Yayasan Wakaf Malaysia (YWM)
"Ya Rasulullah, saya mendapat sebidang tanah di Khaibar dan saya belum pernah mendapat harta lebih baik dari tanah di Khaibar itu. Kerana itu saya memohon petunjuk Rasullullah mengenai apa yang sepatutnya saya lakukan pada tanah itu."
Rasulullah menjawab: "Jika mahu, tahanlah (wakafkan) tanah itu dan anda sedekahkan."
Lalu Umar sedekahkan tanah itu dan mensyaratkan bahawa tanah itu tidak boleh diwariskan. Namun hasil daripada tanah yang diwakafkan itu, Umar salurkan untuk golongan fakir, ahli keluarganya, membebaskan budak, mereka yang berjuang di jalan Allah (fi sabillah), mereka yang kehabisan bekal dalam perjalanan serta para tetamu.
Sumber-sumber menyebut bahwa wakaf Umar itu adalah wakaf pertama dalam sejarah Islam. Namun jangankan dari aspek sejarah, ibadat wakaf itu sendiri pada keseluruhannya jika dilihat pada konteks hari ini, ia masih begitu asing di kalangan umat Islam itu sendiri. Walaupun kedengarannya agak popular tetapi pemahaman umat Islam terhad wakaf itu kepada tanah atau lebih tepat lagi sebidang tanah yang dikenali Tanah Perkuburan Islam!
Sedangkan walaupun ibadat ini dihukumkan harus dalam Islam tetapi ia tidak menjadi alasan kepada umat Islam supaya tidak mempunyai sebarang 'saham' atau 'pegangan' dalam ibadat wakaf. Sebagaimana dalam firman-Nya yang bermaksud: Kamu sekali-kali tidak sampai kepada kebajikan (yang sempurna), sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai. Dan apa sahaja yang kamu nafkahkan, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya. (ali-'Imran: 92).
Malah sabda Rasulullah SAW: Apabila mati seorang anak Adam, terputus amal perbuatannya kecuali daripada tiga hal iaitu sedekah jariah, ilmu pengetahuan yang dimanfaatkan dan doa serta amal anak yang soleh. (riwayat Bukhari)
Sesetengah ulama menafsirkan yang dimaksudkan dengan sedekah jariah di sini sebagai wakaf, bukan wasiat memanfaatkan harta. Imam Nawawi misalnya berkata, antara kesimpulan penting dalam hadis ini sebagai dasar sahnya wakaf dalam Islam.
Dari aspek lughah (bahasa), perkataan wakaf berasal dari perkataan Arab, wakafa yang bererti menahan atau berhenti. Sementara daripada istilah syarak, wakaf didefinisikan sebagai menahan sesuatu benda atau harta yang suci dan halal bentuk zatnya supaya digunakan untuk tujuan kebaikan dan mendapat manfaat daripadanya. Atau apa-apa harta yang ditahan hak pewakaf ke atas harta tersebut daripada sebarang urusan jual beli, pewarisan, hibah dan wasiat di samping mengekalkan sumber fizikalnya (ain).
Bagi sesetengah negara, institusi wakaf dianggap satu mekanisme paling penting bagi menjana pendapatan umat Islam. Ini termasuklah penubuhan Kementerian Wakaf di beberapa buah negara Islam seperti Libya dan Kuwait. Sehinggalah di negara jiran terdekat, Singapura institusi wakaf di sana dilihat lebih ke hadapan berbanding Malaysia.
Negara ini pada dasarnya telah menginstitusikan wakaf itu di bawah setiap pentadbiran Islam negeri. Begitu, masih tidak ada mana-mana institusi atau entiti kebangsaan yang berfungsi sebagai alternatif atau wakil untuk mengelolakan dana-dana wakaf tersebut selain untuk tujuan rekod dan penyelesaian urusan wakaf, seperti yang dilakukan oleh Majlis dan Jabatan Agama Islam Negeri.
Sehinggalah pada 23 Julai 2008, satu badan amanah yang dikenali sebagai Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) atau Malaysian Awkaf Foundation ditubuhkan di bawah pentadbiran atau pengendalian Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar), Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Ketua Pegawai Eksekutif YWM, Azri Ahmad, berkata, penubuhan yayasan ini menggalas pelbagai tanggungjawab dan amanah bagi memajukan institusi wakaf dan dana-dana wakaf yang ada di negara ini.
