Kota Istanbul, Turki
ISTANBUL kota yang pernah dijanjikan oleh Nabi Muhammad SAW yang dahulunya bernama Konstantinopel. Di Istanbul, Turki baru-baru ini telah diadakan pertemuan antarabangsa mengenai al-Aqsa dan bumi Palestin.
Tidak kurang 50,000 orang dari segenap penjuru dunia menunjukkan simpatinya pada al-Aqsa dengan menghadiri Persidangan al-Quds di kota bersejarah Istanbul.
Dalam hadis Rasulullah SAW diriwayatkan dengan maksud: “Abdullah bin Amru bin al'As berkata bahawa ketika kami duduk di sekeliling Rasulullah SAW untuk menulis, tiba-tiba Baginda ditanya tentang kota manakah yang akan futuh (dibuka) terlebih dahulu, Konstantinopel atau Rom? Rasulullah SAW menjawab: "Kota Heraklius terlebih dahulu (maksudnya Konstantinopel).” (riwayat Imam Ahmad)
Hadis lain juga ada yang menyebutkan secara jelas tentang jatuhnya kota Konstantinopel ke tangan umat Islam yang bermaksud: "Rasulullah SAW bersabda: Kamu akan pasti membebaskan Konstantinopel, sehebat-hebat Amir (Panglima Perang) adalah Amirnya dan sekuat-kuat pasukan adalah pasukannya." (riwayat Imam Ahmad)
Setelah sekian lama berita gembira mengenai kejatuhan Konstantinopel ke tangan Islam diberitahu, namun tidak juga kunjung tiba walaupun generasi sahabat telah meninggal dunia dan diikuti generasi tabi'in.
Tetapi pada akhir pemerintahan Sultan Muhammad al-Fatih, kota Istanbul akhirnya jatuh juga ke tangan Islam, sebagai bukti kebenaran hadis Rasulullah SAW.
Sejak itu Istanbul akhirnya menjadi ibu kota khalifah Islamiah hingga 1924, dan menjadi benteng kekuatan umat Islam dalam menghadapi pengaruh Zionis dunia yang ingin memasuki bumi Baitulmaqdis.
Setelah selesai kongres Zionis antarabangsa yang diselenggarakan di Basel, Swiss pada 1897,seorang wartawan Yahudi Austria, Theodore Hertzl terpilih mengetuai gerakan Zionis lantang menyatakan, Palestin sebagai 'rumah' bagi kaum Yahudi yang bertebaran di seluruh dunia.
Untuk tujuan itu, Hertzl menemui Sultan Abdul Hamid 11, khalifah Turki Usmaniyah, di mana pada waktu itu Palestin merupakan sebahagian daripada kekuasaan kekhalifahan Islam.
Sultan Abdul Hamid 11 menolak mentah-mentah segala daya usaha Hertzl, meskipun waktu itu kekuatan kekhalifahannya sedang terancam.
Beliau dikenali dengan penyataannya yang popular: “Meskipun kamu mencubik-cubik tubuhku menjadi serpihan-serpihan daging, tidak akan aku serahkan Palestin kepada kamu.''
Istanbul adalah kota perjuangan mempertahankan al-Aqsa daripada pengaruh Zionis. Justeru, Persidangan al-Quds dilangsungkan di Istanbul untuk mengembalikan kegemilangan al-Aqsa.
Aal-Aqsa kini menjadi rebutan dan terdapat perancangan Zionis untuk menghancurkan Masjid al-Aqsa dan dijadikan pusat peribadatan Yahudi antarabangsa. Masjid al-Aqsa adalah kiblat pertama bagi umat Islam sebelum dipindahkan ke Kaabah di Mekah dengan perintah Allah SWT. Kini ia berada dalam kawasan jajahan Yahudi.
Jika dilihat gambar yang diedarkan sekarang, tentu ramai yang menyangka bahawa masjid itu adalah Masjid al-Aqsa. Pihak Yahudi telah mengambil kesempatan untuk mengelirukan umat Islam dengan mengedarkan gambar Dome of The Rock sebagai Masjid al-Aqsa dengan putar belit dan dakyah mereka.
