Aman bukan kerana ramai polis - PAS (PRK Kuala Terengganu)

Pas menolak tanggapan suasana aman sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu yang masuk hari ketujuh hari ini adalah disebabkan kehadiran ramai anggota polis.

Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Mustafa Ali berkata, parti itu percaya suasana tersebut adalah kerana kerjasama semua petugas parti yang mengikut arahan kepimpinan supaya menjalankan tugas seperti yang ditetapkan peraturan.

''Bukan pula saya kata polis ini tidak ada peranan. Jangan salah maksud pula. Maknanya bukan kerana ramainya polis ini... (jadi aman).

''Orang merungut macam-macam, sekatan polis sana sini jadi kesesakan lalu lintas. Lencongan sana sini," katanya pada sidang akhbar harian Pas di sini hari ini.

Sejak beberapa hari lalu, Pas dalam ceramah-ceramahnya membangkitkan rasa kurang senang dengan kehadiran lebih 6,000 anggota polis yang bertugas pada pilihan raya ini.

Mustafa berkata, setakat ini hanya soal kehadiran polis yang terlalu ramai menjadi perkara utama yang diberi perhatian oleh Pas menjelang hari pengundian Sabtu ini.

Menurutnya, ini memandangkan pilihan raya kecil kali ini cukup berbeza dengan mana-mana pilihan raya kecil yang lain berikutan bilangan polis yang begitu ramai.

''Saya pergi mana-mana pun pilihan raya kecil, inilah yang paling aman. Tapi sebaliknya pilihan raya ini jugalah yang paling ramai anggota polis.

''Paling aman tapi paling banyak (polis). Tak masuk akal. Tapi kita tak boleh nak buat apa-apa, bukan kita boleh halau polis.

''Kita dah bercakap dengan polis, memang dia boleh buat perakuan itu dan ini. Saya harap benda ini dapat ditangani dengan baik," jelasnya.

- Utusan
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url