Ini sebagaimana yang menjadi kebimbangan Menteri di JPM, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi apabila beliau mendedahkan terdapat tanah seluas 9,907 hektar yang berstatus wakaf bernilai RM1.2 bilion di seluruh negara. Ada sebahagian daripadanya dalam keadaan terbiar dan tidak dimajukan.
Menurut Azri, tanah-tanah wakaf tersebut terdiri daripada wakaf am seluas 2,186 hektar dan wakaf khas yang seluas 7,719 hektar.
Walaupun sebahagian daripada tanah-tanah tersebut terdiri tanah perkuburan dan masjid, masih terdapat tanah-tanah lain yang mempunyai potensi untuk dibangunkan secara komersial untuk memberi faedah kepada umat Islam.
"Jumlah sebenar tanah wakaf mungkin lebih daripada jumlah yang tercatat apabila ada kalangan umat Islam di negara ini meniatkan tanah mereka untuk tujuan wakaf. Namun mungkin perkara ini tidak direkodkan dengan baik dan tepat.
"Sekadar bercerita di kalangan ahli keluarga dan mereka pula tidak mengambil tindakan untuk tujuan rekod menyebabkan harta wakaf di seluruh negara tidak dapat ditentukan jumlahnya dengan tepat," katanya.
Namun seperti yang ditegaskan oleh Azri, bahawa wakaf diiktiraf sebagai satu instrumen penting yang mampu secara ampuh untuk menjana dan memperbaiki kedudukan atau status ekonomi dan sosial umat Islam.
"Melalui wakaf tidak ada had dan sempadan, kita boleh melakukan apa sahaja daripada harta dan dana wakaf itu bagi memajukan umat Islam. Sekalipun sesetengah wakaf telah ditentukan untuk tujuan pembinaan masjid misalnya, tetapi kawasan yang diberi itu agak luas.
"Jadi, mungkin selain dari masjid, sebahagian lain daripada tanah yang didapati mempunyai kedudukan yang strategik itu boleh dibangunkan termasuk untuk tujuan komersial. Ini dikenali sebagai Wakaf Pemimpin, yang zon kan kawasan untuk tujuan tertentu," katanya.
YWM menurut Azri lagi sama sekali tidak bertujuan bertindih dengan mana-mana organisasi lain bagi menjana sumber ekonomi melalui wakaf malahan yayasan ini dapat memastikan masyarakat terpinggir dan miskin di negara ini terbela.
"Dengan beroperasi di Precint 15, Putrajaya serta komitmen pegawai dan kakitangan, YWM bukan entiti yang mengambil untung dalam apa juga projek yang bakal dilaksanakan namun akan menjadi satu tabung sosial yang unggul di negara ini," yakinnya.
Malah kata Azri, YWM turut berasa bertanggungjawab dan memikul amanah apabila melalui rekod agensi Amanah Raya Berhad yang mendapati terdapat nilai hartanah dan jumlah wang yang tidak dituntut yang kini mencecah sehingga RM40 bilion disebabkan isu pewaris yang tidak dapat diselesaikan daripada semua kaum di negara ini.
Daripada jumlah itu sebanyak RM38 bilion adalah hartanah milik orang Melayu di negara ini.
"Masalah seperti ini tidak wajar berlaku kerana ia begitu merugikan. Jadi, tidak salah untuk kita mengadakan sebarang projek yang bersifat kontemporari atau tidak kekal, setidak-tidaknya, kita dapat berbudi kepada hartanah yang dituntut itu," kata Azri.
Lantaran di bawah Rancangan Malaysia ke Sembilan (RMK-9) kerajaan melalui Jawhar telah memperuntukkan RM256.5 juta bagi membangunkan 27 projek pembangunan di seluruh negara di bawah Program Pembangunan Harta Wakaf yang melibatkan tanah seluas 70.85 hektar (mewakili 0.72 peratus daripada keseluruhan keluasan tanah wakaf).
"Ketika ini tersenarai sebanyak 20 projek yang hampir kesemuanya di peringkat perlaksanaan dan berjalan dengan lancar sebagaimana yang dirancangkan," katanya.
