Keunikan pemilihan Raja Negeri Sembilan
PEMASYHURAN Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir, 60 sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang ke-11 bagaikan 'sirih pulang ke gagang' selepas 41 tahun takhta dinaiki Almarhum Tuanku Ja'afar Tuanku Abdul Rahman.
Pada ketika pertabalan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-10 itu, baginda Tuanku Muhriz baru berusia 18 tahun dan atas kerapatan Datuk Undang Yang Empat, takhta berkenaan dipersetujui untuk diperkenankan ke atas Almarhum Tuanku Ja'afar.
Namun begitu kemangkatan Almarhun Tuanku Ja'afar pada 27 Disember lalu, mengembalikan semula 'hak menunggu' kepada yang 'hak memperoleh' apabila pemasyhuran dan kesepakatan Undang Yang Empat - Undang Luak Sungai Ujong, Undang Luak Johol, Undang Luak Jelebu dan Undang Luak Rembau, memutuskan bahawa pengganti Almarhum Tanku Ja'afar adalah Tuanku Muhriz.
Ia sekali gus menamatkan segala spekulasi terhadap pemegang takhta raja yang sebelum ini disebut-sebut di kalangan anakanda Almarhum Tuanku Ja'afar iaitu Tunku Laxamana Tunku Naquiyuddin Tuanku Ja'afar, Tunku Muda Serting Tunku Imran Tuanku Ja'afar dan Tunku Panglima Besar Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja'afar.
Tuanku Muhriz merupakan satu-satunya putera daripada enam orang adik-beradik kepada pasangan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang kesembilan, Almarhum Tuanku Munawir dan pasangan baginda, Tunku Ampuan Durah Almarhum Tunku Besar Burhanuddin. Almarhum Tuanku Munawir telah mangkat pada 14 April 1967.
Baginda Tuanku Muhriz diputerakan pada 14 Januari 1948 dan telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Tuanku Muhammad, Kuala Pilah dan Sekolah Menengah Tunku Besar Tampin, Tampin serta Sekolah King George V di Seremban.
Baginda kemudiannya melanjutkan pelajaran ke luar negara di Aldenham School, Elstree, England dan Universiti College of Wales, Aberystwyth, Wales dalam bidang Undang-Undang. Baginda berkelulusan LLB (Hons).
Tuanku Muhriz telah berkahwin dengan Tengku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud serta dikurniakan tiga putera, Tunku Ali Redhauddin, Tunku Zain Al'Abidin dan Tunku Alif Hussein Saifuddin.
Pengumuman yang dibuat oleh Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Mubarak Dohak bahawa Tuanku Muhriz sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-11 pada 29 Disember lalu telah dinantikan baginda sejak 41 tahun lamanya.
Baginda sebenarnya seorang Raja yang sabar, lemah lembut perwatakannya. Baginda Tuanku Muhriz yang sebelum ini merupakan Tunku Besar Seri Menanti mudah didekati rakyat dan seorang raja yang mesra serta mempunyai sifat kepimpinan yang disegani semua.
Mengikut sejarahnya, baginda telah dilantik sebagai Tunku Besar pada tahun 1960 dan ketika itu Tuanku Muhriz dipilih oleh Majlis Undang berikutan kemangkatan ayahanda baginda, Almarhum Tuanku Munawir.
Jika dilihat pada Perlembagaan Negeri Sembilan telah termaktub dan dinyatakan bahawa penggantian takhta adalah mengikut anakanda lelaki, cucunda lelaki, adinda lelaki dan anak kepada adinda lelaki kepada pemerintah itu, yakni Almarhum Tuanku Munawir.
Pada masa itu Tuanku Muhriz merupakan waris pertama selepas kemangkatan Almarhum Tuanku Munawir, lalu diikuti oleh Almarhum Tuanku Ja'afar dan Almarhum Tunku Abdullah.
Bagaimanapun, baginda tidak dilantik sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ketika itu tetapi ayahanda saudaranya, Almarhum Tuanku Ja'afar yang ketika itu seorang diplomat telah dilantik sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang ke-10.
Pemilihan ini secara tidak langsung dicadangkan sendiri oleh Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Tunku Abdul Rahman, yang meminta supaya Tuanku Muhriz tidak dipilih kerana masih terlalu muda iaitu berusia 18 tahun.
Biarpun 'hak' itu diputuskan oleh Undang Yang Empat melalui Kerapatan Dewan Keadilan, namun tarikh 29 Disember lalu, Tuanku Muhriz akhirnya dimasyhurkan sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-11 di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah.
Istiadat pemasyhuran itu dilakukan oleh Undang Luak Sungai Ujong mengikut Adat Perpatih yang dibawa dari Pagar Ruyong, Sumatera, Indonesia.
Tuanku Muhriz akan ditabalkan sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan sebaik sahaja tempoh berkabung 100 di peringkat kerabat diraja berakhir.
Keunikan dalam pemilihan Raja di Negeri Sembilan bermula sejak tahun 1760 ketika Pemegang-Pemegang Adat dan Pemegang Undang-Undang dari negeri ini ke Minangkabau dan terus ke Pagar Ruyong untuk mencari seorang ketua atau raja.
Raja Pagar Ruyong ketika itu telah berkenan untuk mengirimkan seorang puteranya ke Negeri Sembilan yang bernama Raja Mahmud, yang kemudiannya dipanggil Raja Melewar.
Semua kisah institusi Diraja Negeri Sembilan bermula selepas ini dan walaupun wujud sengketa di antara Kelana Putera dan Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan yang tidak memperakui Raja Melewar sebagai Yam Tuan ketika itu, satu rundingan telah berlaku di antara Datuk Moyang Salleh dengan mereka yang bersengketa.
Akhirnya terbinalah 'Tiang Balai' serta tertegaklah 'Tiang Istana' di Seri Menanti pada 17 Syawal 1192 Hijrah.
Maka termaktub aturan adat yang telah disempurnakan seperti berikut: 'Tanah mengandung Seri Menanti, Tanah kerajaan di Penajis, Balai melintang di Sungai Ujong, Balai bertingkat di Johol, Yang mengatur bilangan Adat di Jelebu, Yang mengukurkan di Rembau.'
Perlu dinyatakan bahawa pemasyhuran Tuanku Muhriz ini juga terpakai sejenis alat kebesaran 'sehelai rambut' yang digulung atau dilingkarkan sehingga memenuhi sebuah batil atau cerana, merangkumi kesemua rambut milik Yang Dipertuan Besar sejak Raja Melewar.
Alat kebesaran itu ketika ini masih disimpan dengan baik di dalam Istana Besar Seri Menanti sebagai Alat Kebesaran Berdaulat Diraja yang akan dibawa setiap kali pemasyhuran dan pertabalan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang baru.
Biarpun pelaksanaan pemilihan, pemasyhuran dan pertabalan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ini akan mengikut kaedah sistem beraja di negeri ini, sejarah sudah pun berulang dengan Tuanku Muhriz menjadi raja ke-11 bagi negeri ini.
Daulat Tuanku!
Aslkm, pada pandangan saya, rambut sehelai sebatil tersebut, hanya sehelai sahaja. Rambut tersebut bukannya merangkumi kesemua rambut milik Yam Tuan bermula dari Raja Melewar. Harap fakta ini jangan diselewengkan. Difahamkan rambut tersebut dipindahkan dari Istana Lama Seri Menanti ke Istana Hinggap di Seremban semasa pemerintahan Almarhum DYMM Tuanku Jaafar.Rambut tersebut bersama beberapa peralatan kebesaran telah ghaib.