Perbaharui pemberitaan RTM

Rancangan RTM untuk memperbaharui konsep dan persembahan rangkaian saluran televisyennya sungguh dialu-alukan. Langkah ini menggambarkan keinginan Kementerian Penerangan serta menterinya untuk membawa perubahan kepada RTM sebagai usaha meningkatkan peranannya dalam dunia penyiaran ketika RTM dibayangi oleh stesen-stesen swasta yang lebih menyerlah dalam persembahan dan juga perisian rancangannya.

Dalam soal mengkhususkan TV1 dengan berita 24 jam, kita percaya RTM sedang merangka dan mendidik warganya untuk meningkatkan kemahiran dalam serba-serbi mengenai pemberitaan. Ada beberapa perkara yang perlu diperhatikan agar RTM akan menjadi penanda aras kepada standard penyiaran di Malaysia.

Pertama, RTM akan mendidik dan menentukan setiap warganya mempunyai pengetahuan pelbagai bidang dan fasih dan mahir menggunakan bahasa Melayu, juga bahasa kedua termasuk bahasa Inggeris dengan baik dan mengikut kaedah tatabahasa yang betul.

Tidak dapat dinafikan tahap penggunaan bahasa Melayu yang betul dan baik masih belum lagi dicapai. Banyak tatabahasa yang salah masih digunakan oleh penyampai-penyampai berita tanpa diberi perhatian atau dibuat pembetulan.

Untuk ini saya harap RTM dapat bekerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka atau universiti tempatan bagi mendidik penyampai, penulis berita, penulis skrip, pengulas siaran langsung, perantara forum atau pun setiap warga kerja RTM.

Semua ini teramat penting kerana daripada segi bahasa keseluruhannya RTM perlu mengikut langkah BBC misalnya, kerana bahasa BBC dikatakan sebagai bahasa standard untuk penggunaan bahasa Inggeris. RTM perlu menjadi rujukan bahasa standard bahasa Melayu untuk panduan rakyat dan juga stesen lain.

Daripada segi pemberitaan, kita tidak dapat lari daripada merujuk pada kecekapan dan juga keupayaan stesen-stesen siaran seperti BBC, Aljazeera, CNBC dan juga CNN, terutamanya dalam menyampaikan berita-berita terkini atau berita-berita kepentingan rakyat.

Bermula daripada berita asas, stesen ini membina satu rangkaian informasi yang berkaitan sehingga terbinanya satu pemberitaan yang begitu kukuh dengan diberi input oleh penyelidikan oleh pekerja belakang tabir atau fakta-fakta daripada pakar dalam bidang yang berkaitan.

Kepakaran penyampai untuk membina pemberitaan ini, apatah lagi dengan adanya grafik atau visual yang sesuai, akan dapat membantu penonton merasai dan menghayati setiap pemberitaan dan membantu mereka menilai dengan saksama setiap berita yang disajikan.

Kita percaya RTM sudah mempunyai beberapa personaliti yang mempunyai ciri-ciri penyampai berkualiti tinggi. Mereka perlu terus digarap untuk setanding dengan penyiar-penyiar dari stesen-stesen tersohor.

Seluruh penonton Malaysia berharap ini akan dapat dicapai dengan semangat dedikasi dan juga peningkatan ilmu oleh semua pihak yang terbabit. Penambahbaikan ini juga perlu diusahakan sama rata untuk stesen-stesen radio di bawah RTM.

Tahun 2009 diharap akan menjadi titik perubahan yang ketara kepada kredibiliti RTM dan ia akan kembali menjadi pemimpin industri penyiaran negara.
Next Post Previous Post
1 Comments
  • The Cendol Champion
    The Cendol Champion Selasa, 6 Januari 2009 pada 10:52:00 PTG SGT

    My Family & I, Baru jer dok chit chat pasal ni....tak la nampak sangat tv kerajaan...kalau tak sinonim jer..hu,hu

    Dear tenaga kerja TV1 & TV2...I support u!!!

Add Comment
comment url