Sari Yanti, pelakon Kisah Kaisara berkahwin


Pelakon muda, Sari Yanti Mohamad Nazari, 25, yang menempa nama menerusi drama, Kisah Kaisara, selamat melangsungkan majlis perkahwinannya dengan jejaka pilihan hati, Mohd Eddy Casmady Che Hussin, 29, di Kampung Parit, Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada 17 Jan 2009.

Kira-kira 7,000 jemputan hadir pada majlis itu dengan persandingan diadakan kira-kira jam 1.30 tengah hari dan pasangan pengantin mengenakan busana serba putih rekaan Lynda Rahim.

Selain saudara mara, turut memeriahkan majlis ialah rakan artis antaranya Hattan, Zulkifli M Osman dan Zarina Zainuddin.

Majlis akad nikah yang dilakukan sendiri oleh bapa Sari Yanti, Mohamad Nazari Mohd Nor, 49, diadakan malam kelmarin. Sari Yanti menerima mas kahwin RM500 serta tujuh dulang hantaran, termasuk sirih junjung, jam tangan, senaskhah al-Quran, minyak wangi, alat solek dan kek yang dibalas sembilan dulang.

Walaupun penat, Sari Yanti yang tetap berseri-seri ketika ditemui, melahirkan rasa syukur kerana perkenalan selama tiga tahun dengan Mohd Eddy Casmady berakhir di jinjang pelamin.

“Saya sangat gembira kerana kini bergelar isteri kepada lelaki yang saya cintai. Dia kini menjadi teman hidup dan anggota keluarga saya,” katanya.

Menceritakan bibit permulaan perkenalannya, Sari Yanti memberitahu, dia mengenali suaminya kira-kira tiga tahun lalu selepas diperkenalkan oleh sepupunya dan menyifatkan Mohd Eddy Casmady seorang lelaki bertanggungjawab serta memahami kerjayanya sebagai pelakon.

Walaupun kini berstatus isteri, katanya kerjaya lakonan tetap diteruskan kerana Mohd Eddy Casmady sangat memahami minatnya.

Bagaimanapun Sari Yanti belum merancang destinasi berbulan madu kerana kesibukan tugas ketika ini dan dijadualkan memulakan penggambaran sebuah filem, Februari ini.

"Mungkin kami akan memikirkan destinasi berbulan madu selepas semua urusan selesai," katanya.

Sementara itu, Mohd Eddy Casmady, ahli perniagaan yang berasal dari Kota Bharu berkata, dia memberi sokongan padu kepada isterinya untuk berjaya dalam bidang lakonan.

"Saya memahami kerjayanya sebagai seorang artis dan tidak akan menghalangnya. Itu janji saya sebelum berkahwin dan saya akan menunaikannya," katanya.

- Berita Harian
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url