Masjid jadi sasaran Yahudi


Masjid dan kawasan ibadat umat Islam tidak terkecuali daripada menjadi sasaran serangan tentera Israel di Genting Gaza yang memasuki hari keenam, hari ini.

Tindakan menyerang masjid dan tempat ibadat umat Islam itu dibuat selepas Israel mendakwa terdapat pejuang Palestin yang menyalahgunakan kawasan berkenaan sebagai pusat pemerintahan tentera dan stor simpanan senjata.

Ketua Khidmat Keselamatan Shin Bet, Yuval Diskin memberitahu Kabinet Israel semalam bahawa pemimpin Hamas bersembunyi di masjid dengan anggapan tentera Zionis tidak akan menyerang mereka di kawasan suci tersebut.

Keadaan itu menyebabkan tentera Yahudi turut menjadikan masjid-masjid sebagai sasaran serangan.

Setakat ini serangan itu memusnahkan lima buah masjid dan dua dewan ibadat.

Israel sebelum ini sering menjadikan tempat suci umat Islam ini sebagai sasaran walaupun tindakan itu berpotensi untuk menyemarakkan kemarahan penduduk Islam di seluruh dunia.

Terbaru semalam, serangan oleh pesawat perang Israel telah memusnahkan Masjid Tel Al-Hawa.

Penduduk Palestin dan jemaah masjid berkenaan membantah keras tindakan tersebut dan menafikan ia digunakan sebagai markas tentera.

“Tindakan itu merupakan satu penghinaan terhadap seluruh umat Islam,’’ kata seorang penduduk, Iyad Akram.

Sementara itu, Perdana Menteri, Ismail Haniyeh berkata, Israel perlu menghentikan serangan ke atas Gaza sebelum sebarang cadangan melaksanakan perjanjian damai dapat dipertimbangkan oleh Palestin.

Katanya, serangan ganas tentera Zionis ke atas wilayah Palestin perlu ditamatkan tanpa sebarang syarat dan selepas itu barulah rundingan damai dilakukan.

“Kedua, kepungan perlu dihentikan dan semua pintu sempadan perlu dibuka semula kerana kepungan itu merupakan ibu kepada semua masalah di Gaza,” tegas Ismail.

Ismail dalam nada tegas turut menyatakan, pejuang Islam yang mengawal Genting Gaza akan menang dalam peperangan menentang Israel.

“Kami ingin memberitahu penduduk Palestin di Gaza dan di mana jua bahawa kita akan menang dalam peperangan ini.

“Kemenangan semakin hampir dan insya-Allah ia lebih cepat daripada yang anda semua fikirkan,” tegas beliau.

Perdana Menteri itu menyatakan perang ini bukan serangan biasa tetapi merupakan peperangan sebenar di luar batasan moral, prinsip dan juga undang-undang.

“Perang ini merupakan satu peperangan menghapuskan penduduk Palestin di Genting Gaza,” katanya.

– Agensi
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url