Pesawat terhempas di Gunung Pulai, Johor

Berpantang maut sebelum ajal. Seorang juruterbang, Sanjay Purusottam terselamat dalam nahas pesawat ringan Cessna yang terhempas di Hutan Simpan Gunung Pulai dekat sini pagi ini.

Nasib memang menyebelahi Sanjay, 30-an. Pesawat yang diterbangkan beliau tersangkut di atas pokok di lereng bukit yang curam, di lokasi kira-kira lima kilometer dari Plaza Tol Kulai.

Sanjay yang mengalami patah tulang paha kanan terperangkap di dalam pesawat yang berkedudukan menjunam itu, sehingga dikeluarkan dan dibawa turun oleh pasukan mencari dan menyelemat pada kira-kira pukul 7.30 malam.

Selepas menemui lokasi bangkai pesawat itu pada pukul 4.30 petang, usaha mengeluarkan juruterbang itu dilakukan dengan berhati-hati.

Pasukan penyelamat bimbang berlaku tumpahan minyak yang boleh menyebabkan pesawat meletup dan mengancam nyawa juruterbang Kelab Penerbangan Elite itu.

Mangsa dijangka dikeluarkan dari hutan itu dengan helikopter untuk dibawa ke Hospital Sultanah Aminah di sini pukul 6 pagi esok.

Ketika ditemui pasukan mencari dan menyelamat petang ini iaitu selepas lebih lima jam operasi dilancarkan, Sanjay tenang berada di dalam pesawat berkenaan.

Malah dari dalam pesawat yang tergantung di atas pokok itu, beliau sedang berbual dengan isterinya menerusi telefon.

"Semasa ditemui, dia selamat. Dia okay dan masih boleh berbual dengan isterinya melalui telefon. Dia beritahu isterinya supaya jangan risau," kata Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pontian, Akob Sidik kepada pemberita.

Pada pukul 9.40 pagi ini, pesawat ringan Cessna yang diterbangkan Sanjay berada dalam keadaan elok sebaik berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Ismail, Senai di sini.

Namun setelah 35 minit di udara menuju ke Melaka, cuaca berubah dan berlaku angin lintang.

Ekoran itu, Sanjay mengambil keputusan untuk berpatah balik. Namun, tiba-tiba pesawat itu hilang kawalan lalu terhempas.

Dalam pada itu, Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, pesawat itu dijadual tiba di Melaka pukul 10.50 pagi.

"Namun ia hilang dan terputus hubungan dengan menara kawalan pada pukul 10.15 pagi," katanya.

Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Supritendan Zulkefly Yahya pula mengesahkan, bangkai pesawat Cessna itu ditemui pada pukul 4.30 petang oleh Unit Udara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berpangkalan di Kluang yang menyertai pasukan mencari dan menyelamat itu.

Menurutnya, operasi yang dimulakan pada pukul 11.45 pagi turut dibantu pasukan Bomba dan Penyelamat, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

"Pesawat tersebut tersangkut di atas pokok di kawasan lereng bukit yang curam dalam keadaan menjunam.

"Pasukan menyelamat terpaksa berhati-hati takut berlaku tumpahan minyak yang boleh menyebabkan pesawat meletup," katanya pada sidang akhbar malam ini.

Menurutnya, punca sebenar nahas itu masih disiasat.

Katanya, sehingga pukul 9 malam ini usaha membawa keluar mangsa giat dijalankan dan dua pasukan, masing-masing 30 anggota PGA dan bomba akan bergerak dengan berjalan kaki ke lokasi kejadian.

"Pada masa ini, empat anggota penyelamat iaitu masing-masing dua dari bomba dan Tentera Udara Diraja Malaysia ada menemani mangsa," katanya.

- Utusan
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url