan menjadi lebih parah, kerana tiada siapa menyangka di sebalik kesetiaan yang diukur dan diikat menerusi undang-undang lompat parti, ada gerakan untuk menghancurkan parti dari dalam.