Jangan pasang poster pada kenderaan (PRK Kuala Terengganu)

Polis hari ini mengingatkan pemandu yang terlibat dalam kempen Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu supaya tidak menggunakan kenderaan masing-masing untuk berkempen dengan memasang poster atau bendera.

Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas jika arahan itu diingkari kerana perbuatan mereka boleh menganggu keselamatan pemandu lain.

"Kita berharap pihak terlibat mematuhi peraturan memasang bendera atau poster yang ditetapkan bagi memastikan ia tidak mengganggu lalu lintas," katanya pada sidang media harian di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini hari ini.

Sambil memberi jaminan bahawa polis akan bersikap adil dalam menjalankan tugas, Mohd. Shukri berkata, pihaknya akan sentiasa memantau dan memastikan setiap parti berkempen dengan cara selamat serta mematuhi segala arahan dan peraturan yang ditetapkan.

Beliau juga mengingatkan kepada petugas luar yang datang berkempen supaya menjaga tatasusila dan memahami budaya masyarakat tempatan.

Katanya, pihak polis tidak mahu berlaku salah faham antara petugas parti yang boleh menyebabkan berlaku sebarang insiden yang tidak diingini.

"Walaupun sehingga kini belum ada laporan berhubung perkara itu, tetapi semua petugas parti yang bertanding hendaklah memastikan mereka menjalankan kempen secara berhemah," tegas beliau.

Beliau berkata, dalam tempoh 24 jam lalu, polis menerima lapan laporan, antaranya dua laporan berkaitan ceramah Parti Keadilan Rakyat (PKR) tanpa permit dan dua kes membabitkan penurunan bendera berjumlah 31 helai milik Barisan Nasional (BN), UMNO dan Pas.

Tiga lagi laporan yang diterima polis, katanya, berkaitan pemasangan kain rentang menggunakan perkataan tidak sesuai di tiga jalan utama di sekitar Kuala Terengganu.

Mohd. Shukri berkata, sehingga kini, pihaknya menerima 70 permohonan permit ceramah dan 64 daripadanya diluluskan manakala enam lagi ditolak kerana bukan parti yang bertanding.

Katanya lagi, semalam, polis menerima 18 permohonan permit dan kesemuanya diluluskan melibatkan tujuh ceramah parti BN dan 11 oleh Pas.

- Utusan
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url