Perang pilihan raya parti politik Israel

Selesai perang ke atas Gaza, Israel kini berdepan dengan 'perang' baru. Tarikh 10 Februari ini akan menentukan corak kepimpinan dan dasar baru negara itu.

Ketika ini, parti-parti politik terutamanya tiga parti utama negara itu - Kadima, Likud dan Buruh - giat melaksanakan strategi dan kempen untuk memenangi hati rakyat. Bagaimanapun, perikatan pemerintah yang diketuai oleh parti berhaluan tengah, Kadima, pimpinan Tzipi Livni dikatakan semakin goyah.

Perang ke atas Gaza, walaupun direstui oleh majoriti rakyat, masih gagal melonjakkan Kadima sebagai pilihan utama menjelang pilihan raya dua minggu lagi.

Tinjauan pendapat terbaru menunjukkan parti pembangkang sayap kanan, Likud yang dipimpin oleh Benjamin Netanyahu terus menguasai pilihan. Netanyahu yang memainkan sentimen anti-Palestin mendapat tempat di kalangan rakyat berhaluan ortodoks.

Sentimen yang dibawa oleh Likud itu menguasai hati pemilih walaupun perang ke atas Gaza selama 22 hari bermula pada 27 Disember lalu dijana oleh Kabinet di bawah Kadima.

Usaha damai Israel-Palestin anjuran Amerika Syarikat (AS) yang disertai oleh Kadima bagi pihak Israel dan Fatah di pihak Palestin ternyata tidak disenangi oleh majoriti penduduk Yahudi.

Ikrar Netanyahu kelmarin bahawa Likud akan meluaskan kawasan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat jika beliau dipilih sebagai Perdana Menteri telah melonjakkan pengaruhnya.

Pemimpin yang menjadi favourite sejak beberapa bulan lalu mendapat sokongan konservatif yang menentang keras program pemindahan pendatang Yahudi dari Tebing Barat, dua tahun lalu.

Bekas Perdana Menteri pada 1996-99 itu berikrar meneruskan dasar menguasai Tebing Barat dan membiarkan "pertumbuhan semula jadi". Ungkapan itu merujuk kepada pembinaan perumahan baru bagi menampung pendatang Yahudi di Israel.

Tanpa mempedulikan sama ada mendapat restu Amerika Syarikat atau tidak, beliau menegaskan, Tebing Barat perlu terus berada dalam cengkaman Israel.

Ia sama sekali bercanggah dengan dasar AS yang menyokong penubuhan sebuah negara Palestin di Tebing Barat dan Gaza, bersebelahan Israel.

Sekiranya tinjauan pendapat itu boleh dijadikan ukuran bagi keputusan sebenar pilihan raya nanti, maka hala tuju pentadbiran baru Israel telah pun boleh diduga.

Jika Likud menguasai Knesset (Parlimen), usaha damai di Asia Barat bakal tergugat. Jika kini, Kadima menjadikan Hamas di Gaza sebagai musuh maka di bawah Likud, Fatah di Tebing Barat juga akan berdepan dengan ancaman yang serupa.

Namun jika dibelek pada lakaran sejarah Zionis sejak lebih 60 tahun lalu, sikap Israel terhadap penduduk dan wilayah Palestin tidak akan berubah. Dasar untuk terus menguasai tanah Palestin yang dianggap sebagai wilayah asal Yahudi akan kekal dalam pentadbiran Zionis.

Lihat sahaja apa yang dilakukan oleh Kadima, parti yang dianggap berhaluan tengah. Gaza hampir musnah keseluruhannya akibat dibedil tentera Yahudi.

Kemusnahan harta benda dan kehilangan nyawa penduduk Palestin tidak pernah berbekas di hati rejim berkenaan. Itu baru penangan yang dicipta oleh Kadima. Bayangkan malapetaka seterusnya apabila golongan ortodoks Yahudi menguasai Knesset nanti.

Perlu diingat, majoriti rakyat negara Yahudi itu adalah pendokong fahaman Zionis. Bagi mereka, tanah Palestin perlu menjadi milik mutlak mereka. Baitulmaqdis yang menempatkan Masjid Al-Aqsa juga milik mereka.

- Utusan
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url