Kunjungan Najib bangkit nostalgia penduduk Tanjung (PRK Kuala Terengganu)

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengulangi sejarah bapanya kira-kira 40 tahun yang lalu dengan melawat Kampung Tanjung Paya di Jalan Sultan Zainal Abidin yang terletak dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang di sini hari ini.

Kunjungan Najib itu membangkitkan nostalgia penduduk di kawasan itu terhadap Tun Abdul Razak Hussein ketika melawat kampung itu sekitar hujung 1960-an sehingga beberapa warga emas tidak dapat menahan air mata kegembiraan apabila berpeluang menatap wajah Najib.

Bagi mereka, peristiwa yang berlaku hampir 40 tahun yang lalu itu cukup sentimental kerana ia dianggap antara peristiwa besar dalam sejarah hidup mereka.

Menurut penduduk tersebut, lawatan Najib hari ini begitu menyentuh sanubari mereka kerana ia mencerminkan keprihatinan dan kemesraan Tun Abdul Razak kepada masyarakat kampung dan diwarisi pula oleh anaknya.

Seorang warga emas, Mek Indot Baharom, 69, yang ketika itu sedang berehat di atas pelantar di bawah pokok mangga bersama suaminya, Yusof Omar, 69, tidak menyangka apabila secara tiba-tiba melihat kelibat Timbalan Perdana Menteri berjalan menuju ke arah mereka.

Sebaik Najib bersalam dan terus duduk di pelantar di sebelahnya, Mek Indot tidak dapat menahan sebak dan terus menitiskan air mata kegembiraan melihat kemesraan Timbalan Perdana Menteri.

''Dulu tahun 60-an Tun Abdul Razak datang, masa tu saya muda lagi. Saya sejak tu memang sokong UMNO.

''Hari ini anak dia pulok mari. Sebab tu saya sebak, terkenang lagi jasa Tun Abdul Razak," katanya teresak-esak yang kemudiannya ditenangkan oleh Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang turut sama dalam lawatan tersebut.

Seorang lagi penduduk, Wan Mek Abdullah, 82, berkata, ketika Tun Abdul Razak melawat ke kampung berkenaan kira-kira-kira 40 tahun yang lalu, dia tidak berada di rumah.

''Hari ini perasaan tak dapat jumpa Tun Razak telah terubat apabila Datuk Seri Najib sendiri datang ke kampung ni, malah naik ke rumah mak cik bersembang dan bertanya khabar.

''Walau pun tak lama sangat, mak cik cukup besar hati dengan Datuk Seri Najib. Seronok dapat tengok, tak lama lagi nak jadi Perdana Menteri, mak cik yakin sifat-sifat Allayharham (Tun Abdul Razak) ada pada Datuk Najib," jelasnya.

- Utusan
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url