Top Ad 728x90

,

Komentar - Atasi polemik hubungan etnik

Keputusan kerajaan berkaitan Akta Hubungan Kaum sudah jelas. Tetapi itu tidak bermakna isu berkaitan hubungan kaum terhenti begitu sahaja.

Dasar dan program yang jelas perlu dirangka agar polemik hubungan kaum dapat ditangani.

Sukarnya perpaduan di Malaysia daripada segi pentadbiran adalah kerana walaupun diletakkan di bawah Kementerian Perpaduan, Kesenian dan Warisan (KEKWA), isu perpaduan juga adalah teras perkhidmatan di kementerian-kementerian lain.

Kerajaan mungkin bimbang kewujudan sebuah kementerian khusus berkaitan perpaduan akan menunjukkan bahawa masalah hubungan kaum di negara ini seperti tidak terkawal. Namun daripada sudut lain, sebuah kementerian khusus seperti itu sangat diperlukan demi kelangsungan kestabilan negara.

Perpaduan memerlukan satu usaha yang berterusan khususnya melalui pendidikan demi sebuah bangsa Malaysia.

Ada baiknya kerajaan merangka kembali dasar dan strategi perpaduan kaum di negara ini. Perubahan ini memerlukan pemikiran dan dasar baru. Hubungan etnik juga tidak lagi sekadar berdasarkan kaum Melayu, Cina dan India sahaja.

Selain ras dan perbezaan fizikal, bahasa, adat, budaya dan agama, sekarang jurang ekonomi, lokasi residensi dan pekerjaan juga menyebabkan masyarakat negara ini menjadi semakin kompleks dan berbeza.

Itulah sebabnya Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini menyuarakan bahawa sangat penting untuk kita mengetahui apakah asas-asas bersama (common ground) kehidupan antara etnik di Malaysia.

Tiga asas bersama tersebut ialah menghormati Perlembagaan negara, berkongsi kuasa politik dan ekonomi secara adil serta membina sistem pendidikan yang dipersetujui bersama.

Persoalannya bagaimana untuk menguruskan hubungan etnik di Malaysia?

Profesor Robert Park, ahli sosiologis hubungan etnik dalam bukunya The Nature of Race Relations (1950) menegaskan, hubungan etnik secara lumrahnya akan wujud bila dua atau lebih kumpulan yang berbeza budaya, agama dan adat berada dalam ruang yang sama.

Situasi hubungan etnik hanya wujud bila kumpulan tersebut menyedari adanya perbezaan. Jika mereka tidak menyedari atau mengambil sikap mengabaikan perbezaan itu, maka hubungan etnik tidak akan menjadi satu isu yang perlu diuruskan.

Dua kerangka utama yang sering digunakan untuk memahami hubungan etnik ialah model asimilasi dan juga model pluralisme. Asimilasi merujuk kepada usaha untuk meningkat kebersamaan dan keserasian antara etnik di sesebuah negara.

Maka itu Perlembagaan Persekutuan dibentuk untuk mewujudkan kebersamaan tersebut. Penarafan Bahasa Melayu dan agama Islam sebagai entiti rasmi negara adalah strategi untuk membina kebersamaan tersebut.

Malah cadangan pembentukan sekolah satu aliran juga sebenarnya satu lagi usaha untuk membina keserasian antara kaum.

Kerangka asimilasi boleh dijayakan menerusi empat peringkat utama iaitu asimilasi budaya, struktur, psikologi dan biologikal.

Model pluralisme pula merujuk kepada usaha menjayakan hubungan dengan meraikan kepelbagaian etnik melalui budaya, sukan, muzik, fesyen dan makanan.

Ia akan membina toleransi identiti dan seterusnya meningkatkan usaha hubungan etnik.

Bagi menjayakan hubungan etnik ini, yang utama ialah seluruh rakyat menghayati dan memahami Perlembagaan Persekutuan berkaitan dengan hubungan etnik sebagai asas bersama. Kegagalan memahaminya akan menyebabkan kita kembali berpolemik.

