Karnival Pengajian Tinggdi (IPTA) 2009
Karnival bertema ‘Kecemerlangan Pendidikan Teras Pembangunan Modal Insan’ dengan slogan ‘Jom Masuk U’ itu berperanan sebagai pusat sehenti mendapatkan maklumat pendidikan tinggi, akreditasi serta pembiayaan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan setaraf serta Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan setaraf.
Karnival itu juga memberi kesedaran mengenai permohonan kemasukan ke IPT awam (IPTA) melalui aplikasi dalam talian oleh Kementerian Pengajian Tinggi.
Ia juga memberi maklumat dasar pemilihan kemasukan pelajar ke IPTA yang mengguna pakai 90 peratus markah akademik dan 10 peratus kokurikulum, di samping menerangkan kaedah pemarkahan kokurikulum berasaskan sekolah yang diselaraskan Kementerian Pelajaran bagi kemasukan ke IPTA.
Menurut kenyataan Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar, Jabatan Pengajian Tinggi, 127,958 permohonan Fasa Satu (Pendaftaran Permohonan) bagi kemasukan ke IPTA Program Pengajian Lepasan SPM/Setaraf diterima sehingga tarikh tutup 31 Disember lalu.
Pelajar wajib mengemukakan permohonan Fasa Dua (Pengesahan Permohonan) yang dibuka 3 Februari.
Iklan permohonan kemasukan ke IPTA bagi Program Pengajian Lepasan SPM/Setaraf serta STPM/Setaraf Sesi Akademik 2009/2010 akan disiarkan dalam lapan akhbar perdana pada 1 Februari depan, manakala permohonan melalui aplikasi dalam talian pula dibuka mulai 3 Februari jam 12 tengah hari.
Tarikh tutup permohonan ialah 10 hari bekerja selepas keputusan SPM, STPM dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2008 diumumkan.
INFO
Jadual karnival
Zon 1: WP Kuala Lumpur, Putrajaya di PWTC pada 16 - 18 Januari.
Zon 2: Kedah, Perlis di Dewan 2020, Kangar pada 30 Januari - 1 Februari.
Zon 3: Sabah, WP Labuan di 1 Borneo Shopping Mall, Kota Kinabalu pada 13 - 15 Februari.
Zon 4: Pahang, Kelantan, Terengganu di Universiti Malaysia Pahang pada 27 Februari - 1 Mac.
Zon 5: Melaka, Negeri Sembilan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka pada 13 - 15 Mac.
Zon 6: Perak, Pulau Pinang di Universiti Sains Malaysia pada 21 - 23 Mac.
Zon 7: Sarawak di Stadium Perpaduan Petra Jaya, Kuching pada 27 - 29 Mac.
Zon 8: Johor di Plaza Angsana, Johor Bahru pada 3 - 5 April.