Jangan kempen guna konvoi motosikal - SPR (PRK Kuala Terengganu)

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengingatkan penyokong parti yang bertanding pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu supaya tidak berkempen menggunakan kumpulan bermotosikal atau pita rakaman yang dipasang pada pembesar suara pada hari pengundian, 17 Januari ini.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, kaedah itu dianggap sebagai berkempen dan pelakunya boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan jika sabit kesalahan boleh didenda RM1,000 atau penjara setahun.

Bagaimanapun beliau berkata, sebelum tindakan undang-undang diambil, pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya akan menasihatkan pelakunya supaya menghentikan aktiviti itu.

"Daripada pengalaman di Permatang Pauh, terdapat aktiviti berkempen semasa hari mengundi seperti konvoi motosikal dan ceramah dengan menggunakan pita rakaman.

Kerjasama

"Jadi, saya minta kerjasama daripada semua pihak supaya jangan berkempen (menggunakan kaedah tersebut) kerana ia boleh mencetuskan perasaan tidak puas hati di kalangan parti-parti bertanding dan ia melanggar peraturan pilihan raya," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Sementara itu beliau berkata, keputusan penuh pilihan raya kecil itu dijangka diketahui sebelum pukul 10 malam, pada hari pengundian jika tiada kejadian tidak diingini berlaku pada hari itu.

SPR menyediakan 143 saluran di 36 pusat mengundi bagi pilihan raya kecil itu, yang membabitkan 80,229 pengundi berdaftar. Pengundi pos terdiri daripada 1,001 anggota polis, 27 tentera, tujuh pelajar yang menuntut di luar negara dan 267 petugas pilihan raya.

- Utusan
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url