Pembangkang jangan guna isu harga barang - Shahrir (PRK K.Terengganu)

Isu kenaikan harga barang tidak seharusnya digunakan pembangkang untuk meraih undi pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu 17 Jan ini kerana ia bukanlah sesuatu yang boleh dikawal sepenuhnya oleh kerajaan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Shahrir Abdul Samad berkata kerajaan telah mengambil pelbagai langkah bagi menanganinya seperti pendekatan kawalan harga bagi barangan keperluan dan kempen penurunan harga tetapi ia terpulang kepada peniaga untuk menurunkan harga secara sukarela manakala pengguna pula boleh menggunakan kuasa pengguna mereka.

"Kita mesti ingat bahawa kawalan harga dan bekalan barang-barang yang dilakukan secara undang-undang pun terhad kepada barangan yang perlu seperti beras, tepung, gula dan minyak.

"Yang kita (kerajaan) tak boleh kawal ialah barangan makanan segar seperti sayur atau ikan yang bergantung kepada keadaan bekalan atau cuaca dan juga barang makan yang dimasak yang ditetapkan harganya oleh pengusaha masing-masing.

"Kalau kita nak turunkan, ia lebih bergantung kepada kuasa kepenggunaan itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Penurunan Harga di Sabasun Hyperuncit Sdn Bhd di sini, Sabtu.

Sebanyak 320 produk tersenarai dalam kempen itu dengan penjimatan sehingga 25 peratus bermula 1 Dis tahun lepas sehingga 1 Feb depan.

Antara produk yang diberi diskaun ialah produk makanan segar seperti ikan, sayur-sayuran serta buah-buahan dan produk bukan makanan seperti pencuci dan keperluan rumah.

Shahrir berkata beliau yakin pengguna tidak akan terpedaya dengan helah pembangkang untuk mempolitikkan isu kenaikan harga barang kerana mereka lebih faham dan sedar tentang keadaan ekonomi ketika ini.

"Kalau cakap politik kita nak cari kelemahan orang atau kerajaan memang mudah, tapi kita kena sedar apa yang mampu dan yang tak mampu kita buat dan kita kena ambil tindakan yang rasional untuk menambah baik keadaan seperti bekalan barang dan sebagainya," katanya.

- Bernama
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url