Khamis, Januari 29, 2009

Program Meningkatkan Tenaga Mahir dalam Sektor Kewangan untuk Graduan (FSTEP)

Institut Bank-bank Malaysia (IBBM) menyediakan Program Meningkatkan Tenaga Mahir dalam Sektor Kewangan (FSTEP) pada September 2007 yang dipacu oleh industri perkhidmatan kewangan dengan objektif untuk melatih dan menyediakan graduan berkelayakan untuk bekerja dalam institusi perkhidmatan kewangan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Institut Bank-bank Malaysia (IBBM), Dr. Mohd Kamal Khir, masih terdapat kekurangan tenaga mahir dalam industri perkhidmatan kewangan terutamanya dalam sektor perbankan Islam.

''Kami amat memerlukan kakitangan yang terlatih untuk kerja-kerja mahir supaya dapat menangani masalah kekurangan tenaga mahir memandangkan rantau Asia Barat yang kian berkembang mungkin menjadi satu ancaman.

''Sebenarnya terdapat bakat-bakat tempatan tetapi kebanyakannya telah beralih dari sektor kewangan ke sektor bukan kewangan seperti pembuatan, komunikasi dan swasta manakala yang lain masih belum digilap supaya menjadi cemerlang," katanya.

Beliau berharap dengan penekanan terhadap aspek kualiti dalam graduan yang dipilih, pihaknya pasti dapat mencapai objektif dalam membantu kekurangan tenaga mahir dalam industri perkhidmatan kewangan.

Program FSTEP disasarkan kepada pelajar yang baru menerima ijazah dari institusi pengajian tempatan dan luar negara serta mereka yang bekerja dalam sektor bukan kewangan tetapi mempunyai minat untuk melanjutkan kerjaya dalam industri perkhidmatan kewangan.

Kata Mohd Kamal, setakat ini, sebanyak 90 peratus peserta FSTEP terdiri daripada graduan tempatan manakala bakinya dari universiti luar negara.

Bagaimanapun ujar beliau, graduan yang ingin menyertai program itu perlu memiliki Purata Nilai Gred Terkumpul (PNGK) sekurang-kurangnya 3.25 dan ke atas bagi memastikan kualiti graduan dikekalkan.

''Peserta program ini akan menerima elaun biasiswa berjumlah RM2,200 sebulan dan juga perlindungan insurans dan faedah perubatan asas.

''Program setahun ini merangkumi empat teras aliran perbankan dan insurans iaitu perbankan konvensional, perbankan pelaburan, perbankan Islam serta insurans dan takaful," katanya.

Ditanya sama ada pihaknya bercadang untuk mengeksport program FSTEP ke pasaran antarabangsa, Mohd Kamal berkata, mereka akan memberi tumpuan dalam negara terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang tindakan.

''Ini kerana, objektif utama FSTEP adalah untuk memenuhi keperluan perkhidmatan perbankan dan kewangan tempatan. Sekiranya ada keperluan, kami mungkin akan menimbang untuk berbuat demikian tetapi buat masa ini, kami tidak akan terburu-buru," jelasnya.

Menurut beliau, maklumat lanjut mengenai program itu boleh diperoleh dengan menghantar sebarang pertanyaan kepada enquiry@fstep.org.my ataupun melayari www.fstep.org.my di mana mereka boleh memuat turun borang permohonan.

''Pada masa yang sama, mereka boleh menghantar permohonan dengan menggunakan alamat e-mel berkenaan," katanya.

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts