Komentar - Bagaimana agaknya UMNO tanpa Pemuda, Wanita dan Puteri?

Bagaimanakah agaknya rupa bentuk UMNO tanpa Pemuda, Wanita dan Puteri?

Cadangan Pengerusi Lembaga Disiplin, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail supaya ketiga-tiga sayap parti itu selain Putera UMNO dibubarkan - memang mengejutkan.

Nampaknya sejak diberi tanggungjawab menangani masalah disiplin parti, tempoh 2008-2009 menjadi tahun cukup mencabar bagi veteran UMNO itu.

Hasil pemilihan bahagian dan pencalonan untuk peringkat Pusat - Lembaga Disiplin menerima lebih 900 aduan mengenai politik wang.

Dari tarikh berakhir persidangan perwakilan bahagian 9 November lalu, hanya 224 daripada 974 aduan telah disiasat oleh panel penyiasatan lembaga itu.

Ini bermakna tidak sampai 30 peratus daripada jumlah keseluruhan aduan yang disiasat.

Dalam tempoh itu, Lembaga Disiplin diasak dan dilemparkan dengan pelbagai kritikan - antaranya lambat bertindak, pilih kasih dan bermacam-macam lagi.

Justeru kita faham perasaan anggota Lembaga Disiplin dan kerisauan Tengku Ahmad Rithauddeen sehingga terlontar cadangan pembubaran sayap parti untuk membanteras gejala politik wang.

Cadangan membubarkan kesemua sayap UMNO dan Putera, seolah-olah parti itu menghidap 'diabetes' tahap kronik sehingga terpaksa dibuang kedua-dua belah tangan dan kaki.

Tetapi benarkah penyakit 'politik wang' dalam UMNO terlalu parah sehingga tidak mampu dipulihkan? Atau hanya paras kandungan gulanya sahaja yang tinggi - tetapi masih boleh diselamatkan dengan mengambil beberapa langkah.

Ramai kalangan pemimpin atasan parti itu menganggap cadangan tersebut terlalu drastik.

Ketua Wanita, Tan Sri Rafidah Aziz berhujah usaha menangani politik wang tidak boleh 'umpama marahkan nyamuk, kelambu dibakar'.

Mungkin apa yang perlu dilakukan UMNO ialah mengamalkan diet - ambil pemakanan seimbang, tanpa kolesterol dan gula berlebihan. Dengan kata lain, elakkan 'makanan' yang memudaratkan.

Gaya hidup mewah yang terlampau sehingga memualkan misalnya menyebabkan rakyat memandang serong pemimpin parti itu.

Apatah lagi jika pelakunya ialah anggota Pemuda dan Puteri yang masih muda dan jangka hidup pun belum berapa lama.

Walaupun mungkin pemimpin parti lain juga menghimpun kekayaan masing-masing - mereka tidak pula menunjuk-nunjuk sehingga rakyat rasa meluat.

Memandu kereta mewah menjalar atau memakai baju berjenama dengan labuci gemerlapan ketika melawat kawasan menyebabkan pengundi segan mendekati mereka. Lama-kelamaan semakin menjauh dan akhirnya mustahil untuk rapat semula semasa berkempen pilihan raya.

Penggunaan tanpa segan silu jentera kerajaan dan bukannya jentera parti untuk berkempen juga sepatutnya dielakkan. Ini kerana ia hanya mengundang persepsi negatif di kalangan masyarakat.

Diet UMNO tersebut sebenarnya sudah lama disarankan oleh pakar dan mereka yang cintakan parti Melayu ulung ini.

Namun sehingga kini diet yang dicadangkan itu tidak diamalkan atau dilaksanakan bersungguh-sungguh.

Mungkin sebab itu Tengku Ahmad Rithauddeen tidak tahan lagi hingga mengemukakan saranan drastik supaya sayap-sayap parti dibubarkan!

Walaupun Majlis Tertinggi (MT) memutuskan untuk menolak cadangan pembubaran sayap parti itu, faktor-faktor yang menyebabkan syor itu timbul patut diperhalusi.

Seperti kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam: "Syor itu tidak patut dilihat dari sudut negatifnya semata-mata."

Mungkin sudah sampai masanya UMNO membuat satu make over yang menyeluruh dan bukan sekadar kosmetik.

Semoga hasilnya kelak dapat menampilkan UMNO yang segar dan mampu mengundang rasa teruja ahli dan orang Melayu.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url