Kajian oleh Nur Atiqah T. Abdullah (2006) di Pusat Pengajian Umum UKM mengenai Perlembagaan Persekutuan menunjukkan, tahap pengetahuan responden daripada semua etnik masih rendah.

Maka tidaklah hairanlah apabila sebahagian besar rakyat dengan begitu mudah berjaya dieksploitasi oleh ahli politik yang berkepentingan peribadi. Pengetahuan yang rendah akan mendedahkan rakyat kepada risiko perbalahan antara kaum dan menjejaskan kestabilan negara.

Perlembagaan Persekutuan merupakan sumber tertinggi perundangan negara. Semua undang-undang yang digubal perlu memenuhi semangat dan aturan yang termaktub di dalamnya.

Satu bangsa Malaysia hanya boleh wujud secara realistik bila keluhuran perlembagaan diterima, dihormati dan dihayati oleh seluruh lapisan masyarakat pelbagai etnik di negara ini.

Penelitian dokumen Perlembagaan Persekutuan (cetakan terbaru - sehingga 5 Mac 2008) menunjukkan, daripada 183 Perkara, tujuh menyentuh isu hubungan etnik.

Antaranya ialah Perkara 3 yang menyatakan, Islam adalah agama rasmi Malaysia. Perkara ini jelas dan tidak sukar untuk difahami. Tinggal lagi atas niat seseorang untuk mempertikaikan perkara tersebut.

Perkara 8 berkaitan dengan jaminan sama rata daripada segi undang-undang dan semua warganegara berhak mendapat perlindungan tanpa membezakan agama, kaum, keturunan, tempat lahir dan jantina.

Perkara 11 mengenai kebebasan beragama. Penganut mana-mana agama dibenarkan menguruskan hal ehwal agamanya melalui persatuan dan yayasan serta menjana dan memiliki harta mengikut undang-undang.

Perkara 14 pula berkaitan dengan jaminan sebagai setiap rakyat yang layak berhak untuk memiliki kewarganegaraan.

Penting hak ini difahami oleh semua kaum sebagai menghargai pengorbanan orang Melayu dan pribumi lain yang bersedia membuka jalan untuk kaum Cina dan India menjadi warganegara semasa peringkat awal kemerdekaan dahulu.

Perkara 149 pula melibatkan usaha pengawalan sensitiviti berkaitan hubungan etnik melalui pencegahan kepada perlakuan subversif seperti hasutan serta penghinaan terhadap kumpulan etnik yang lain.

Perkara 152 pula berkaitan pengiktirafan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Namun liberalisasi toleransi yang tinggi kepada seluruh warganegara menyebabkan tiada sesiapa pun boleh dilarang atau ditahan daripada menggunakan bahasa lain untuk tujuan komunikasi umum.

Sementara itu, Perkara 153 pula menyatakan mengenai kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera di Sabah dan Sarawak.

Hak ini diberikan dengan jaminan bahawa orang bukan Melayu tidak akan dipinggirkan daripada perancangan serta turut menikmati sepenuhnya kemajuan ekonomi negara.

Maka, keputusan untuk tidak meneruskan penggubalan Akta Hubungan Kaum menunjuk sikap positif kerajaan berkaitan hubungan kaum di negara ini.

Sebagai alternatifnya, sangat penting untuk merangka satu dasar hubungan etnik dan perkemaskan pelaksanaannya sebagai satu proses mendidik generasi muda. Sekurang-kurangnya, mereka tidak mudah dieksploitasi oleh pemimpin politik berkepentingan sehingga boleh mengucar-ngacirkan kestabilan negara.

Semoga hubungan etnik di negara ini akan berkembang subur dan menjadi contoh kepada negara lain di dunia.

1 Comment:

  1. Bermula dengan niat. Selagi ada setiap etnik yang masih terus berdegil dengan niat dan motif cauvinis dan bukannya atas kepentingan negara dan kebangsaan, selagi itulah polemik ini akan tidak berkesudahan. Memang ada dan ketara tampaknya etnik tersebut. Khususnya yang etnik pendatang.

    BalasPadam

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90