BN yakin, PAS selesa aliran sokongan di Kuala Terengganu (PRK K.Terengganu)

Ketika tempoh berkempen sudah menghampiri 50 peratus hari ini, pelbagai pihak sudah mula memikirkan secara serius peluang bagi parti-parti yang bertanding memperoleh kemenangan di Kuala Terengganu.

Tinjauan rambang mStar Online menunjukkan ada yang sudah meletakkan majoriti undi yang bakal diperoleh oleh parti yang bertanding manakala sesetengah pihak lain pula sudah mula bercakap mengenai peratusan undi.

Awal minggu ini, Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said berkata, Barisan Nasional (BN) berpeluang untuk memperoleh majorit lebih 3,000 undi.

Hari ini kempen pilihan raya memasuki hari kelima. Tinggal lagi enam hari menjelang hari pengundian pada 17 Januari ini.

Semalam calon PAS, Mohd Abdul Wahid memberitahu pemberita bahawa beliau yakin akan mendapat sokongan pengundi Cina pada pilihan raya kali ini.

"Sokongan daripada pengundi Cina saya amat berpuas hati dan saya telah terangkan kepada mereka tentang wadah perjuangan saya dalam Pakatan Rakyat dan saya yakin mereka menyokong saya," katanya.

Calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid yang telah berkempen sejak tiga minggu lalu - sejak diumumkan sebagai calon oleh BN juga melihat sokongan yang semakin meningkat.

"Senyuman dan salaman hangat mereka saya fikir dapat diterjemahkan dalam bentuk undi nanti," katanya semalam.

Pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Abdul Wahid, Wan Ahmad Farid dan calon Bebas, Azharudin Mamat alias Adam.

Bahagian Parlimen Kuala Terengganu mempunyai 80,229 orang pengundi. Pengundi-pengundi pos akan mengundi mulai esok.

Timbalan Presiden PAS, Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa ketika ditemui mStar Online di sini hari ini berkata, sudah ada petunjuk-petunjuk yang menandakan calon mereka akan memperoleh kemenangan.

"PAS berada dalam kedudukan yang selesa (untuk mencapai kemenangan)... cuma kita perlu meningkatkan momentum (menjelang hari pengundian)," kata beliau sambil mengakui perjalanan masih jauh dan "apa sahaja boleh berlaku."

"Keadaan juga boleh berubah pada malam menjelang hari pengundian," katanya.

Sambil memberikan gambaran tentang petunjuk tersebut Ahli Parlimen Bachok itu mengakui pihaknya turut menimbangkan jurang ralat.

Pada 1 Januari lalu, ahli Majlis Tertinggi Umno dan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo menyifatkan, calon BN, Datuk Wan Farid Wan Salleh bagi pilihan raya kecil kawasan Parlimen Kuala Terengganu ini sebagai calon "bukan pilihan."

Beliau memberikan alasan pada pilihan raya umum lepas, BN hanya menang satu daripada empat kerusi Dewan Undangan Negeri dalam kawasan Kuala Terengganu.

"Jadi sebagai bukan pilihan, kita kena kerja lebih keras," kata beliau dipetik Bernama.

Pada sidang media sebentar tadi, Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua yang akan berkampung di sini sehingga 17 Januari ini berkata, mementum untuk calon Pakatan Rakyat mencapai kemenangan semakin cerah.

Ahli Parlimen Batu itu meletakkan sandaran berdasarkan perkembangan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar yang menyaskikan ramai pengundi masyarakat Cina.

"Jika arah aliran sokongan di DUN Bandar memperlihatkan kemenangan, kami yakin calon Pakatan akan menang," katanya.

Ketika berkempen di Kampung Gelogor Raja yang terletak di DUN Wakaf Mempelam, Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, tiada sebab kemenangan BN tidak dapat dikekalkan kali ini.

"Perjuangan (pertarungan) masih sama, cuma watak yang berlainan sekarang... apa bezanya antara Mac dan sekarang," kata beliau sambil menambah, tiada beza antara 8 Mac lalu dan sekarang.

Oleh kerana pengundi telah memilih calon BN pada pilihan raya umum ke-12 awal tahun lalu, Khairy berharap calon akan mengekalkan sokongan bagi membolehkan BN mempertahankan kerusi tersebut.

Khairy juga mengulangi asas banyak pihak bahawa "walaupun pilihan raya ini namanya pilihan raya kecil, tetapi ia penting untuk membawa kepada kebangkitan semula BN."

Sumber-sumber berkongsi maklumat tentang peluang BN dan PAS masing-masing 50:50%, 45:55% dan 43:57%. Bagaimanapun angka ini sudah tentu tidak tepat memandangkan persaingan kali ini merupakan pertarungan tiga penjuru.

Sebagaimana dikatakan oleh Nasharuddin, anggaran ini perlu memberi ruang kepada soal jurang ralat.

Pada tahun 1990, kerusi Kuala Terengganu dimenangi oleh calon S46, 1995 (BN), 1999 (PAS) dan 2004 dan 2008 oleh BN.

- MalaysiaKini
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url