Komentar - Kaji semula konsert Rihanna di Kuala Lumpur

Saban tahun ada sahaja a pihak-pihak korporat menjemput artis-artis dari luar negara untuk memenuhi kalendar hiburan tanah air.

Malah kebanyakan artis yang dijemput juga mengundang kontroversi kepada masyarakat. Antara artis-artis kontroversi pernah yang pernah dijemput adalah Inul yang sensasi dengan 'goyang gerudi' dan Gwen Stefani yang terkenal dengan aksi 'ghairah' ketika melakukan persembahan.

Kali ini kita membenarkan penampilan artis Rihanna yang merupakan penyanyi popular Amerika Syarikat menerusi lagunya Umbrella dan Take a bow.

Rihanna juga terkenal dengan artis yang selalu berpakaian seksi ketika berada di pentas.

Ironinya, keputusan membenarkan konsert itu dibuat ketika kesedihan umat Islam Malaysia terhadap pembunuhan umat Islam di Gaza.

Dunia juga tahu bahawa Amerika syarikat juga 'bersubahat' dalam pembunuhan orang Islam di Gaza. Amerika yang menjadi sekutu kuat Israel terus melindungi kekejaman Israel dengan membekalkan kelengkapan teknologi persenjataan.

Justeru, beberapa pertubuhan bukan kerajaan telah melancarkan kempen memboikot barangan atau produk yang dikeluarkan oleh Israel dan Amerika.

Kempen ini bertujuan untuk membantah kekejaman Israel dan secara tidak langsung memberi tekanan ekonomi kepada negara tersebut dengan kuasa membeli umat Islam.

Namun begitu, pemboikotan seharusnya berterusan bukan sekadar produk sahaja, malah umat Islam perlu memboikot budaya negatif atau budaya rendah yang dibawa oleh artis-artis Barat.

Budaya rendah yang dibawa oleh mereka terang-terang menyimpang daripada acuan budaya masyarakat Malaysia yang majoritinya umat Islam.

Apatah lagi, Malaysia sebagai sebuah negara Islam. Muda-mudi yang terdedah dengan budaya rendah ini akan terjerumus kepada gejala yang tidak sihat.

Malah apa yang ditakuti, budaya rendah ini, seperti suka berseronok-seronok dan menggalakkan maksiat akan 'membunuh' pemikiran generasi muda.

Hal ini dibuktikan oleh kajian Prof. Dr. Azizi Yahya dari Universiti Teknologi Malaysia mengenai budaya gangsterisme di sekolah-sekolah.

Antara faktor utama yang menyumbang kepada gejala itu di kalangan pelajar-pelajar adalah disebabkan pengaruh media massa khususnya televisyen.

Filem-filem ganas dari artis Hollywood yang ditayangkan, secara tidak langsung menerap budaya yang tidak sihat kepada generasi muda.

Seharusnya, satu budaya yang segar dan sihat harus diperkenalkan oleh kerajaan kepada generasi muda. Budaya mengangkat artis haruslah diganti dengan mengangkat para ilmuwan ke tahap paling tinggi.

Ini kerana negara kita kini kebanjiran idola tetapi ketandusan teladan. Memetik kata-kata Imam Syafie "Aku bukanlah orang yang soleh, tetapi aku berkawan dengan mereka untuk mendapat tempias mereka".

Justeru, adalah digesa Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan mempertimbangkan semula kelulusan konsert tersebut.

Seluruh umat Islam di Gaza masih lagi dalam keadaan bersedih atas musibah yang menimpa mereka. Sewajarnya kita menghormati keadaan mereka dengan tidak mengadakan konsert untuk bersuka-ria.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url