Gempar terpijak mayat di pantai Cherating

Orang awam dan pelancong yang berkelah di Cherating di sini hari ini gempar apabila seorang pengunjung terpijak mayat manusia ketika mandi di pantai peranginan popular itu.

Dalam kejadian pukul 2.56 petang itu, orang awam barulah menyedari bahawa objek yang dipijak oleh pengunjung itu adalah mayat seorang remaja, Mohd. Hafiz Abdul Aziz, 14, dari Kuala Lumpur.

Mangsa dipercayai mati lemas ketika sedang mandi bersama-sama keluarganya sempena cuti Tahun Baru Cina di pantai itu bermula pukul 10 pagi ini.

Pada masa yang sama, kegemparan itu berterusan apabila pengunjung mendapat tahu bahawa seorang lagi orang awam yang berkelah di situ hilang dan dipercayai lemas.

Sehingga lewat petang ini, pasukan mencari dan menyelamat belum menemui seorang peserta konvoi berkereta, Juazer Rizal Shalehudin, 22, dari Muar yang hilang ketika mandi-manda bersama rakannya di pantai yang sama.

Sehubungan itu, polis mengeluarkan amaran supaya orang ramai yang ingin mandi di pantai itu lebih berhati-hati memandangkan angin kencang dan ombak kuat pada masa ini.

"Polis tak boleh halang orang ramai untuk terus mandi di pantai Cherating. Kami cuma boleh beri nasihat supaya orang ramai berwaspada dan jangan terlalu seronok sehingga lupa keselamatan."

Demikian tegas Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Yusoff kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian petang ini.

Kedua-dua kejadian di pantai Cherating itu berlaku dalam tempoh 24 jam selepas tiga bersaudara lemas dan seorang lagi hilang ketika mandi di pantai Tanjung Balau di Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor semalam.

Dalam pada itu, Mohd. Jasmani memberitahu, Mohd. Hafiz dan Juazer Rizal dilaporkan lemas dan hilang pada waktu yang hampir sama.

"Mayat Mohd. Hafiz terdampar di pesisir pantai dan hanya disedari apabila ada orang awam yang terpijak mayat mangsa ketika sedang mandi pada pukul 2.56 petang ini.

"Juazer Rizal yang juga dikhuatiri lemas masih belum ditemui sehingga pukul 4.30 petang ini dan usaha mencarinya masih dilakukan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Mohd. Jasmani berkata, selain kedua-dua mangsa tersebut, turut nyaris lemas dalam kejadian sama ialah bapa, abang dan adik Mohd. Hafiz.

Bagaimanapun, jelasnya, ketiga-tiga mereka diselamatkan oleh dua pelancong dari Iran dan Scotland yang masing-masing dikenali sebagai Razak dan Mathew.

Menurutnya, adik dan abang mangsa iaitu Mohd. Aiman, 10, dan Mohd. Ahmad Izuddin, 15, kini dalam keadaan stabil dan menerima rawatan di Hospital Kemaman, Terengganu manakala bapa mangsa, Abdul Aziz Sulaiman, 45, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, lima pegawai dan 57 anggota polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat tersebut.

- Utusan
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url