Persepsi berat sebelah terhadap Hamas
Persepsi Hamas adalah pengganas dikuatkan lagi apabila Ehud Barak, Menteri Pertahanan Israel antara lain menyatakan untuk menyarankan Tel Aviv mengadakan gencatan senjata dengan Hamas adalah seperti menyuruh Amerika Syarikat (AS) melakukan perkara yang sama dengan Al-Qaeda!
Tetapi Hamas kepada sebahagian besar rakyat Palestin tidak kira sama ada di Semenanjung Gaza atau Tebing Barat adalah sebuah organisasi yang sah dan mendapat mandat untuk memerintah sebahagian daripada negara Palestin.
Hamas mendapat mandat rakyat Palestin dengan memenangi pilihan raya Semenanjung Gaza pada tahun 2006. Malah sebahagian besar masyarakat antarabangsa (kecuali AS dan beberapa negara Eropah) melihat Hamas yang memerintah Semenanjung Gaza sebagai entiti yang sah.
Perlu diungkit kembali Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang dikuasai oleh kumpulan Fatah pada satu ketika dahulu juga dilabel sebagai kumpulan pengganas oleh mereka yang pada hari ini menganggap Hamas adalah kumpulan pengganas.
Lebih daripada tiga dekad diperlukan untuk menyedarkan AS dan Israel bahawa Fatah adalah kunci kepada perdamaian di Palestin. Sebab itu Israel mahu berunding dengan PA (Fatah) tetapi tidak dengan Hamas.
Timbul kemusykilan mengapa Israel mahu membuka pintu rundingan dengan Fatah tetapi tidak dengan Hamas jika kedamaian yang berkekalan diidamkan oleh rejim Israel. Ada yang berpendapat bahawa kedudukan Fatah yang tidak begitu kuat membuatkan Israel membuka pintu rundingan dengan harapan pemimpin PA mudah dapat dimanipulasi mengikut rentak agenda Tel Aviv.
Perjalanan dan hasil rundingan damai di antara Presiden Mahmoud Abbas dan pemimpin Israel sedikit sebanyak telah mengesahkan andaian tersebut.
Pemimpin AS dan Israel begitu akur bahawa Hamas tidak mudah dipermainkan kerana perjuangan pergerakan itu mendapat sokongan padu rakyat Palestin. Sebab itu kumpulan Hamas dengan berani dan berjaya menghalau kumpulan Fatah daripada beroperasi di Semenanjung Gaza.
Terdapat juga kebenarannya, salah satu sebab utama mengapa tentera Israel terpaksa berundur dari Semenanjung Gaza adalah kerana tentangan daripada pejuang Hamas.
Sebab itu strategi rejim Israel adalah menggunakan rakyat Palestin sendiri untuk menghapuskan Hamas dengan harapan keperitan dan kepayahan yang dilalui oleh penduduk Semenanjung Gaza akibat sekatan akan membuahkan kebencian terhadap Hamas.
Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya apabila pengaruh Hamas menjadi bertambah kuat. Malah masyarakat antarabangsa menyalahkan sekatan yang dikenakan oleh Tel Aviv yang membuatkan penduduk Semenanjung Gaza merana.
Serangan ke atas Semenanjung Gaza hanya mempunyai satu matlamat iaitu untuk menghapuskan organisasi Hamas secara menyeluruh melalui operasi ketenteraan. Strategi ini pernah diamalkan oleh Israel ke atas Hizbullah di Lubnan pada tahun 2006 yang membawa kesan sebaliknya di mana Hizbullah menjadi bertambah kuat.
Hasrat Israel tidak tercapai kerana terpaksa akur dengan tekanan masyarakat antarabangsa (termasuk AS) untuk mengadakan gencatan senjata.
Tetapi berbeza dengan apa yang berlaku di Lubnan, gencatan senjata 48 jam yang diutarakan oleh Libya melalui Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa berani ditolak oleh Israel kerana Washington dan London berada di belakang Tel Aviv. Selagi kedua-dua kuasa besar ini berada di pihak Israel, maka selama itu Tel Aviv berani meneruskan serangan udara ke atas Semenanjung Gaza tanpa mempedulikan tekanan masyarakat antarabangsa yang lain.
Kenyataan yang dikeluarkan oleh duta AS ke PBB yang antara lain menyatakan badan dunia itu sepatutnya tidak mengeluarkan resolusi gencatan senjata kerana proses tersebut perlu dilakukan hanya oleh Israel dan Hamas adalah sebagai isyarat lampu hijau kepada Tel Aviv untuk meneruskan serangan.
Sememangnya kenyataan oleh duta AS Zalmay Khalilzad itu tidak masuk akal kerana tidak mungkin persetujuan dapat dicapai tanpa tekanan luar dikenakan sama ada kepada Israel atau Hamas. Memang benar gencatan senjata selama enam bulan lepas dapat dipersetujui oleh Tel Aviv dan Hamas tetapi ini hanya berlaku kerana tekanan dan peranan yang dimainkan oleh Kaherah.
Jika PBB tidak boleh digunakan untuk menghentikan kezaliman Israel terhadap penduduk Palestin, maka kepada siapa lagi mereka yang teranaiya ini perlu mengadu?
Apakah ratusan penduduk awam yang terbunuh akibat serangan rejim Israel masih belum mencukupi untuk masyarakat antarabangsa mengambil tindakan sewajarnya? Apakah dalil yang digunakan oleh rejim Israel untuk menghentikan serangan roket Hamas sebagai asas serangan bertubi-tubi mereka boleh diterima oleh masyarakat antarabangsa?
Jika asas tersebut diterima maka perlu diungkitkan bahawa serangan roket Hamas ke atas wilayah Israel semenjak lapan tahun yang lepas telah mengorbankan sembilan nyawa rakyat Israel. Sementara empat hari pertama serangan tentera rejim Israel telah mengorbankan hampir 400 rakyat Palestin.
Sememangnya jumlah korban rakyat Palestin tidak memberi kesan kepada negara yang menyokong tindakan rejim Israel. Begitu juga dengan keperitan yang dilalui oleh rakyat Palestin akibat sekatan yang dikenakan oleh Tel Aviv terhadap Semenanjung Gaza juga tidak memberi makna kepada penyokong Israel.
Tetapi apa yang penting bagi penyokong rejim Israel ialah roket Hamas telah mengorbankan sembilan rakyat Israel dan setiap kali pelancaran roket Hamas dikesan, maka setiap kali penduduk Sederot terpaksa bergegas ke tempat perlindungan.
Gambaran kepayahan penduduk Sederot ini diburukkan lagi dengan laporan berat sebelah media Barat yang seolah-olah cuba menyamakan keperitan penduduk Sederot adalah setaraf dengan apa yang dilalui oleh penduduk di Semenanjung Gaza.