Komentar - Mampukah Obama dekati Islam?

Harapan Barack Obama untuk menjadikan Amerika Syarikat (AS) sebagai negara sahabat dunia Islam bukan lagi satu kejutan. Sejak kempen untuk merebut jawatan Presiden, Obama dan imej Islam sering dikaitkan dengannya.

Ia juga menjadi antara faktor mengapa kebanyakan masyarakat Islam mengalu-alukan Obama sebagai Presiden AS yang baru.

Lalu kelmarin, apabila Obama sekali lagi bercakap mengenai menjalin hubungan baik dengan dunia Islam, termasuk kesediaan untuk berucap di negara-negara Islam, usaha itu dinilai oleh sesetengah pihak sebagai "ada kesungguhan".

Bagaimanapun dalam usia pemerintahannya yang baru menjangkau seminggu, apa yang disampaikan Obama itu juga boleh sahaja ditafsir sebagai retorik semata-mata.

Setakat ini, keyakinan dunia terhadap kemampuan Obama memulihkan hubungan dengan dunia Islam terbahagi dua iaitu antara optimis dan skeptikal.

Membandingkannya dengan bekas Presiden AS, George W. Bush, atau penerus legasi Bush, John McMcain, Obama dilihat lebih baik dalam banyak perkara yang berkisar tentang dunia Islam.

Perkara itu dikuatkan lagi dengan darah keturunan Muslim yang diwarisi daripada ayahnya, seorang penganut Islam dari Kenya, Afrika.

Malah Obama sendiri tidak pernah segan untuk mengaku dan menggunakan nama tengahnya iaitu Hussein, meskipun lebih selesa dikenali sebagai Barack Obama.

Kecenderungan Obama untuk menyingkap sejarahnya yang dekat dengan Islam termasuk pernah membesar selama empat tahun di Indonesia juga, menambah keyakinan terhadap pendekatan beliau yang lebih mesra dunia Islam.

Menguatkan lagi keyakinan itu, beliau pada pidato sulungnya selepas mengangkat sumpah sebagai Presiden AS ke-44 pada 20 Januari lalu, menyentuh secara langsung mengenai hubungan yang bakal dicorakkan oleh pentadbirannya dengan dunia Islam.

Obama antara lain melontar keyakinan untuk membina hubungan baru dengan dunia Islam berdasarkan kepentingan bersama dan sikap saling hormat-menghormati.

Bagi sebahagian yang lain, terpilihnya Obama sebagai Presiden AS yang baru juga ibarat pertukaran baju kepada Presiden yang terdahulu.

Dalam maksud yang lebih jelas, biar siapa pun yang terpilih sebagai Presiden, negara itu akan kekal sebagai sebuah kuasa yang mengamalkan sikap kuku besi.

Tindakan negara itu sebagai polis dunia juga akan diteruskan oleh Obama apatah lagi dalam perkara yang dilihat mengancam dan mengganggu kepentingan politik beliau.

Dalam pendirian itu, dunia Islam pastinya sedar antara ancaman yang dimaksudkan ialah kebangkitan kumpulan pejuang yang lahir dan semakin berkembang sepanjang lapan tahun era pemerintahan Bush.

Iran misalnya, awal-awal lagi sudah melahirkan rasa tidak yakin berhubung tanggapan Obama terhadap dunia Islam, termasuk ke atas negara itu sendiri.

Obama dalam pendiriannya berhubung isu pembangunan teknologi nuklear di Iran lebih berminat mencari penyelesaian menerusi rundingan.

Namun Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad skeptikal mengenainya. Bagi Mahmoud, ia tidak lebih sekadar cara Obama untuk mencapai kemenangan peribadi di pentas politik.

Mahmoud pastinya mempunyai sebab untuk berasa sangsi dengan keikhlasan Obama, kerana sepanjang sejarah hubungan negara itu dengan AS, Iran tidak pernah dilihat sebagai sahabat.

Bagaimanapun tembok paling besar yang bakal menjarakkan AS dengan dunia Islam ialah ideologi yang menjadi asas dasar-dasar luar AS itu sendiri.

Dasar luar AS lebih banyak ditentukan oleh falsafah liberal, iaitu bertunjangkan asas-asas seperti keperluan mempromosikan hak asasi dan demokrasi.

Sedangkan di dunia Islam, hak asas dan demokrasi itu tegak bertunjangkan nilai-nilai yang selaras dengan tuntutan agama Islam yang pastinya tidak selari dengan pemahaman yang liberal.

Justeru bagaimana Obama mahu membawa negara Islam seperti Iraq, Syria, Iran dan Pakistan bersama-sama dengan dasar AS?

Apa yang dapat difahamkan daripada mesej perdamaian Obama dengan dunia Islam sejauh ini barangkali kecenderungan beliau untuk menghapuskan pengaruh-pengaruh yang tidak menguntungkan era penguasaannya.

Dalam hal berkaitan dengan dunia Islam misalnya, dua perkara besar yang dilihat bakal menyukarkan Obama ialah kebangkitan kumpulan pejuang Islam atau Taliban dan pembangunan aktiviti nuklear oleh Iran dan Syria.

Setelah pendekatan keras Bush meletakkan kedua-dua isu itu semakin sulit, Obama perlu mengubah strategi yang lebih bertolak ansur.

Namun pada penghujungnya, baik Bush mahupun Obama, mengharapkan isu-isu sensitif itu mampu dikawal oleh dasar-dasar mereka.

Malah bukanlah sesuatu yang mustahil, Obama dengan strateginya itu mampu menangkap musuh nombor satu AS seperti Osama Laden, Mullah Mohamad Omar dan ramai lagi dan dunia Islam pula merestuinya kerana terpukau dengan pesona 'Islam' Obama.

Perkara ini juga menjelaskan mengapa Obama dalam langkah pertama memenangi hati dunia Islam menutup kem tahanan Teluk Guatanamo dan mengundurkan tentera dari Iraq.

Dalam kedua-dua keputusan Obama itu, adalah jelas ia ada kaitan dengan anggota kumpulan pejuang Islam sama ada yang dibebaskan dari Teluk Guatanamo atau yang masih bebas dan bergerak aktif di Iraq.

Mengapa dasar berbaik Obama dengan dunia Islam dinilai lebih bersikap menjaga kepentingan AS juga kerana Obama tidak memberi tumpuan kepada punca permasalahan sebenar yang membayangi hubungan Islam dan Barat.

Isu tersebut ialah kemelut di Asia Barat iaitu krisis Palestin dan Israel yang sudah berusia lebih enam dekad.

Ketika seluruh masyarakat Islam mengharapkan AS menggunakan pengaruhnya untuk mencipta damai dalam konflik itu, AS sebaliknya mengambil pendirian untuk berdiri di belakang Israel.

Obama juga tidak seinci pun berbeza malah lebih jauh, menyokong berdirinya sebuah negara Israel dan Baitulmaqdis sebagai ibu negaranya.

Obama juga berjanji untuk terus membekalkan Israel dengan senjata api selain melindungi negara itu daripada ancaman senjata nuklear oleh Iran dan Syria.

Malangnya, bagi Palestin, Obama lebih berminat untuk menghapuskan kumpulan pejuang Islam terutamanya Hamas yang dilihat sebagai punca permasalahan di Asia Barat.

Pendirian Obama itu bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana dasar luar AS merupakan permasalahan strategi yang tidak sepenuhnya ditentukan oleh beliau.

Sebaliknya Obama terikat dengan hala tuju yang ditetapkan oleh lembaga atau institusi tertentu di AS seperti Kongres dan sebagainya yang sebahagian besar dianggotai oleh Yahudi.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url