KFC Holdings sasar jualan tumbuh dua digit


KFC Holdings (Malaysia) Bhd. (KFCH) mengunjurkan pertumbuhan jualan dalam dua digit pada tahun kewangan semasa meskipun berdepan dengan situasi ekonomi mencabar pada tahun ini.

Pengarah Urusannya, Jamaludin Md. Ali berkata, unjuran itu dibuat berdasarkan perkembangan prestasi jualan keseluruhan yang meningkat 27.5 peratus bagi tempoh Januari hingga September tahun lalu kepada RM1.57 bilion.

''Selain itu, KFCH turut mencatatkan pertumbuhan keuntungan 20.9 peratus kepada RM127.4 juta bagi tempoh yang sama tahun lalu, setakat ini kami menyaksikan aliran positif dalam prestasi kewangan KFCH.

''Namun kesan sebenar krisis ekonomi kepada prestasi kewangan kami hanya akan dapat dilihat pada suku pertama tahun depan,'' kata beliau pada sidang akhbar selepas melancarkan produk terbaru KFCH, Burger Zinger Tower di sini hari ini.

Tambah Jamaludin, KFCH mempunyai strategi tersendiri dalam menghadapi krisis ekonomi yang mencabar pada tahun ini dengan melancarkan produk-produk baru bagi menarik minat pelanggan dengan harga yang berpatutan.

''Dalam suasana ekonomi yang tidak menentu ini, pengguna lebih berhati-hati dalam perbelanjaan mereka dan telah mula mengurangkan perbelanjaan di restoran-restoran mewah dan memilih mendapatkan barangan yang lebih berpatutan.

''KFCH akan terus melabur untuk menyediakan produk baru yang lebih berkualiti dan pada tahun ini sahaja kami akan melancarkan empat produk utama baru pada harga berpatutan sesuai untuk semua lapisan masyarakat ,'' katanya.

Terdahulu, KFCH melancarkan Burger Zinger Tower yang mula dijual di semua cawangan KFC di seluruh negara untuk jangka masa terhad bermula hari ini sehingga 28 Februari ini.

Harga hidangan tersebut bagi ala carte adalah RM6.60 dan tawaran kombo termasuk Zinger Tower Burger, satu Pepsi Max, puding mangga dan jam tangan Zinger Time dengan harga RM15.90.

KFCH menjangkakan produk terbaru ini akan menyumbang sebanyak 10 peratus kepada jumlah jualannya, selain itu KFCH turut membelanjakan sebanyak RM2 juta untuk kempen pemasaran dan pengiklanan.

Sementara itu, Jamaludin berkata KFCH juga bercadang menambah 30 buah cawangan lagi pada tahun ini dengan jumlah pelaburan sebanyak RM15 juta berbanding 36 cawangan pada tahun lalu.

''Bagi pembukaan cawangan baru di luar negara kami masih mencari peluang dan lokasi yang sesuai dan buat masa ini KFCH bercadang membuka tiga hingga empat lagi cawangan di Singapura dan satu hingga dua cawangan di Brunei.

''Kami juga akan menambah tiga hingga empat cawangan KFC pandu lalu untuk menambahkan cawangan tersebut yang kini berjumlah 20 cawangan,'' jelasnya.

KFCH akan melihat secara serius dalam pembukaan cawangan pandu lalu ini dan sedang mencari lokasi yang sesuai berikutan sumbangan yang diberikan adalah sangat menggalakkan.

- Utusan
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url