Nilai Keupayaan Calon Dan Bukan Raut Muka (PRK K.Terengganu)

Pengundi di kawasan Parlimen Kuala Terengganu perlu menilai calon Barisan Nasional (BN) Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, berdasarkan keupayaannya dan bukan raut mukanya, kata Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata pengundi perlu bijak memilih calon yang berkemampuan membawakan hasrat rakyat ke peringkat yang lebih tinggi.

"Biasa orang kita ini mengambil kira personaliti, perwatakan sampai perkara itu mengatasi fakta yang lain sebagai seorang pemimpin, kemampuan dia menyempurnakan hasrat rakyat dan prestasi dia. Hal-hal sebegini harus ada sebagai seorang pemimpin dan kita perlu beri itu sebagai pertimbangan yang utama.

"Kadang-kadang raut muka pun diambil kira. Wan Farid orang kata tak selalu senyum macam saya dan kadang-kadang kita terpengaruh dengan fakta itu seolah-olah perkara itu lebih besar daripada keupayaan dia. Saya pasti Wan Farid ada keupayaan," katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan bersama pengusaha keropok lekor di Losong di sini, Sabtu.

Muhyiddin berkata sekiranya Wan Ahmad Farid memenangi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu 17 Jan ini, adalah lebih mudah baginya menyalurkan hasrat rakyat memandangkan beliau bakal ditawarkan semula jawatan Timbalan Menteri Dalam Negeri.

"Ini lebih daripada bonus untuk dia (Wan Ahmad Farid) kerana dia ada akses secara langsung untuk beritahu permasalahan yang dihadapi di kawasannya secara terus kepada menteri-menteri yang berkaitan.

"Dia juga tidak perlukan orang tengah untuk menyampaikan permasalahan rakyat di kawasannya. Kalau pengundi memilih calon Pas (Mohd Abdul Wahid Endut), apa yang dia boleh buat?

"Kerajaan pusat, kerajaan BN, kerajaan negeri BN. Jadi apa saluran yang dia ada untuk membawa permasalahan rakyat selain daripada Parlimen? Tak selesai masalah. Ini yang harus menjadi pertimbangan rakyat," katanya.

Pilihan raya kecil kawasan itu pada 17 Jan ini, bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Wan Ahmad Farid, Mohd Abdul Wahid dan Azharudin Mamat atau Adam dari Bebas.

Ia diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Razali Ismail 28 Nov lalu.

- Bernama
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url