PKR dakwa wujud pengundi hantu di DUN Bandar
Dalam satu sidang media di bilik gerakan utama AMK bagi pilihanraya kecil parlimen (PRK) Kuala Terengganu Ketua AMK, Samsul Iskandar Mat Akin serta Pengarah Operasi Pilihan Raya Pusat, Fariz Musa mendakwa memiliki bukti bahawa terdapat pengundi hantu.
"Hasil penelitian terhadap senarai daftar pemilih yang digazetkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), didapati masalah sebuah alamat yang mempunyai 20 orang pengundi," kata Shamsul.
Malah tambahnya, terdapat juga sebuah rumah keluarga Melayu yang mempunyai tiga orang berbangsa Cina pada alamat yang sama dalam daftar pemilih tersebut.
"Setakat ini, kami hanya berjaya mengesan hal ini terjadi di Kampung Cina, Kampung Tokku, Kampung Tanjong Nesan Empat dan Jalan Sultan Ismail.
"Justeru, kami minta pihak SPR menyiasat kes ini kerana ia mungkin timbul pengundi hantu," tegasnya.
Shamsul juga mendesak pihak polis dan anggota keselamatan tidak memandang negatif tindakan jentera Pakatan Rakyat yang membuat penahanan terhadap bas yang tidak dikenali pada hari pengundian.
"Tindakan kami adalah berpandukan apa yang terkandung di dalam perlembagaan dan kami meminta polis tidak memandang negatif.
"Bilangan pondok polis yang banyak didirikan diharapkan dapat membantu melicinkan proses pilihan raya dan bukan menolong memasukkan pengundi hantu," katanya lagidan menambah Kanun Kesiksaan terdapat peruntukan yang menyatakan bahawaa orang awam boleh melakukan penahanan.
Dalam pada itu, Pengarah Operasi Pilihan Raya, Fariz Musa pula menyangkal kenyataan Menteri Besar Terengganu, Dato' Ahmad Said yang tidak mempercayai kewujudan pengundi hantu dalam pilihan raya yang pernah didedahkan sebelum ini.
"Jika dia tidak percaya, kita boleh bawa beliau ke tempat-tempat yang telah dikenalpasti wujud keraguan terhadap pengundi tersebut.
Tambahnya, AMK berjaya mengenal pasti kekeliruan pada senarai semak daftar pemilih yang dikeluarkan SPR apabila menemui sebilangan nama pengundi pada satu alamat tanpa mempunyai perkaitan ikatan kekeluargaan yang jelas.
Beliau turut menyifatkan insiden satu alamat yang mempunyai 20 nama itu sebagai suatu perkara yang keterlaluan.
- Harakah Daily