Top Ad 728x90

Michelle Obama ikon wanita moden


Sejak memulakan kerjaya sebagai peguam muda sekitar musim panas 1991, wanita berkulit hitam ini mempamerkan keyakinan diri yang tinggi.

Sehingga kini beliau dikaitkan sebagai model contoh wanita berjaya, berani dan yakin bagi menghadapi alaf baru yang semakin mencabar.

Wanita itu adalah Michelle Obama, 45, kekuatan di sebalik Presiden Amerika Syarikat (AS) ke-44, Barrack Obama yang baru dilantik dan mencatatkan sejarah negara berkenaan sebagai Presiden kulit hitam pertama.

Dahulunya tidak menyukai politik, malah Michelle tidak pernah menggambarkan dirinya sebagai isteri ahli politik namun tetap bekerja keras demi menyokong kempen suami tercinta dalam Pilihan Raya Presiden AS selama dua tahun.

Dalam kesibukannya berkempen, beliau bersikap tegas dalam menguruskan hal ehwal rumah tangga terutama dalam menyediakan kehidupan normal serta menjaga disiplin kedua-dua anak perempuan mereka Malia, 10 dan Sasha, 7.

Rakyat sejati Chicago

Sebelum bergelar ibu, isteri, peguam mahupun kakitangan kerajaan, Michelle atau penuhnya Michelle LaVaughn Robinson merupakan anak kepada pasangan Fraser dan Marian Robinson dari Chicago, Illinois.

Bekerja sebagai operator pam di Jabatan Air Chicago, Fraser yang menghidap ‘sklerosis berbilang’ sejak usia muda bekerja keras tanpa pernah mengambil cuti sakit untuk menyediakan kehidupan selesa buat isterinya, Michelle dan anak lelakinya, Craig.

Pasangan suami isteri berkenaan berusaha membesarkan anak-anak dalam suasana penuh kasih sayang, gelak tawa dan pengajaran hidup yang penting.

Atas didikan itu juga, Michelle berjaya melanjutkan pengajian dalam bidang sosiologi dan pengajian Afrika-Amerika dari Princeton University.

Setelah menamatkan pengajian di Sekolah Perundangan Harvard, beliau menyertai firma guaman Sidley & Austin di Chicago pada tahun 1988 di mana berlaku pertemuan antara beliau dengan lelaki yang bakal menjadi suaminya.

Beberapa tahun kemudian, beliau memulakan tugas sebagai Pembantu Pesuruhjaya Perancangan dan Pembangunan Dewan Bandaraya Chicago sebelum menjawat jawatan Pengasas dan Pengarah Eksekutif Chicago Chapter of Public Allies, iaitu program yang membantu golongan muda membuat persediaan bagi menyertai khidmat negara.

Pada tahun 1996, Michelle menyertai University of Chicago sebagai Dekan Bersekutu Perkhidmatan Pelajar dan Naib Presiden Pusat Perubatan University of Chicago.

Wanita Pertama

Kini, sebagai Wanita Pertama AS, Michelle meneruskan usaha menangani isu seperti menyokong keluarga anggota tentera, membantu wanita mengimbangi kerjaya dan keluarga serta menggalakkan penyertaan khidmat negara.

Pada Disember lalu, beliau bekerjasama dengan Organisasi Perkhidmatan Bersekutu (USO) dalam menyediakan pakej bantuan untuk anggota tentera.

Beliau dianggap calon Wanita Pertama paling tepat kerana mempunyai profail sebagai wanita berkulit gelap dengan perkahwinan kukuh yang mampu mempengaruhi pandangan dunia terhadap wanita Afrika Amerika.

Pengorbanan isteri Presiden

Kira-kira tiga bulan selepas Barack Obama mengumumkan pencalonannya dalam pilihan raya Presiden AS pada Mei 2007, Michelle mengambil keputusan mengurangkan tanggung jawab profesionalnya bagi menyokong suaminya itu.

Pada peringkat awal, beliau mengehadkan penglibatannya dengan hanya menghadiri majlis politik dua hari seminggu kadang kala bersama anak-anak perempuan mereka.

Bagaimanapun mulai Februari tahun lalu beliau memenuhi 33 jemputan majlis dalam lapan hari di samping membuat sekurang-kurangnya dua kemunculan sewaktu berkempen dengan bantuan Oprah Winfrey pada 10 Disember 2007.

Beliau juga mengarang ucapan dan ceramahnya sendiri yang menyentuh isu kaum dan pendidikan dengan menggunakan aspek keibuan sebagai rangka pelan.

Chicago Sun-Times melaporkan bahawa Michelle berjaya menjalankan kempen suaminya dengan penuh semangat dan keikhlasan dengan kebijaksanaan serta kemahiran berpidato yang tinggi.

Bagi memastikan peranan politiknya berjalan dengan lancar, Michelle melantik kakitangan wanita untuk membantunya.

Kempen Pilihan Raya Presiden AS merupakan pendedahan pertama beliau kepada senario politik negara malah dianggap sebagai pasangan calon yang paling kurang popular.

Sindiran tajam

Pada awal kempen, Michelle menyelitkan lawak ironi, sindiran dan anekdot mengenai kehidupan keluarganya dalam ucapan-ucapan beliau.

Namun tidak lama kemudian pihak media mula mengkritik pendekatan beliau itu.