Terdapat pelbagai jenis projek yang terlibat. Ini termasuklah pembinaan unit-unit perumahan kos sederhana rendah, kompleks-kompleks pendidikan, lot-lot kedai dan komersial, asrama anak yatim dan pusat perlindungan wanita, hotel-hotel wakaf dan sebagainya lagi.
"Semua projek ini sedang berjalan lancar dan dijangka apabila kesemuanya siap, ia tidak sahaja menjadi prasarana baru negara tetapi menjadi model supaya lebih banyak projek-projek wakaf seperti ini akan dilaksanakan di negara ini," katanya.
Begitupun dengan penubuhan YWM, akan memberi satu senario baru apabila mereka akan memperkenalkan apa yang dikenali sebagai Skim Wakaf Tunai YWM yang didefinisikan sebagai berwakaf menggunakan wang tunai sebagai harta yang diberi oleh maukuf oleh pewakaf (wakif) kepada satu tabung amanah yang diuruskan untuk menguruskan wakaf ini (muttawali).
"Dengan cara ini Wakaf Tunai membolehkan maukuf dikumpul daripada bilangan wakif yang ramai untuk mendapatkan dana wang tunai yang besar supaya dapat digunakan ke arah memberi manfaat kepada penerima wakaf yang disasarkan (maukuf alaih)," kata Azri.
Menurutnya, Wakaf Tunai membolehkan terutamanya umat Islam tanpa mengira latar belakang ekonomi untuk mampu melakukan amalan wakaf ini tanpa perlu menunggu mempunyai harta-harta kekal seperti tanah atau bangunan untuk tujuan wakaf.
"Walaupun mungkin ada perdebatan mengenainya, namun amalan ini bukan baru," katanya.
Dalam buku yang ditulis oleh Dr. Murat Cizakca yang berjudul, A History of Philantrophic Foundation: The Islamic World From The Seventh Century To The Present yang menyatakan bahawa Wakaf Tunai telah dipraktikkan sejak awal abad kedua Hijrah di mana Imam Az Zuhri (wafat pada 124H), iaitu salah seorang ulama terkemuka dan peletak dasar tadwin al Hadis, memfatwakan bahawa wakaf dinar dan dirham dibolehkan untuk pembangunan prasarana dakwah, sosial dan pendidikan umat Islam.
Menurut Dr. Murat lagi, mulai penghujung abad ke 15 hingga abad ke 18, Wakaf Tunai berkembang dengan pesat di Turki terutama semasa zaman Uthmaniah apabila amalan wakaf tunai telah berjaya meringankan perbelanjaan kerajaan dalam menyediakan kemudahan perkhidmatan pendidikan, kesihatan, perbandaran dan sebagainya kepada masyarakat.
"Penerimaan dan penglibatan masyarakat dalam wakaf tunai membantu empayar Turki berkembang kerana dana wakaf tunai itu telah digunakan sebagai pelengkap (complimentary) kepada usaha-usaha pembangunan oleh kerajaan," katanya.
Namun di Singapura, wakaf tunai lebih ketara dijayakan dan sebagaimana kejayaan di Turki sejak diperkenalkan wakaf tersebut maka kejayaan yang sama dicipta oleh masyarakat Islam di negara jiran yang diperintah oleh pemerintah yang sekular itu.
Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) berjaya melaksanakan kutipan kira-kira S$6 juta dolar setahun melalui potongan gaji warga-warga Islam di negara itu, iaitu seramai 250,000 pencarum daripada minimum S$2 dolar sehingga semaksimum S$11 sebulan.
Hasilnya seperti yang kita lihat sekarang, umat Islam Singapura tidak berhalangan langsung untuk mengamalkan ajaran agama itu malah mempunyai prasarana yang cukup lengkap termasuk masjid, sekolah dan pusat komuniti yang begitu aktif dan banyak memberikan sumbangan kepada kehidupan berkualiti masyarakat Islam di negara berkenaan.
"Dengan mengambil contoh-contoh kejayaan wakaf tunai ini, Malaysia juga tidak mahu ketinggalan dan YWM bertanggungjawab untuk memberi tumpuan perlaksanaannya bagi memastikan wakaf ini benar-benar menjadi satu instrumen penting bagi membangunkan ummah," katanya.
YWM boleh dihubungi di talian 03-8883 7400.
- Utusan