Nasha dan persoalan perkahwinan
Selepas putus ikatan pertunangan dengan seorang pengarah fotografi, awal tahun lalu, pelakon dan model Nasha Aziz tidak habis diburu persoalan tentang perkahwinan.
Masakan tidak, pernah mengakui sudah bersedia untuk bergelar isteri, gosip yang boleh diklasifikasikan sebagai baru tersebar apabila dirinya dikatakan intim dengan seorang promoter konsert terkenal.
Teori hubungan mereka semakin kuat apabila promoter berketurunan Cina itu sudah pun memeluk Islam dan kini dikenali dengan nama Nur Iman Tang.
Nur Iman bergelar saudara baru pada Ramadan lalu dengan Nasha turut berperanan dalam membantunya menerangkan sedikit sebanyak mengenai asas agama.
Namun Nasha menafikan bahawa kesungguhan Nur Iman memeluk Islam adalah kerananya.
Memberi maklum balas terhadap pertanyaan sama ada dia dan Nur Iman bakal mengikat hubungan dengan pernikahan, Nasha dengan ringkas menjawab, itu adalah perihal masa depan yang sukar untuk dijawab tika dan saat ini.
“Setiap orang ada angan-angan atau impian tersendiri.
“Justeru, manakan boleh kita mencari jawapan tentang sesuatu perkara di masa depan.
“Kalau ditanya tentang perancangan, saya hanya memfokuskan apa sahaja yang ada di depan mata ketika ini,” katanya ketika ditemui di majlis pra pelancaran filem Bunian - Mahkota Seri Helang di Hotel Legend, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Ujar Nasha, pada saat ini, walaupun sudah putus tunang, dirinya tidak pernah sepi selagi masih mempunyai keluarga di sisi.
“Selain keluarga, saya masih ada rakan-rakan yang menyintai saya. Adanya cinta mereka, itu sememangnya satu nikmat yang tidak boleh saya gambarkan,’’ jelasnya.
Mengenai Nur Iman, Nasha yang menyambung kontrak sebagai jurucakap Avon dan Polo berkata, jejaka itu sememangnya sudah lama memahami agama Islam.
“Beberapa amalan diikutinya secara berperingkat-peringkat sehingga mengambil keputusan untuk memeluk Islam, tahun lalu.
“Dia cukup tertarik dengan keindahan Islam dan budaya masyarakat Melayu yang sopan, bersih serta tidak bermegah-megah.
“Tidak lupa berpuasa, Nur Iman juga memakan makanan yang halal,” katanya.
Jelas Nasha, hati Nur Iman mula terbuka kepada Islam ketika Ramadan selepas merasakan dirinya cukup terasing tatkala tidak dapat mengikuti umat Islam mengerjakan solat Tarawih di masjid.
“Nur Iman memeluk Islam pada minggu kedua Ramadan. Saya yang memberi namanya Nur Iman,” jelasnya.
Nasha jadi puteri bunian
Sementara itu, kepada soalan mengenai pembabitannya sebagai Puteri Manja Sakti menerusi filem Bunian - Mahkota Seri Helang, Nasha memberitahu bahawa dirinya memilih untuk berlakon dalam filem itu selepas melihat ia mempunyai jalan cerita yang menarik.
Diarahkan oleh Zaharil Izham Zainon dengan kemunculan sulung komposer terkenal, Adnan Abu Hassan selaku penerbit, Nasha berkata, selain jalan cerita, filem tersebut turut memperlihatkan betapa Malaysia kaya dengan khazanah alam semulajadi.
“Bunian - Mahkota Seri Helang bagaikan ejen dalam mempromosikan tempat-tempat menarik yang ada di negara ini.
“Semua tempat-tempat itu cukup sesuai untuk dijadikan lokasi penggambaran,” katanya.
Ujar Nasha, dalam komitmennya menjayakan Bunian - Mahkota Seri Helang, dia bersedia mengikuti Zaharil untuk memasuki ke alam bunian bagi mendapatkan mood lakonan sebagai puteri bunian.
Selain Nasha, filem Bunian - Mahkota Seri Helang membariskan pelakon antaranya Rusdi Ramli, Mimi Rahzia, Erry Putra, Beego, Ridzuan Hashim dan Maimon Talib.
Filem yang menelan kos sebanyak RM3.5 juta itu akan memulakan penggambaran pada Februari ini di Kota Kinabalu, Sabah dan Perak.
Ditanya mengapa menyepikan diri dari dunia filem selepas berlakon dalam filem Sepi, Jun tahun lalu, Nasha berkata, itu adalah pilihannya.
“Saya kena `jatuh cinta’ dengan sesebuah karya sebelum memilih untuk terbabit dalam lakonan karya berkenaan.
“Namun, selepas Sepi, saya bukannya tidak berlakon. Cuma saya terlibat dengan dua buah drama iaitu Monalisa dan Awan Dania serta banyak terlibat dengan pertunjukan fesyen,’’ tambahnya.
- Utusan