Pada 18 Februari tahun lalu di Milwaukee, Wisconsin, beliau memberi komen berkenaan;

‘‘For the first time in my adult lifetime, I’m really proud of my country, and not just because Barack has done well, but because I think people are hungry for change’’.

(Untuk pertama kalinya dalam kehidupan dewasa ini, saya benar-benar berbangga dengan negara saya, bukan hanya kerana Barack telah berjaya tetapi kerana saya merasakan rakyat dahagakan perubahan).

Pengkritik lantas menuduh beliau memberi komen negatif terhadap suasana politik AS, namun tindakan Michelle dipertahankan Laura Bush yang menjelaskan kata-kata Michelle telah disalah ertikan.

Penceramah berkarisma

Tahun lalu, Michelle dianggap sebagai penceramah yang cukup berkebolehan, bijak berpidato dan berkarisma dalam menyampaikan ucapan.

Beliau diberi penghormatan menyampaikan ucaptama pada malam pembukaan Konvensyen Demokratik Kebangsaan dengan menggunakan keluarganya sebagai tajuk perbincangan.

Komentator politik, Andrew Sullivan menggambarkan ucapan Michelle sebagai antara yang terbaik, paling menyentuh perasaan, intim, merangsang, rendah diri dan indah pernah diucapkan dari pelantar sebuah persidangan.

Michelle Obama secara rasminya menginjak pentas dunia dengan penuh bergaya dan glamor sebaik bergelar Wanita Pertama Amerika Syarikat (AS), Selasa lalu.

Ia mencetuskan keghairahan dalam industri fesyen Barat tatkala mengira detik pelantikan Barack Obama sebagai presiden sambil diiringi isterinya sebagai seorang duta.

Setelah berbulan-bulan menunggu, barulah dunia melihat kebijaksanaan Michelle menggabungkan fesyen mewah dan murah dalam setiap penampilannya seperti mengenakan sarung tangan hijau oleh jenama pasar raya J. Crew dengan kasut kulit tumit tinggi hijau Jimmy Choo.

Beliau digambarkan sebagai wanita moden yang bergaya dan ranggi dalam gayanya tersendiri.

Malah, sehingga kini gaun putih rekaan pereka berusia 26 tahun, Jason Wu yang menyaluti tubuh Michelle pada jamuan makan malam rasmi pelantikan suaminya masih diperkatakan media asing dan majalah seperti Vanity Fair dan People.

Gaun putih bersih daripada fabrik sifon bertatah manik dihiasi perincian ala kelopak dan bulu terdedah di bahu menyerlahkan kejelitaan Wanita Pertama AS itu.

Sebagai tradisi, ia akan disumbangkan kepada Muzium Pertubuhan Smithsonian sebagai sebahagian koleksi berharga gaun yang pernah di pakai oleh wanita-wanita pertama sebelum ini.

Gaya tersendiri

Sebagai pengiring setia Presiden AS ke-44, Michelle terus mendapat tumpuan sebagai sebahagian daripada budaya pop fesyen dunia.

Personaliti dan gaya tersendiri beliau menerima tumpuan sejak Mei 2006 apabila disenaraikan sebagai 25 Wanita Paling Memberi Inspirasi oleh majalah Essence.

Vanity Fair juga menampilkan beliau sebagai antara personaliti yang berpakaian paling anggun sebanyak dua kali iaitu pada Julai 2007 dan 2008 di samping senarai People wanita berpakaian tercantik.

Beliau digambarkan sebagai wanita klasik dan berkeyakinan justeru merupakan calon harapan Wanita Pertama AS , selain dianggap model contoh yang bakal mempengaruhi pandangan dunia terhadap kaum Afrika Amerika.

Michelle turut dianggap sebagai legenda kerana membantu membuka jalan kepada kemunculan lebih ramai wanita Afrika-Amerika yang berjaya.

Beliau diberi penghargaan oleh Oprah Winfrey menerusi Lagends Ball yang meraikan tokoh-tokoh wanita legenda.

Sekitar September 2007 pula, majalah 02138 menyenaraikan beliau sebagai calon ke-58 The Harvard 100, iaitu alumni Harvard paling berpengaruh. Barack Obama menduduki tangga keempat dalam senarai berkenaan.

Michelle juga dikatakan mempunyai gaya anggun ringkas seperti Jacqueline Kennedy dan berperwatakan ala Barbara Bush kerana mementingkan disiplin dan ketertiban dalam penampilan.

Malah gaun putih Wu juga dikatakan sebagai kombinasi unik antara gaya Nancy Reagan dan Jackie Kennedy.

Menariknya, cita rasa fesyen beliau juga berjaya menewaskan Cindy McCain dan Sarah Palin sepanjang kempen Presiden AS 2008 dengan mengenakan jenama terkenal.

Antaranya termasuk Calvin Klein, Oscar de la Renta, Isabel Toledo, Narciso Rodriguez, Donna Ricco dan Maria Pinto.

Michelle tetap menjadi penetap trend fesyen walau negara berkenaan kini menerima impak kegawatan ekonomi.

Ini kerana, beliau berusaha ‘memujuk’ para pereka fesyen agar membenarkannya memakai pakaian sendiri walaupun gambarnya dirakam jurugambar terkemuka seperti Matthew Rolston.

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90