Tujuan mereka ialah untuk meruntuhkan Masjid al-Aqsa yang sebenarnya. Apabila umat Islam sudah keliru dan sukar untuk membezakan Masjid al-Aqsa yang sebenarnya, maka semakin mudahlah tugas mereka untuk melaksanakan perancangan jahat tersebut.
Muhammad al-Fatih
Manakala mengenai Muhammad al-Fatih yang membuka dan membebaskan kota Istanbul, dalam bahasa Turki, Muhammad sering disebut dengan Fatih Sultan Mehmet. Beliau lahir pada 30 Mac 1432 dan wafat pada 3 Mei 1481.
Merujuk segi kesolehannya, Muhammad al-Fatih disebutkan tidak pernah meninggalkan tahajud dan solat rawatib sejak baligh hingga waktu wafatnya. Pendekatannya kepada Allah SWT diajarkan kepada tenteranya. Sehinggakan tenteranya tidak pernah meninggalkan solat fardu dan solat tahajud sejak baligh. Itulah barangkali kunci utama kejayaannya dan tenteranya dalam menaklukkan kota Istanbul sebagaimana dalam hadis di atas.
Prestasinya menakluki kota Istanbul, beliau kemudian mendapat gelaran 'Al-Fatih' yang bererti penakluk atau pembebasan. Barangkali juga jolokan gelaran itu diberikan kepadanya kerana para pelaku sejarah sebelumnya tidak pernah berhasil menakluk Istanbul walaupun ada hadis mengenai hal itu.
Manakala orang Barat menyebutnya The Conqueror (penakluk). Ada implikasinya bila menyebut penakluk, bahawa beliau seolah-olah pemimpin yang ganas dan kejam. Pada hal gelaran yang sebenarnya dalam bahasa Arab adalah 'Al-Fatih'.
Di samping itu, beliau merupakan seorang yang sangat pakar dalam peperangan dan pandai berkuda. Ada yang mengatakan bahawa sebahagian hidupnya dihabiskan di atas kudanya.
Lebih menarik, meskipun beliau mempunyai kedudukan tertinggi dalam struktur pemerintahan, namun kerana kepakarannya dalam ilmu strategi perang, hampir seluruh perjalanan jihadnya adalah di bawah pimpinannya. Bahkan beliau tetap berangkat berjihad walaupun sedang menderita penyakit.
Beliau juga ahli di bidang pentadbiran negara, baik secara fizikal atau birokrasi dan hukum. Kehebatan beliau dalam mentadbir negaranya menjadi negara yang sangat maju diakui oleh banyak ilmuan dunia. Bahkan secara serius beliau banyak melakukan pembaikan dalam hal perekonomian, pendidikan dan lain-lain.
Dari segi kepimpinan, Istanbul dalam waktu singkat sudah menjadi pusat pemerintahan yang sangat indah dan maju serta kota ekonomi yang berjaya.
Beliau juga pakar dalam bidang sains dan matematik serta menguasai enam bahasa sejak berumur 21 tahun. Seorang pemimpin yang hebat namun cukup bertawaduk dan merendahkan dirinya.
Maka tidaklah hairanlah tenteranya paling rajin bersolat fardu dan sunat.
Setelah menakluk kota Konstantinopel, namanya diubah kepada Islambul yang bererti Kota Islam, Kemudian nama itu telah diganti oleh Mustafa Kemal Ataturk menjadi Istanbul.
Sejak itu ibu kota khalifah Bani Usmaniyah beralih ke kota Istanbul dan menjadi pusat peradaban Islam dunia selama beberapa abad kemudian. Kerana kota itu dibangun dengan segala bentuk dan seni keindahannya, percampuran antara seni Eropah Timur dan Arab jelas ketara.
Gereja-gereja dan tempat ibadat bukan Muslim dibiarkan berdiri dan tidak diganggu. Sementara khalifah membangun gedung-gedung yang indah dan cantik yang dapat disaksikan hingga kini.
Kejayaannya itu menyebabkan banyak kawan dan lawan kagum dengan kepemimpinannya serta taktik strategi peperangan yang dikatakan mendahului zamannya.
Sebagai memperingati jasa Muhammad al-Fatih, Masjid al-Fatih telah dibangunkan di sebelah makamnya di Istanbul.