Nabi Yusuf dan godaan Zulaikha

Dan wanita (Zulaikha) yang Yusuf tinggal di rumahnya menggoda Yusuf untuk menundukkan dirinya (kepadanya) dan dia menutup pintu-pintu seraya berkata: "Marilah memperlakukan aku dengan baik." Sesungguhnya orang yang zalim tidak akan beruntung. Sesungguhnya wanita itu telah bermaksud (melakukan perbuatan itu dengan Yusuf dan Yusuf bermaksud (melakukan pula) dengan wanita itu andai dia tidak melihat tanda (dari) Tuhannya. Demikianlah, agar kami memalingkan daripadanya kemungkaran dan kekejian. Sesungguhnya Yusuf itu termasuk hamba-hamba yang terpilih. (Yusuf: 23-24)

Zulaikha merupakan isteri kepada pembesar Mesir yang membeli Nabi Yusuf daripada rombongan kalifah yang menjualkan. Zulaikha tertarik dengan ketampanan yang dimiliki oleh Nabi Yusuf. Ketampanan Nabi Yusuf ini juga telah membuatkan Zulaikha jatuh cinta terhadapnya.

Pada suatu hari, Zulaikha berniat untuk menggoda Nabi Yusuf. Ketika itu, suaminya tidak ada di rumah. Zulaikha telah menutup kesemua pintu rumahnya lalu mendekati Nabi Yusuf sambil berkata, "Wahai Yusuf, kemarilah engkau ke sini," ajak Zulaikha.

"Aku berlindung kepada Allah dan memohon keampunan daripada-Nya. Sesungguhnya suamimu telah memperlakukan aku dengan baik," jawab Nabi Yusuf.

Zulaikha tidak mengendahkan kata-kata Nabi Yusuf itu. Zulaikha menghulurkan tangannya untuk memeluk Nabi Yusuf tetapi Nabi Yusuf berjaya mengelakkan dirinya. Nabi Yusuf terus berlalu ke muka pintu. Zulaikha mengejarnya dan sempat menarik baju Nabi Yusuf sehingga terkoyak.

Pintu bilik terus dibuka. Zulaikha amat terkejut apabila melihat suaminya berdiri di muka pintu. Pembesar tersebut memandang mereka dengan wajah yang penuh curiga. Untuk membela dirinya, Zulaikha telah menuduh Nabi Yusuf cuba menggodanya.

"Wahai suamiku, balasan apakah yang patut diberikan kepada orang yang cuba menggoda isterimu?" kata Zulaikha, berpura-pura tidak bersalah.

"Dia yang menggodaku. Aku menolak ajakan isterimu, lantas dia menarik bajuku lalu terkoyak," jelas Nabi Yusuf sebagai membela dirinya.

Pembesar tersebut mendengar penjelasan daripada Zulaikha dan juga Nabi Yusuf. Untuk mendapatkan kebenaran dan keadilan, pembesar itu telah mengambil seorang saksi daripada ahli keluarga untuk mengadili perkara tersebut.

"Jika pakaian Yusuf ini koyak di hadapan, maka kata-kata Zulaikha itu benar dan Yusuf telah berdusta. Tetapi, jika baju itu koyak di belakang, maka Zulaikhalah yang berdusta dan Yusuf bercakap benar," kata wanita itu.

Apabila melihat kepada pakaian Nabi Yusuf itu, maka terbuktilah bahawa Zulaikha yang berdusta dalam perkara itu. Pembesar tersebut meminta maaf dan Nabi Yusuf akhirnya terlepas daripada fitnah yang dilemparkan oleh Zulaikha.


- Petikan daripada buku Untaian 366 kisah daripada al-Quran terbitan Edusystem Sdn. Bhd.
Next Post Previous Post
1 Comments
  • yanadzul
    yanadzul Rabu, 14 Januari 2009 pada 12:42:00 PG SGT

    saya suka nama zulaikha..tetapi byk dugaan (mil x benarkan) bila saya nak letak nama tu pada baby saya disebabkan citer zulaikha dgn nabi yusuf..jd sya simpan nama tu dlm hati je..

Add Comment
comment url