Top Ad 728x90

Jangan biarkan sikap prejudis perkauman musnahkan negara

Sebuah negara yang didiami oleh rakyat yang penuh dengan sifat prejudis dan mengambil tindakan tanpa mengikut prosedur undang-undang akan mudah bertukar menjadi kucar-kacir.

Tanpa mengira siapa, undang-undang mesti dipatuhi dan dihormati. Tentu sekali tiada seorang pun yang terkecuali daripada proses undang-undang. Hatta, orang berkedudukan ataupun pasukan keselamatan sekalipun.

Justeru sesiapa sahaja yang melanggar undang-undang dan bertindak di luar batasan perlu menerima hukumannya.

Sesuatu isu yang berlaku jika dilihat daripada konteks sifat prejudis tentu sahaja akan menjadi isu yang memberi impak besar kepada keharmonian negara.

Selagi elemen asas seperti perasaan curiga, tiada keikhlasan dan menghormati undang-undang serta tiada perubahan sikap dan minda di kalangan setiap rakyat Malaysia untuk hidup bersatu padu dan menghormati undang-undang, selagi itulah akan berlaku kejadian yang tidak diingini. Undang-undang yang sedia ada akan terus dicemari.

Banyak kejadian memberi peringatan tragis bahawa sikap prejudis yang didasarkan kepada perkauman dan agama berlanjutan wujud dan sering dimanifestasikan dalam bentuk yang berbahaya dan tragis sekali. Sikap prejudis boleh sahaja memberi kesan kepada identiti dan maruah diri seseorang.

Sikap prejudis seringkali melibatkan sikap individu kepada individu atau kelompok yang berlainan dari segi agama, etnik, jantina dan orientasi seksual. Ia boleh dilihat sebagai tindakan menghukum atau menilai tanpa bukti dan selalu didasarkan atas persepsi yang telah dibina terlebih awal.

Jika sikap ini sering berlaku di sebuah negara yang berbilang kaum seperti Malaysia, ia boleh sahaja menjejaskan keharmonian kaum.

Oleh itu, setiap rakyat tanpa mengira kaum perlu mengelakkan perasaan prejudis berterusan berlaku.

Kesan sikap prejudis di tahap individu boleh merosakkan sesuatu perhubungan manakala dalam skala yang lebih besar, ia boleh melibatkan keganasan dan peperangan. Tentu sekali sikap prejudis ini perlu dielakkan.

Undang-undang bertujuan menjaga kepentingan negara dan orang ramai. Oleh itu, apa sahaja tindakan yang dilakukan perlu berlandaskan undang-undang.

Apa sahaja ketidakpuasan hati terhadap sesuatu perkara, aduan kepada pihak tertentu boleh dilakukan melalui proses yang betul.

Mengambil tindakan tanpa proses yang betul akan memburukkan keadaan.

Bayangkan apakah yang berlaku dalam sebuah negara pelbagai kaum yang penuh dengan prejudis dan rakyatnya boleh mengambil tindakan sendiri tanpa melalui proses undang-undang.

Rakyat perlu bersifat rasional dan memastikan apa sahaja ketidakpuasan hati terhadap sesuatu isu perlu dilakukan dengan peraturan yang ada. Begitu juga, hak rakyat untuk hidup aman dalam sebuah negara berbilang kaum di negara ini perlu dihormati, tanpa mengira siapa.

Setiap perkara terutama sekali yang melibatkan kaum yang lain kini amat perlu dilakukan secara berhati-hati dan mengikut landasan undang-undang dan peraturan yang betul agar tidak akan menimbulkan sifat prejudis yang berlebihan.

Orang yang melakukan kesalahan daripada segi undang-undang, tanpa mengira siapa perlu dihukum.

Ini kerana sifat prejudis memang sudah wujud. Ia hanya memerlukan sedikit isu untuk membenarkan sifat prejudis itu dimanifestasikan dalam bentuk sentimen yang tidak menggembirakan.

Kita tidak mahu sentimen negatif itu menjejaskan keharmonian hubungan kaum di negara ini. Kita juga mahu undang-undang negara dipatuhi oleh setiap rakyat negara ini.

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90